Oleh RAZALI ENDUN
8MAC 2014, kesibukan di KLIA seperti biasa, penuh dengan para penumpang yang tiba dan akan berangkat.Kehadiran sanak saudara yang menghantar dan menjemput turut menambahkan kesibukan yang memangnya sudah sibuk.
Para penumpang beratur dan berpusu-pusu di kaunter check-in bagi urusan bagasi.
Malam itu penerbangan MAS MH370 dijangka akan terbang menuju ke Beijing pada jam 12.42 malam. Pesawat Boeing 777- 200 dengan pengisian minyak sebanyak 49,100 kilogram sudah siap sedia di landasan. Ianya dijangka akan tiba di Beijing pada jam 6 pagi waktu tempatan.
Di antara para penumpang itu terdapat seorang lelaki warga Israel dan Iran yang berada di dalam pesawat itu. Lelaki Israel itu berbadan tegap dan sasa berusia dalam lingkungan 30-an. Namanya ialah Adam Moses. Dia adalah ejen rahsia Mossad yang ditugaskan untuk menculik saintis Iran yang turut sama terbang dalam pesawat itu.
Arahannya supaya warga Iran itu dibawa ke Israel hidup-hidup. Jangan dicedera atau dibunuh.
Manakala warga Iran itu ialah Profesor Dr Mahmet Iskander seorang saintis nuklear Iran.
Dia berbadan kecil, setengah botak dan berusia awal 50-an.
Misinya ke Beijing ialah mahu mendapatkan formula membina bom nuklear daripada saintis China. Iran dalam peringkat akhir membina bom nuklear bagi menandingi kuasa nuklear Israel yang dirahsiakan. Israel memiliki beratus-ratus bom nuklear yang sengaja dirahsiakan daripada pengetahuan dunia.
Israel tidak mahu ada negara-negara jirannya di Timur Tengah memiliki kuasa nuklear sepertinya. Ianya akan mengancam keselamatan Israel. Justeru itu Israel mencari helah mahu memusnahkan loji nuklear Iran supaya negara itu tidak boleh menyainginya.
Hasrat itu tidak disetujui oleh Amerika Syarikat, maka cita-cita Israel mahu mengebom loji itu terbantut.
Adam Moses memanjat tangga kapal terbang membimbit sebuah beg ala James Bond. Di dalam beg itu penuh dengan peralatan spy yang akan digunakan dalam misinya.
Begnya melepasi kawalan keselamatan di lapang terbang KLIA. Dia menggunakan gajet yang dibekalkan oleh bosnya di Mossad.
Gajet itu boleh melindungi pengisian beg itu tanpa dapat dikesan oleh pengimbas X-ray di lapangan terbang itu. Beg itu tidak pernah lepas dari genggaman tangannya. Dia duduk sebaris dengan lelaki Iran itu, cuma dipisahkan oleh lorong pejalan kaki yang memisahkan rangkaian tempat duduk itu.
Lelaki Iran itu tidak menghiraukan kehadiran lelaki Israel itu. Walaupun terdetik dalam hatinya akan bahaya, namun dia tidak ambil pusing sangat dengan kehadiran para penumpang dalam pesawat itu.
Penumpang sudah memenuhi kerusi-kerusi dalam pesawat.
Seramai 227 penumpang sudah memenuhi pesawat itu.
Manakala 12 anak kapal sudah siap siaga untuk memberikan perkhidmatan mereka.
Kebanyakan penumpang ialah warga China yang mahu pulang ke negara mereka. Yang lainlain warga Malaysia keturunan China, beberapa orang warga Australia, Belanda, Israel dan Iran. Para penumpang kelihatan ceria tanpa curiga.
Enjin pesawat sudah dihidupkan. Kakitangan pesawat sibuk memberikan taklimat keselamatan kepada para penumpang pada saatsaat menempuh keadaan kecemasan. Pesawat mula bergerak. Kedengaran suara Ketua Pramugari membuat pengumuman dalam tiga bahasa iaitu Inggeris, Melayu dan Mandarin.
