Kekalahan 0-6 kepada Oman pada aksi persahabatan antarabangsa di tempat
lawan pada 26 Mac lepas, menyaksikan Malaysia jatuh 11 anak tangga dalam
ranking bola sepak dunia.
Berdasarkan ranking terbaharu dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak
Antarabangsa (FIFA) hari ini, Malaysia berada pada kedudukan ke-164
dunia dan merupakan keputusan terburuk bagi tahun ini.
Untuk rekod, skuad kendalian Dollah Salleh meraih kedudukan ke-154 dunia
pada Januari serta Februari dan meningkat satu anak tangga pada
kedudukan ke-153 dunia bulan lepas.
Kedudukan terkini itu, meletakkan skuad kebangsaan sebaris dengan
beberapa pasukan seperti Bhutan (163), Grenada (165), Puerto Rico (166)
selain Hong Kong dan Bangladesh yang berkongsi kedudukan ke-167 dunia.
Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia turun dua anak tangga
untuk berada di tempat kelapan di belakang Vietnam (125), Filipina
(139), Thailand (142), Timor Leste (152), Myanmar (158), Indonesia (159)
dan Singapura yang berada pada kedudukan ke-162 dunia.
Kedudukan Malaysia di peringkat Asia turut menyaksikan mereka turun
empat anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-33 dari 46 negara.
Juara Piala Dunia 2014, Jerman terus mengekalkan status sebagai pasukan
terbaik dunia dengan mengumpul 1,687 mata, diikuti Argentina di tangga
kedua dengan 1,490 mata.
Wakil Eropah, Belgium pula naik satu anak tangga untuk berada pada
kedudukan ketiga selepas mengumpul 1,457 mata, dan ia susulan kejayaan
mereka meraih kemenangan berdepan Israel dan Cyprus dalam kempen
kelayakan Kejohanan Bola Sepak Eropah 2016, bulan lepas.
Colombia pula turun ke tangga keempat dengan kutipan 1,449 mata dan
kedudukan keseluruhan ranking tersebut, melibatkan 209 negara.
- Bernama
No comments:
Post a Comment