LONDON: Tindakan berani pasaraya Tesco di Liverpool baru-baru ini yang menawarkan makanan ringan, Pringles didakwa mengandungi perasa bakon sempena promosi Ramadan dikecam pengguna media sosial apabila gambar promosi tersebut menjadi ‘viral’.
Menurut portal berita The Independent UK, insiden tersebut menjadi perbincangan hangat dalam talian apabila pengguna menyifatkan promosi tersebut sebagai satu sindiran dengan menyatakan pengambilan daging babi dan mana-mana produk yang dihasilkan daripada daging babi adalah dilarang dalam Islam.
Meskipun, produk sebenar Pringles tidak mengandungi produk yang dibuat daripada bakon, tindakan Tesco membuat promosi tersebut juga adalah satu pilihan yang kurang bijak.
Sementara itu seorang pengguna, Raza Hassan ketika ditemui di pasaraya itu menyatakan bahawa insiden tersebut adalah suatu yang lucu dan bukan sesuatu yang menguris hati.
“Apabila pertama kali saya melihat promosi itu, terdapat banyak kerepek (perasa lain), ia hanya kebetulan perasa berkenaan (bakon) diletakkan di bahagian atas.
“Saya merasakan ia adalah satu idea yang sangat bagus dan isyarat daripada Tesco, cuma ia kelihatan sedikit sindiran,” katanya kepada i100.co.uk.
Susulan insiden tersebut, Tesco memaklumkan telah mengeluarkan Pringles berperasa bakon dari promosi Ramadan dan menyatakan ia adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan.
"Kami berbangga untuk menawarkan pelbagai makanan dan produk dalam memenuhi keperluan pelanggan-pelanggan kami pada bulan Ramadan.
“Kami menyedari Pringles ini tidak diletakkan di tempat yang sesuai dan pekerja kami kini telah memindahkan ke tempat yang lain,” jelas Tesco dalam satu kenyataan.
No comments:
Post a Comment