“Selamat pagi tuan-tuan dan puan-puan. Juruterbang pesawat ini ialah Kapten Zaharie Ahmad Shah dan akan dibantu oleh pembantu juruterbang Fariq Abdul Hamid, dengan sokongan seramai 12 kru. Penerbang ke Beijing memakan masa kira-kira 5 jam 34 minit. Kita dijangka tiba di Beijing pada jam 6 pagi waktu Beijing.”
Lelaki Israel itu tidak menghiraukan pengumuman itu. Dia hanya rileks sambil menyandarkan badannya dikerusi. Dia cuba melelapkan mata, akan tetapi matanya enggan lelap. Dia asyik memikirkan perancangan yang sudah diatur bagi menjayakan misinya. Berbulan-bulan dia mengumpul maklumat dan menjalani latihan untuk menculik saintis Iran itu.
Perancangan ini diklasifikasikan sebagai top secret. Dia mengharapkan perancangannya akan berjalan seperti yang telah diatur.
Cuaca baik malam itu. Langit cerah membiru. Pesawat sedang menuju untuk melintasi Vietnam dalam penerbangannya ke Beijing. Lebih kurang satu jam selepas berlepas dari KLIA, ketika berada di ruang udara perairan Teluk Siam dan Laut China Selatan, Adam Moses berjalan menuju ke kokpit pesawat.
Di tangannya sepucuk revolver. Dia mendorong pintu yang memisahkan kokpit dengan ruang penumpang. Sebaik daun pintu terkuak dia mengucapkan, “Good night, Malaysia 370.”
Ucapannya terakam dan dapat didengar di pusat kawalan trafik udara Ho Chi Minh. Kedua-dua juruterbang terperanjat dan memusing kepala mereka ke arah Adam Moses.
“Jangan panik. Bertenang. Buat seperti biasa. Jangan timbulkan curiga para penumpang. Ini adalah rampasan. Beri kerjasama. Anda tidak akan dicederakan jika berikan kerjasama,” demikian ujar ejen Mossad itu sambil meletakkan beberapa gajet di dalam kokpit itu. Gajet itu bagi melindungi pesawat itu daripada dikesan oleh mana-mana radar termasuk radar tentera. Itulah alat teknologi terbaru yang dicipta oleh saintis Israel.
Kapten Zaharie walaupun sedikit gementar cuba menenangkan perasaannya.
“Apa yang harus kami buat?” Kapten Zaharie memberanikan bertanya.
“Bawa pesawat ini ke Tel Aviv,” jawab Adam Moses ringkas.
“Pusingkan pesawat ini ke arah barat menuju ke Lautan Hindi,”perintah ejen Mossad ini dengan suara tenang.
“Tapi Tel Aviv itu jauh, takut minyak tidak mencukupi untuk sampai ke sana,” jelas Kapten Zaharie.
“Pesawat ini tentu ada tangki simpanan, gunakan tangki itu,” lelaki Israel itu memberi arahan dengan mengeraskan suaranya.
“Kalau tidak kepala anda akan ditembusi peluru pistol ini,” ugut lagi ejen Mossad itu. Kapten Zaharie semakin kecut. Tangannya mulai mengigil.
Tidak ada pilihan bagi Kapten Zaharie. Dia terpaksa mengikuti arahan ejen Mossad itu. Dengan berat hati dia memusingkan pesawat itu daripada mengarah ke Beijing menuju balik ke arah Semenanjung. Dia berbuat demikian bagi menyelamatkan penumpangnya.
Pesawat melintasi ruang udara Thailand, Malaysia dan Sumatera menuju ke lautan Hindi yang luas. Sememangnya hubungan komunikasi antara pesawat dan menara kawalan sudah terputus sejak berada di ruang udara Teluk Siam. Dan sepanjang itu juga pesawat itu tidak dapat dikesan oleh radar dari mana-mana menara kawalan.
