ABD RAZAK MUTHALIB
Rahsia sesebuah rumah tangga perlu disimpan dengan rapi, jangan mudah hebohkan kepada ramai.
"BEHIND every successful man, there is a woman."
Kata-kata ini selalu kita dengar. Dari satu sudut, ia benar. Sehebat
mana lelaki bergelar suami, pasti ada kelemahannya yang mungkin tidak
diketahui orang lain.
Namun, wanita pendamping setia hidupnya menyedari hakikat yang sebenar,
siapakah suaminya. Kelemahan dan kekurangan tersebut bukan untuk
diheboh-hebohkan atau alasan untuk berbalah. Tetapi, di situlah ruang
kosong yang perlu diisi isteri bermula hari pertama pernikahan.
Beruntungnya suami
Alangkah damainya jiwa si suami jika saat dirundung gelisah dan lemah,
muncul si isteri memberi semangat agar terus tabah dan gagah. Walau
suami hadapi seribu satu mehnah, namun bisikan keyakinan si isteri mampu
hilangkan segala keluh kesah.
Kehadiran isteri memberikan ketenangan dan membangkitkan kekuatan. Inilah watak seorang isteri dambaan suami.
Contohi peranan yang dipamerkan isteri pertama Rasulullah SAW, Ummul
Mukminin, Khadijah. Sewaktu suami tercinta, Baginda SAW pulang ke rumah
dari Gua Hira, Baginda SAW dalam ketakutan.
Penuh debaran dan mencemaskan tatkala pengalaman pertama menerima
wahyu. Sampai di rumah, Baginda SAW terus minta untuk diselimutkan.
Khadijah terus lakukan, tanpa banyak soal, sebaliknya penuhi dahulu
permintaan suami. Tenangkan keadaan. Apabila diceritakan kepadanya apa
yang berlaku, respons Khadijah menenteramkan perasaan.
Lalu Khadijah berkata: "Sama sekali tidak! Demi ALLAH SWT. ALLAH tidak akan menghinamu selama-lamanya.
Engkau adalah seorang yang suka menghubungkan silaturahim, berbicara
jujur, menanggung beban orang susah dan berusaha membantu orang fakir,
memuliakan tetamu, dan menolong penegak kebenaran." (Al-Mubarakfuri,
Safiy al-Rahman, al-Rahiq al-Makhtum (Dar Ibn al-Jauzi, 1999), m/s 88)
Hanya perlu jadi isteri
Wahai isteri, suamimu suka dengan wajah cantik, berpendidikan tinggi, jawatan hebat, gaji banyak dan perhiasan menarik.
Namun, suamimu lebih gembira dan bangga jika dirimu yang menjadi
seorang isteri solehah yang boleh mendamaikan dan kata-kata yang
menenangkan.
Taat suami
Suami berkedudukan istimewa perlu diakui oleh isteri. Ini termaktub
dalam kalam Pencipta. "Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum
wanita, oleh kerana ALLAH telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki)
atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (laki-laki) telah
menafkahkan sebahagian daripada harta mereka." (Surah An-Nisa’: 34)
Mungkin suami anda lebih rendah jawatannya, lebih sedikit gajinya,
lebih kecil keretanya, lebih gelap kulitnya, namun dia tetap lebih
tinggi kedudukan apabila bergelar suami.
Ketaatan kepadanya tidak boleh diabaikan selagi mana ia dalam ruang
yang diizinkan syariat. Suami yang mahukan isteri taat kepadanya, dia
terlebih dahulu perlu taat kepada perintah ALLAH dan Rasul-Nya.
Sedia untuk 'bersama'
Wahai isteri, suami akan tersenyum riang apabila anda sentiasa bersedia
memenuhi keinginannya. Di kala suami bermanja-manja dan bermesra-mesra
dengan anda, fahamilah. Tangguhkan urusan lain. Dia halal untukmu.
Dirimu halal untuknya. Dia ibarat ladang bagimu.
Dirimu juga bak ladang untuknya. Kecapi kemanisan nikmat ini. Penuhi
tuntutan fitrah yang suci, dengan penuh adab menurut sunnah Nabi
Muhammad SAW.
