Drachma, matawang Greece telah digantikan dengan Euro pada tahun 2002
selepas menyertai European Union (EU). Penggunaan matawang euro itu
telah meningkatkan keyakinan pelabur ke atas perkembangan ekonomi Greek.
- European Union (EU) ialah kesatuan politik-ekonomi 28 negara yang terletak di Eropah. Ia terdiri daripada institusi seperti European Commission (EC), Council of the European Union, European Council, Court of Justice of the European Union, European Central Bank, European Court of Auditors, dan European Parliament.
Pada Disember 2004, European Commission telah mengeluarkan amaran
rasmi kepada Greece selepas mendapat tahu pemalsuan data status kewangan
negara dimana perbelanjaan melebihi pendapatan bagi menyertai keahlian
eurozone. Kerajaan Greece mengakui defisit tidak pernah berada di bawah
3pc sejak 1999 seperti mana peraturan yang telah ditetapkan oleh EU di
dalam kriteria penyatuan Maastricht .
- European Commission (EC) iaitu sebuah badan eksekutif European Union (EU) yang bertanggungjawab mencadangkan undang-undang, melaksanakan keputusan, memartabatkan perjanjian EU dan menguruskan urusan seharian EU.
- Eurozone ialah nama rasmi bagi kawasan Eropah yang menggunakan matawang kesatuan, Euro. Ia terdiri daripada 19 buah negara seperti Austria, Belgium, Cyprus, Estonia, Finland, France, Germany, Greece, Ireland, Italy, Latvia, Lithuania, Luxembourg, Malta, Netherlands, Portugal, Slovakia, Slovenia, dan Sepanyol.
Walaupun kewangan Greece tidak menentu, kerajaan Greece tetap
menganjurkan Sukan Olimpik 2004. Perbelanjaan kos yang tinggi menekan
kerajaan Greece.
Eurozone
Krisis hutang negara Greece bermula pada tahun 2009 dan masih berlaku sehingga kini. Dari Oktober hingga Disember 2009, credit rating
Greece diturunkan oleh agensi-agensi perkhidmatan kewangan seperti
Fitch, Standard & Poor’s dan Moody’s. Ini semua terjadi kerana
bertahun-tahun kerajaan Greece cuai dalam perbelanjaan dan pinjaman.
- Credit rating ialah penilaian ke atas risiko kredit penghutang bagi memenuhi komitment kewangan negara berdasarkan urusan terdahulu. Ia juga merujuk kepada kebolehan peminjam untuk membayar balik hutang pinjaman.
Maka, George Papandreou, Perdana Menteri baru waktu itu telah
mengambil langkah pencegahan dengan mengumumkan satu program yang akan
memotong perbelanjaan untuk rakyat. Tindakan kerajaan Greece mengumumkan
dua lagi langkah-langkah penjimatan yang sukar antara Januari dan Mac
2010 telah menimbulkan bantahan dan mogok besar-besaran. Antara pelan
yang diumumkan ialah peningkatan cukai GST dan cukai rokok dan alkohol,
peningkatan harga gas, pembekuan pencen dan had maksima bagi gaji
kakitangan awam.
Krisis semakin genting, pada 23 April 2010 Papandreou telah meminta
secara rasmi pakej bantuan kewangan kecemasan yang melibatkan penyertaan
European Union, European Central Bank (ECB) dan International Monetary
Fund (IMF). Susulan itu, pada 2 Mei 2010, €110 billion telah diberikan
kepada Greece sebagai satu pakej bailout di atas persetujuan bersama Papandreou, IMF dan pemimpin-pemimpin eurozone.
Sekiranya Greece gagal membayar balik pinjaman, ia akan membahayakan
negara-negara EU yang lain. Bagi menghalang risiko kegagalan Greece
membayar hutang sekiranya itu berlaku, pemimpin-pemimpin Eropah termasuk
IMF, ECB dan EU bersatu membentuk ‘Troika’ bagi melindungi eurozone
daripada krisis Greek. Bagi mencapai objektif ‘Troika’, Greece mesti
bersetuju dengan rela hati dan mempunyai kebolehan untuk penstrukturan
semula.