Sebaik-baik sampai di selatan Lautan Hindi, Kapten Zaharie memusingkan pesawat ke arah Selatan pula. Hasratnya mahu menuju ke Australia.
Harapannya menara kawalan di Australia akan dapat mengesan pesawatnya dan dia dapat mendarat di Perth dengan selamat. Setengah penerbangan, ejen Mossad itu dapat mengesan arah tuju pesawat.
“Kamu mahu bawa pesawat ini ke mana?” jerit lelaki Israel itu.
“Ke Perth, Australia, di sana nanti boleh mengisi minyak,” jawab Kapten Zaharie dengan suara agak gementar.
Meter minyak sudah menurun. Dia memusing punat tangki minyak simpanan bagi mengalirkan minyak ke dalam enjin pesawat.
Menyedari di Australia nanti akan menjadi lebih kecoh, dia memaksa Kapten Zaharie supaya tidak turun di sana.
“Jangan! Jangan pergi ke Perth, pergi ke tempat lain,” arah lelaki Israel itu dengan keras.
Kapten Zaharie mematuhi arahan ejen Mossad itu. Dia lalu memusingkan pesawat ke arah lebih selatan menuju ke Antartika. Kapten Zaharie menyedari pesawatnya tidak mungkin dapat sampai ke Antartika kerana bekalan minyaknya tidak mencukupi.
Bekalan minyak dalam tangki simpanan sudah digunakannya.
Dia bertawakal sahaja kepada Allah, harap-harap keajaiban akan berlaku.
Sebaik-baik sahaja pesawat menghampiri benua Antartika, pesawat mula meragam. Enjin pesawat sudah mati. Pesawat kehabisan minyak. Kapten Zaharie memberi isyarat kepada penumpang bahawa pesawat dalam bahaya. Penumpang mula panik dan kelam kabut.
Dia turut memberi isyarat SOS kepada menara kawalan berhampiran. Hampa, alat komunikasinya sudah tidak berfungsi. Penumpang semakin panik. Lelaki Israel itu membentak-bentak menyuruh Kapten Zaharie menghidupkan enjin semula. Tidak ada daya upaya Kapten Zaharie berbuat apa-apa kerana pesawat sudah kehabisan minyak.
Kapten Zaharie ternampak dataran memutih di hadapannya.
Dia cuba mendaratkan pesawatnya di dataran itu. Dia memandu dengan tawaduk dan yakin akan dapat mendaratkan pesawatnya di atas daratan itu.
Dapatlah dia menyelamatkan nyawa para penumpangnya.
Sebagai kapten pesawat, keselamatan penumpang menjadi keutamaan daripada keselamatan dirinya.
Sebaik-baik sahaja roda pesawat menjejak di atas dataran yang memutih itu, kapal terbang itu mendap ke bawah dasar laut Antartika. Dataran memutih yang dilihat oleh Kapten Zaharie itu sebenarnya selaputan salji yang menutupi air laut.
Dataran yang dijangka keras itu rupanya selaputan ais di permukaan laut Antartika.
Kapten Zaharie sudah cuba menyelamatkan nyawa penumpangnya. Dia tidak ada daya upaya lagi. MH370 menjunam terus ke dasar laut dengan pusaran buih air dingin yang menujah permukaan laut.
Kapten Zaharie dan pembantunya lemas. Lelaki Israel itu tercungap-cungap menahan curahan air laut yang dingin menerjah paru-parunya.
Penumpang terperangkap di dalam kapal terbang itu. Mereka akhirnya kaku bersama-sama bangkai pesawat MH370. Maka bersemadilah pesawat MH370 bersama-sama 227 orang penumpang dan 12 krunya di dasar laut Antartika yang beribu meter dalamnya.
Pesawat itu terbenam di dasar laut. Tiada puing-puing, serpihan atau cebisan yang dapat dikesan.
Maka kehilangan pesawat itu menjadi misteri yang belum dapat dirungkai hingga kini.
No comments:
Post a Comment