Rasulullah SAW mengingatkan dalam hadisnya: "Apabila suami mengajak
isterinya ke atas katil (untuk hubungan jimak), lalu diingkari oleh
isteri, kemudian suaminya tidur dalam keadaan marah kepada isteri, maka
malaikat akan melaknat isteri hingga ke pagi." (Riwayat Bukhari &
Muslim)
Si suami juga perlulah meraikan keadaan isteri. Lihatlah masa yang
sesuai. Apabila 'bersama', kenikmatannya juga perlu dikecapi bersama.
Pengurus rumah
"Dan perempuan menjadi penjaga kepada rumah suaminya dan anak-anaknya." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Ini satu laagi peranan hebat seorang isteri yang bertanggungjawab
memastikan hal ehwal dalaman rumah berjalan lancar dan tersusun kemas.
Ketika anda mengemas rumah, membasuh pakaian, memasak makanan, dan
menguruskan anak-anak dan sebagainya, rawati keletihan tersebut dengan
hadis ini.
Jadilah seorang isteri seperti yang disuruh oleh Nabi Muhammad SAW.
Bawa tetamu dengan izin
Isteri yang baik tidak akan menjemput atau membawa masuk tetamu ke
dalam rumah mengikut sesuka hatinya. Apatah lagi jika individu tersebut
tidak disukai suami. Izin suami perlu diperoleh terlebih dahulu.
Rasulullah SAW berpesan: "Tidak dibenarkan bagi seorang isteri berpuasa
sunat, sedangkan suaminya ada ketika itu melainkan dengan izin
suaminya. Tidak dibenarkan membawa masuk orang lain ke dalam rumah,
melainkan dengan izinnya." (Riwayat Bukhari & Muslim)
Keluar rumah dengan izin
Isteri yang baik tidak akan keluar rumah sesuka hati melainkan dengan
izin suaminya. Hal ini bergantung kepada persefahaman dan fleksibeliti
antara suami dan isteri. Suami perlu jelaskan kepada isteri mengenai
keperluan keizinannya terlebih dahulu.
Tidak buka aib suami
"Maka perempuan-perempuan yang solehah itu ialah yang taat (kepada
ALLAH dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua
yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan
pemuliharaan ALLAH dan pertolongan-Nya." (Surah An-Nisa’:34)
Isteri baik juga tidak akan membuka aib suami di hadapan orang lain
dan kekurangannya biarlah disimpan. Cari ruang untuk memperbaikinya.
Namun, ada beberapa kondisi isteri perlu mendedahkan hal sebenar
suaminya. Contohnya jika maklumat tersebut diperlukan oleh hakim, kadi,
kaunselor dan sebagainya. Bukan bertujuan memalukan suami, tetapi demi
pedamaian, menegakkan kebenaran dan menuntut hak sebagai seorang isteri.
Jaga air muka suami
Isteri baik sama sekali tidak akan menjatuhkan air muka suami di khalayak lain, mahupun di hadapan anak.
Jaga tingkah laku, perkataan hingga mimik wajah anda. Suami tidak
gembira jika isterinya bersikap kasar, menengking, mengarah-arah bahkan
menunjukkan wajah menjengkelkan.
Isteri perlu pandai buatkan suami berasa bertuah memiliki anda dan
pandai menjaga nama baiknya. Menjadi penyokong setia dalam
kehidupannnya. Berperanan sebagai 'pengkritik' yang berhikmah terhadap
kekurangannya. Pandai menjaga tingkah laku dan memilih perkataan yang
sopan.
Layan suami sampai syurga
Wahai isteri, suami anda boleh menjadi pintu syurga anda. Boleh juga menjadi jambatan ke neraka.
Beruntunglah isteri yang solehah. Rasulullah SAW bersabda: "Apabila
wanita menunaikan solat lima waktu, puasa sebulan (Ramadan), menjaga
kemaluannya, dan mentaati suaminya; maka disampaikan kepadanya: masuklah
syurga dari pintu mana saja yang kamu mau." (Disahihkan Al-Albani dalam
Shahih Al-Jami’)
Layani suamimu sehabis baik. Gembirakan hatinya. Damaikan perasaannya.
Jika suami bertanya: "Mengapa sayang lakukan semua ini?." Bisikkan di
telinganya: "Abang…inilah isterimu."
ABD RAZAK MUTHALIB
(Penulis adalah Perunding Latihan & Motivasi di AITC. Graduan
ijazah sarjana dalam bidang Ilmu Wahyu & Sains Kemanusiaan, UIA)
No comments:
Post a Comment