Bagi memenuhi syarat pinjaman, kerajaan Greece telah mengumumkan pakej penjimatan ketiga yang melibatkan:
1. Pemotongan 8% elaun sektor awam.
2. Had sektor awam sebanyak €1,000 diperkenalkan kepada bonus dua kali
setahun dan dihapuskan sepenuhnya bagi mereka yang berpendapatan lebih
€3,000 sebulan.
3. Had €500 sebulan kepada bulan ke-13 dan ke-14 bagi gaji pekerja awam,
dan dihapuskan sepenuhnya bagi mereka yang menerima lebih €3,000
sebulan.
4. Had €800 sebulan kepada bulan ke-13 dan ke-14 bagi ansuran pencen dan
dihapuskan sepenuhnya bagi mereka yang menerima lebih €2,500 sebulan.
5. Pemulangan cukai istimewa ke atas pencen yang tinggi.
6. Mengenakan cukai yang luarbiasa ke atas keuntungan syarikat.
7. Peningkatan nilai hartanah (dan cukai tinggi).
8. Peningkatan tambahan 10% untuk semua kereta import.
9. Perubahan bayaran pemberhentian kerja dan bayaran kerja lebih masa.
10. Meningkatkan cukai GST
11. Peningkatan 10% cukai ke atas barangan mewah dan cukai ke atas alkohol, rokok dan minyak.
12. Umur pencen pekerja wanita disetarakan dengan umur pencen pekerja lelaki.
13. Mekanisma pemberian pencen diubah mengikut jangkaan perubahan hidup.
14. Dana kewangan stabil dibentuk.
15. Umur purata persaraan pekerja kerajaan ditingkatkan dari 61 tahun kepada 65 tahun.
16. Bilangan syarikat awam dikurangkan dari 6,000 kepada 2,000.
17. Bilangan majlis perbandaran akan dikurangkan dari 1,000 kepada 400.
Krisis hutang Greece makin meruncing pada tahun 2011 dengan pelbagai
protest, tentangan, dan keganasan yang berlaku di sekitar bandar besar
Greece dan di luar bangunan parlimen. Meskipun begitu, pakej penjimatan
keempat dan kelima tetap diluluskan oleh parlimen. Ia bermakna lebih
banyak tekanan ke atas rakyat Greece. Tahun 2011 turut menyaksikan
penstrukturan semula kerajaan dan perletakan jawatan Papandreou sebagai
Perdana Menteri Greece selepas pelan referendumnya dikecam.
- Referendum ialah undian awam bagi satu isu yang memerlukan pandangan orang awam sebelum memutuskan sesuatu keputusan.
Pada 2012 seorang pesara pegawai farmasi telah membunuh diri di depan
bangunan parlimen Greece sebagai satu tanda protes menentang politik
polisi pengurangan bajet perbelanjaan kerajaan yang melibatkan
pemotongan perbelanjaan dan peningkatan cukai yang membebankan rakyat.
Dia telah menjadi simbol penentangan rakyat Greece terhadap kerajaan dan
mencetuskan pertentangan antara polis dan penunjuk perasaan.
Kebangkitan rakyat telah menyebabkan parti kerajaan kecundang di
dalam pilihan raya. Sementara itu, populariti parti haluan kiri yang
radikal dan parti haluan kanan telah meningkat tetapi kedua-dua parti
itu tidak memenangi majoriti kerusi parlimen. Kerajaan campur yang
melibatkan parti New Democracy, PASOK dan DIMAR diwujudkan dan presiden
parti New Democracy, Antonis Samaras dilantik sebagai Perdana Menteri
Greece pada 17 Jun 2012.
Tukar perdana menteri dan kejatuhan parti kerajaan turut tidak
mengubah apa-apa krisis ekonomi Greece. Malah, satu protest yang besar
berlaku di luar bangunan parlimen apabila pakej penjimatan keenam
diluluskan bagi memastikan Greece terus menerima ansuran daripada
perjanjian bailout. Itu menunjukkan ekonomi Greece semakin tenat dan bergantung kepada bantuan kewangan untuk melalui krisis hutang ini.
Pada tahun 2013 pula, kerajaan Greece berdepan dengan masalah
peningkatan kadar pengangguran rakyat yang tinggi dan ia merupakan kadar
paling tinggi di EU dengan peningkatan sehingga 26.8% dan hampir 60%
bagi kadar orang muda yang tidak bekerja. Pada pertengahan tahun 2013,
kerajaan menangguhkan operasi penyiaran kerajaan, ERT bagi menjimatkan
duit. Protes dan mogok telah menyebabkan ERT dilancarkan semula dua
bulan selepas itu.
Barisan kabinet distrukturkan semula lagi sekali oleh Samaras dan
meluluskan pakej penjimatan ketujuh termasuk pelan pemotongan gaji
pekerja perkhidmatan awam bagi menerima bantuan pakej bailout
kedua EU dan IMF sebanyak €130 billion menyebabkan kehidupan rakyat
Greece semakin tertekan dan mengamuk di jalanan. Ramai orang Greece juga
gagal membayar cukai mereka.
Ada sinar bagi Greece pada awal tahun 2014. Greece kembali ke pasaran
kewangan dengan 3 billion Eurobonds. Agensi Fitch menaikan semula
credit rating Greece dari gred B- ke B. Greece berjaya mendapat 4
billion dollar dari pasaran kewangan dunia di dalam penjualan bon jangka
masa panjang kerajaan. Ia adalah satu langkah penting untuk ekonomi
negara pulih.
- Eurobonds ialah bon kerajaan yang dicadangkan dalam euro secara bersama oleh 19 negara eurozone.
Hampir masuk suku tahun kedua iaitu Mei 2014, kumpulan anti-austerity
haluan kiri, Syriza memenangi pilihan raya. Kemenangan itu telah
mengubah keseluruhan dinamik politik di Greece. Penstrukturan kabinet
baru dilakukan dan Prof. Gikas Hardouvelis dilantik sebagai menteri
kewangan. Kegagalan Parlimen melantik presiden baru telah menyalakan
krisis politik pada bulan Disember 2014. Sehari selepas itu pasaran
saham Greek jatuh 12.78%.
- Austerity ialah pengurangan bajet perbelanjaan kerajaan yang melibatkan pemotongan perbelanjaan dan peningkatan cukai yang membebankan rakyat.
Pada 26 Januari 2015 Alexis Tsipras mengangkat sumpah sebagai Perdana
Menteri baru dan Yanis Varoufakis sebagai menteri kewangan baru. Mereka
berdua daripada parti Syriza (anti-austerity). Trispas berjanji untuk
menolak semua perjanjian bailout yang sebelum ini dan mahu satu perjanjian yang baik dan adil bagi Greece.
Ini menunjukkan pakej bailout yang disasarkan sebagai
bantuan bagi menyelamatkan krisis ekonomi Greece dilihat sebagai satu
konspirasi jahat bagi mengawal negara Greece. Maka, Syriza (Tsipras dan
Varoufakis) mengugut EU untuk keluar dari eurozone.
Hutang Negara Greece
Perbandingan Hutang Negara Greece Dan Malaysia
Rundingan pada 20 Februari 2015 membolehkan Greece mendapat empat
bulan tambahan bagi pembiayaan. Kemudian pada 4 Jun 2015 Greece telah
meminta IMF menangguhkan ansuran ke hujung bulan Jun. Pada 27 Jun 2015
Tsipras telah mengumumkan referendum tentang perjanjian bailout
antara Greece dan pemiutang antarabangsa akan dibuat pada 5 Julai 2015.
Selepas ECB memutuskan untuk tidak memanjangkan dana kecemasan yang
akan menutup peluang Greece untuk menerima €7.2 billion, Greece telah
menutup semua operasi bank dan mengenakan kawalan modal. Tindakan itu
telah menimbulkan panik di kalangan rakyat Greece.
