UtusanDaily

Thursday 30 July 2015

Serpihan di Pulau Reunion milik MH370? Apa yang diketahui setakat ini



KUALA LUMPUR: Malaysia dan juga seluruh dunia dikejutkan dengan penemuan bangkai pesawat di Pulau La Reunion, berhampiran Madagascar di Lautan Hindi pada awal pagi Khamis (waktu Malaysia).

Persoalannya adakah penemuan ini bakal merungkai misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia, MH370 yang hilang sejak Mac tahun lalu?

Apa yang ditemui? 





Serpihan sepanjang dua meter itu yang kelihatan seperti bahagian sayap atau flaperon ditemui penduduk tempatan ketika kerja-kerja pembersihan pantai dijalankan dan mempunyai nombor kod.

Seorang penduduk tempatan kemudian menghantar beberapa keping gambar kepada seorang pakar bidang keselamatan penerbangan, Xavier Tytelman.

Mh370, Debris

Dia percaya ia bermungkinan serpihan pesawat MH370 milik Malaysia Airlines berdasarkan bentuk serpihan berkenaan yang sama dengan pesawat MH370, Boeing 777.

“Kod berkenaan bukan nombor plat pendaftaran, juga bukan nombor siri, bagaimanapun nombor rujukan itu akan memudahkan ia dikenalpasti.

“Dalam beberapa hari, kita akan mendapatkan jawapannya,” katanya seperti dipetik agensi berita AFP.

Nombor yang tertera pada serpihan itu adalah 'BB670.'

Siapa yang akan menguruskan siasatan?

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata Malaysia akan menguruskan siasatan dengan bantuan syarikat Boeing, Pejabat Siasatan dan Analisis Keselamatan Penerbangan Awam Perancis, BEA, Biro Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia.

Apa kata pihak berkuasa?

Malaysia menghantar satu pasukan khas ke Pulau Reunion untuk menyiasat sama ada serpihan yang ditemui adalah milik penerbangan MH370 yang hilang lebih setahun lalu.

Bercakap di New York, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan sebarang penemuan perlu diteliti sebelum pengesahan boleh dibuat.

Dalam satu kenyataan pagi tadi, Malaysia Airlines memaklumkan masih terlalu awal untuk mengaitkan penemuan serpihan tersebut dengan pesawat MH370.

"Masih terlalu awal untuk syarikat penerbangan membuat spekulasi mengenai dari mana asalnya flaperon itu buat masa ini," kata MAS dalam kenyataan media di sini.

Penganalisis penerbangan CNN dan bekas Ketua Inspektor di Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat, Mary Schiavo berkata pesawat dicetak dengan pelbagai nombor siri bagi tujuan mengenal pasti bahagian-bahagian yang akan dikenal pasti dan dipadankan dengan model dan pesawat tertentu.

"Jika nombor bahagian yang dicop pada pesawat masih ada, ia benar-benar boleh menjadi panggilan telefon kepada Boeing atau indeks bahagian untuk melihat jika ia tergolong dalam pesawat Beoing 777. Dan jika ia tergolong dalam Boeing 777, ia adalah MH370,” kata beliau.

Portal CNN.com turut melaporkan bahawa pihak Boeing sedang menjalankan penilaian awal daripada serpihan dengan menggunakan gambar-gambar yang ada.

Sumber itu menegaskan bahawa pemerhatian masih dalam peringkat permulaan.

Apa kata netizens?

Antara status yang mendapat perhatian adalah daripada Maira Elizabeth Nari, anak kepada Ketua Pramugara MH370, Andrew Nari.

Maira lebih selesa untuk tidak meletakkan harapan tinggi dan mengambil langkah tunggu dan lihat.




Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut tweet susulan penemuan sepihan itu.

Hishammuddin merupakan pemangku Menteri Pengangkutan ketika insiden MH370 itu berlaku tahun lepas. 
Apa kata Perdana Menteri?



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan masih terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi bahawa bahagian sayap yang dijumpai awal hari ini merupakan sebahagian serpihan pesawat MH370.

Menurutnya, serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion itu akan dibawa ke Toulouse, Perancis untuk siasatan lanjut.

Satu pasukan yang terdiri dari wakil pegawai kanan Kementerian Pengangkutan, Jabatan Penerbangan Awam (DCA), pasukan penyiasat MH370 dan Malaysia Airlines akan ke Toulouse untuk membantu siasatan ke atas sayap itu.

Sejak dilaporkan terputus hubungan pada Mac tahun lalu, pasukan pencari dan penyelamat tidak menjumpai serpihan pesawat MH370, kejadian yang dianggap misteri dalam sejarah penerbangan.

Kehilangan pesawat berkenaan membingungkan penyiasat dan menyebabkan ahli keluarga serta waris masih tercari-cari jawapan.

Kerajaan Malaysia kemudiannya mengisytiharkan kesemua 298 penumpang dan anak kapal yang berada di dalam pesawat berkenaan telah terkorban.                                             

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive