HADIS yang menerangkan mengenai pembahagian Ramadan kepada tiga: awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya pembebasan dari neraka adalah hadis lemah yang tidak boleh diguna pakai sebagai hujah.

Seharusnya difahami sebulan Ramadan adalah rahmat, pengampunan dan pembebasan dari neraka berdasarkan umumnya hadis ini: "Apabila masuk bulan Ramadan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu." (Riwayat Bukhari & Muslim, Sahih)

Pendakwah, Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz berkata, hadis berkenaan pembelengguan syaitan ini dibincangkan panjang lebar oleh ulama.

Ringkasnya ia membawa maksud hakiki dan kiasan. Hakikinya sebagaimana makna hadis, manakala maksud kiasan atau majazi merujuk kepada pandangan Al-Qadhi ‘Iyadh sebagaimana disebut Imam Al-Nawawi ketika mengulas hadis tersebut dalam syarah hadis Sahih Muslim. 

"Ia merujuk kepada makna hakiki dan majazi (kiasan). Pada makna hakiki ia menjadi tanda masuknya bulan Ramadan yang memang terbukti keagungannya sebagaimana zahirnya hadis itu .

"Manakala pada makna kiasannya (majazi), ia merujuk kepada gandaan pahala, gandaan keampunan daripada ALLAH SWT dan kurangnya pengaruh syaitan menghasut manusia,” jelasnya.

Menurutnya, terdapat nas daripada hadis lain mengatakan yang dibelenggu adalah syaitan yang paling jahat sahaja (Syarh Muslim Nawawi)
Sunnah Nabi SAW

Sebenarnya amalan menggandakan ibadat pada 10 malam akhir Ramadan termasuk dalam sunnah Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang diriwayatkan Saidatina ‘Aisyah RA bermaksud: "Apabila menjelang 10 hari (yang akhir daripada bulan Ramadan), Rasulullah menghidupkan malam-malam Ramadan, mengejutkan ahli keluarganya bangun beribadah kepada ALLAH, lebih tekun beribadat, dan mengetatkan kain (tidak mendekati isteri-isteri Baginda dalam lingkungan masa tersebut)." (Riwayat Muslim)

Beliau turut mengulas mengenai gandaan pahala pada 10 malam terakhir yang dikatakan berbentuk sesuatu lebih khusus dalam pesta ibadat Ramadan, tambahan pula ada nas lain menyebut malam Al-Qadar lebih baik daripada 1,000 bulan yang lain.

"Ringkasnya kita katakan begini, sebulan Ramadan adalah pesta ibadat dan kemuncak pesta adalah 10 malam terakhir. Pada awal 20 hari pertama Ramadan, pacuan ibadat memang lebih banyak berbanding bulan lain, apabila masuk 10 malam terakhir pacuan ibadat menjadi jauh lebih pesat dan berganda.

"Analogi lain yang memudahkan kita untuk memahaminya  adalah, sekumpulan manusia yang sedang berlumba lari menuju ke garisan penamat berjarak 30 meter. Pastinya pada jarak 10 meter terakhir semua akan menggandakan pecutan supaya mendapat hadiah yang dijanjikan kepada pemenang di hujung garisan penamat. Jangan pula ada antara kita gagal menamatkan perlumbaan kerana terpedaya dengan persiapan hari raya di hujung garisan penamat Ramadan," katanya.

Bila malam Al-Qadar? 

Berkaitan dengan kepercayaan malam Al-Qadar yang jatuh pada malam 27 Ramadan sebagaimana dijelaskan dalam  Sahih Muslim disebut oleh Ubayy bin Ka’ab RA. Namun begitu berkemungkinan malam Al-Qadar yang dikatakan Ubayy bin Ka’ab itu berlaku untuk tahun
tersebut, manakala untuk tahun lain ia berlaku pada malam lain (hanya ALLAH yang tahu).

Ustaz Abdullah Bukhari berpandangan mengenai budaya pasang pelita pada malam  tujuh likur berkemungkinan berpunca daripada hadis ini. Cuma jika ia bercampur dengan khurafat seperti pelita dipasang bagi memudahkan malaikat mendarat membawa rahmat, maka ia perlu ditolak dan ditentang habis-habisan.

"Berdasarkan kefahaman saya, masyarakat Melayu dahulu mengadakan malam tujuh likur sebagai langkah menghidupkan malam tersebut dengan nyalaan pelita kerana bekalan elektrik belum lengkap bagi kampung yang diduduki bangsa Melayu.

"Mungkin ini adalah satu cara mereka mengingatkan semua supaya menghidupkan malam Al-Qadar dengan memastikan cahaya pelita berterusan sehingga pagi. Nyalaan pelita itu juga mampu menghubung antara kampung berdekatan dan menggalakkan semua agar bangun menghidupkan malam tersebut," kata Naib Presiden 1 Murshid ini panjang lebar.
 Jika ini semangat asal sambutan malam tujuh likur, ia sesuai dengan zaman mereka. Maka kita perlu bugarkan tradisi ini dengan cara lain yang lebih ilmiah, islamik dan bebas khurafat.
 
INFO:-
Laylat bermaksud malam. Perkataan Al-Qadar mempunyai tiga maksud yang saling berkait antara satu sama lain. 
 
Makna pertama al-Qadar bermaksud '(kadar) keagungan' sebagaimana orang Arab biasa menyandarkan seseorang yang agung dengan kaitan perkataan Qadar (kadar keagungan). Ia boleh difaham secara literal pada makna ayat ini dalam Surah Al-Anaam ayat 91.

Makna kedua: Al-Qadar bermaksud malam penenetuan takdir. Menurut sebahagian pendapat, malam al-Qadar adalah malam penentuan takdir tahunan makhluk. Ia disandarkan pada ayat 3 hingga 4 dalam Surah Al-Dukhan. Pada malam Al-Qadr, kadar rezeki, ajal dan maut pada tahun tersebut ditetapkan ALLAH (Tafsir Ibn Kathir).

Makna ketiga: Al-Qadar bermaksud sempit sebagaimana 

Malam yang sempit ini merujuk kepada ramainya malaikat turun pada malam ini sehingga menyempitkan dunia. Ia sesuai dengan penggunaan 'tanazzala' bermaksud turunnya malaikat secara berterusan dari Maghrib hingga Subuh.

Ketiga makna itu saling melengkapi antara satu sama lain. Ia adalah malam yang agung kerana malam turunnya al-Quran dari langit ke tujuh ke langit dunia. Malam itu juga adalah malam penentuan takdir tahunan yang menyempitkan dunia dengan kehadiran malaikat berterusan bermula Maghrib sehingga Subuh. Apabila bumi dipenuhi malaikat, maka sebarang doa yang dipanjatkan senang dimakbulkan.