Greece menghadapi dua pilihan yang akan mempengaruhi hala tuju
negara. Pengundi perlu memilih satu daripada dua pilihan yang tidak baik
ini pada 5 Julai 2015, iaitu:
1) Undi Ya: Greece boleh menerima permintaan Troika untuk tambahan austerity dan meneruskan penerimaan bantuan dari negara luar, atau
2) Undi Tidak: Greece boleh menolak Troika yang akan beri kesan ke atas
hutang Greece dan kemungkinan Greece akan keluar dari eurozone.
Jika rakyat memilih untuk menerima deal tersebut, ia bermakna cukai akan meningkat naik dan pencen dipotong. Jika rakyat menolak deal tersebut, Greece akan gagal membayar hutang dan tidak boleh menggunakan euro sebagai matawang serta terkeluar dari eurozone.
Buat masa ini, ramai rakyat Greece beratur di mesin-mesin ATM. Mereka
tidak boleh mengeluarkan wang mereka dalam jumlah yang banyak daripada
bank-bank di Greece. Had pengeluaran yang ditetapkan ialah €60 sehari.
Pemindahan wang ke luar negara turut dihalang. Ia hanya dibolehkan untuk
urusan perniagaan sahaja. Operasi bank ditutup sehingga 7 Julai 2015.
Menteri pembangunan Greece menggesa rakyat mengundi “tidak” untuk
menentang rundingan tersebut. Begitu juga dengan Perdana Menteri Greece.
Jika Greece menggunakan matawang sendiri (drachma) dan mencetaknya
dengan banyak sekali, ia akan merendahkan nilai matawang. Drachma yang
murah ini akan membuatkan Greek dalam keadaan baik kerana ia akan
menarik warga asing untuk melabur dan meningkatkan eksport dan mencipta
peluang pekerjaan. Kadar inflasi turut akan membantu bebanan hutang
negara. Ini semua lebih baik berbanding Greece yang berterusan di dalam
keadaan kegawatan sejak krisis kewangan 2008.
Presiden EC, Jean-Claude Juncker pula berharap orang Greece mengudi “Ya” bagi menerima terma-terma perjanjian.
Antara punca terjadinya tragedi ekonomi Greece:
1) Korupsi
European Commission menyatakan Greece merupakan negara yang paling tinggi korupsi di dalam European Union.
2) Tipu Cukai
Golongan kelas pertengahan-atasan di Greece mengelak daripada
pembayaran cukai. Mereka melaporkan nilai pendapatan yang lebih rendah
berbanding dengan pendapatan mereka sebenar. Contoh pada tahun 2009,
sebanyak €28 billion cukai dielak oleh mereka yang bekerja sendiri ini.
3) Pengangguran
Kadar pengangguran tinggi di Greece melibatkan populasi orang muda.
63.5% orang Greece berumur antara 18 dan 34 tahun masih tinggal bersama
ibu bapa mereka.
4) Populasi Orang Pencen
Greece memiliki populasi orang tua yang ramai berbanding orang muda.
Hanya 9.8% orang muda berumur antara 15 dan 24 tahun. 32.9% pula berusia
lebih dari 55 tahun. Ini menimbulkan dua masalah iaitu peningkatan
pembayaran kos pencen dan kekurangan tenaga kerja muda.
5) Cukai Rokok
Ia jadi satu masalah besar apabila cukai rokok dinaikkan di Greece
kerana orang-orang di Greece merupakan golongan ketiga tertinggi
menggunakan rokok di dunia. Ia lebih tinggi 28 kali berbanding pengguna
di India.
Sekiranya Greece gagal membayar hutang dan terkeluar dari EU, ia akan
menyebabkan pelabur-pelabur mengeluarkan wang pelaburan mereka daripada
negara-negara EU yang mempunyai perkembangan ekonomi yang tidak stabil
seperti Sepanyol dan Itali. Ia akan mencipta gelombang panik para
pelabur ke atas Eropah dan kemungkinan Amerika Syarikat turut akan
terkena tempiasnya.
Sumber: CNN, USA Gold, VOX, VOX2, BBC, The Guardians, About: Worldnews, Bloomberg, Telegraph , Academia, Time, Business Insider, Washington Post, NY Times
SUMBER
SUMBER
No comments:
Post a Comment