UtusanDaily

Friday 27 June 2014

Masam cuka banyak khasiat

Dr. Bahrain Samah

Cuka berkeladak mengandungi pelbagai nutrien bermanfaat.
Cuka berkeladak mengandungi pelbagai nutrien bermanfaat.

CUKA digunakan manusia sejak berabad yang lalu. Ini disebut dalam hadis, daripada Ummu Said RA, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sebaik-baik hidangan ialah khal (cuka). Ya ALLAH, berkatilah pada khal (cuka). Sesungguhnya ia adalah makanan golongan nabi sebelum aku.

Tidak akan dilanda kemiskinan rumah yang ada khal (cuka)". (Riwayat Muslim, Ibnu Majah) Khal iaitu istilah Arab bagi cuka.

Buah-buahan yang biasa digunakan untuk dijadikan cuka ialah anggur, tamar, tin (fig), epal dan pir. Ia juga disediakan daripada nira kelapa, nira nipah, beras dan gula tebu. Proses fermentasi atau penapaian membantu bakteria penapaian mengubah gula buahbuahan kepada etanol iaitu sejenis alkohol.

Apabila pemeraman diteruskan, bakteria asetik asid pula akan mengubah etanol kepada asid asetik.

Cuka yang digunakan orang zaman dahulu termasuk zaman Rasulullah SAW dan nabi terdahulu disediakan dengan memeram buah-buahan.

Sebaliknya cuka zaman moden yang biasa digunakan sebahagian besar suri rumah seluruh dunia hari ini adalah cuka buatan. Cuka buatan hanya terdiri daripada asid asetik dan air.

Walaupun cuka buatan berwarna jernih yang biasa dijual di kedai runcit dan pasar raya besar merupakan cuka gred makanan namun ia hanya mengandungi 5 peratus asid asetik yang dilarutkan dalam 95 peratus air. Tidak seperti cuka buahbuahan, cuka buatan kilang sudah tentu tidak mengandungi bahan-bahan kimia, organik, vitamin dan mineral.

Khasiat cuka

Cuka buah-buahan sediaan tradisional tidak bertapis bantu jaga kesihatan jantung.
Cuka buah-buahan sediaan tradisional tidak bertapis bantu jaga kesihatan jantung.

Berdasarkan kitab Al-Qanun Fi Al-Tib (karya Ibnu Sina) dan kitab Al-Tib Al-Nabawi (karya Ibnu Qaiyyim), cuka menawarkan pelbagai manfaat untuk kesihatan manusia:

Membantu mencegah pembentukan penyakit berkaitan pembengkakan seperti bisul dan kanser.

Membantu membuang darah kotor dan melancarkan aliran darah.

Membantu mengharmonikan fungsi hati, melancarkan pembuangan toksin dan mengurangkan paras kolesterol.

Membantu mengharmonikan pergerakan usus dan melancarkan proses pencernaan makanan.

Membantu merawat masalah kerongkong, kahak dan batuk berpanjangan.

Membantu kulit daripada kesan kepanasan cahaya matahari (penulis: cuka bantu awet muda).

Membantu mengimbangi kadar asid-alkali dalam tubuh selain mengeluarkan lebihan garam.

Membantu metabolisme berjalan lebih lancar dengan membakar kalori secara lebih cepat.

Membantu tubuh menyerap kalsium secara lebih sempurna. Jadi, ia dapat menguatkan tulang dan gigi.

Membantu merawat masalah rahim (cuka cair boleh digunakan untuk menyiram vagina bagi memelihara kesihatan vagina dan keharmonian flora (bakteria) vagina).

Membantu menguatkan mata dan telinga.

Membantu merawat gastrik. Gastrik (gastritis) biasanya dipercayai akibat asid berlebihan dalam perut namun sesetengah pakar berpendapat gastritis dan asid refluks berpunca daripada kekurangan asid.

Membantu merawat masalah hempedu iaitu melarutkan batu hempedu yang terbentuk daripada kolesterol.

Mampu mencegah keracunan berpunca daripada pengambilan pelbagai jenis ubat.

Mampu meningkatkan kuantiti susu ibu.

Mampu melancarkan perjalanan darah yang berketul dalam perut (gangguan haid).

Mampu menghilangkan dahaga dan mengurangkan haba tubuh.

Berikut adalah beberapa sifat terapeutik cuka, bagaimanapun manfaatnya tidak terbatas kepada sifat yang dibincangkan dalam artikel ini:

1. Bersifat antibakteria. Asid organik cuka buah-buahan terutama asid asetik dikatakan masuk ke dalam sel melalui membran plasma dan membunuh bakteria di dalam sel. Makanan diperam dengan cuka memiliki asid organik bersifat antibakteria seperti asid laktik, askorbik, malik, sitrik, propionik, succinic dan tartarik.

2. Bersifat antioksidan yang berkuasa. Radikal bebas merupakan bahan utama yang menyebabkan stres oksidatif dalam tubuh. Jadi, bahan antioksidan dalam cuka buah-buahan mampu menyekat serangan radikal bebas dengan menderma elektron.

3. Bersifat anti-hiperglisemik (menurunkan paras gula darah). Cuka dipercayai menghalang penghadaman karbohidrat kompleks secara penuh (hanya sebahagian karbohidrat kompleks diubah kepada gula ringkas). Pengambilan cuka untuk mengawal
paras gula darah penghidap diabetes disebut penulis dalam buku berjudul Diabetes Jenis 2 terbitan Alaf 21.


Profil lipid

Bahan antioksidan cuka buah-buahan dipercayai berupaya mengurangkan risiko kanser. Cuka Kurosu iaitu cuka beras tradisional Jepun didapati dapat menghalang pertumbuhan pelbagai jenis sel kanser termasuk kolon, paru-paru, pundi kencing dan prostat.

Kibizu iaitu cuka tradisional Jepun yang diperbuat daripada gula tebu (bukan gula putih terproses) didapati berupaya menghalang pertumbuhan sel-sel leukemia. Mengambil cuka juga dikatakan mampu menghalang kanser esophagus.

Satu daripada mengawal berat badan dan menurunkan berat badan ialah mengambil cuka buah-buahan. Ia mempunyai sifat anti-obesiti dipercayai kerana ia membantu seseorang cepat berasa kenyang dan seterusnya kesan tersebut membantu  mengurangkan jumlah pengambilan makanan.

Cuka membantu kesihatan jantung dengan pelbagai cara. Bahan-bahan antioksidan dalam cuka buah-buahan dipercayai menghalang kerosakan arteri. Keadaan tersebut membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

Bahan antioksidan cuka buah-buahan membantu mencegah kerosakan membran sel daripada kerosakan oksidatif. Mekanisme ini dipercayai menyebabkan paras kolesterol rendah (LDL rendah, HDL tinggi dan jumlah kolesterol serta trigliserida dalam julat
selamat). Selain itu cuka juga mampu mengurangkan tekanan darah.

Bahan berasaskan asid amino yang terdapat dalam cuka buah-buahan tidak bertapis dikatakan mampu membantu merawat kecederaan akibat kebakaran.

Pengambilan bakteria asid asetik pula dikatakan membantu mengurangkan kerosakan otot berpunca daripada keradangan yang berlaku selepas melakukan senaman atau kerja berat.

Pengambilan cuka dipercayai meningkatkan keupayaan kognitif pada manusia. Kajian mendapati bakteria asid asetik membina prekursor kepada bahanbahan binaan asas tisu otak dikenali sebagai sphingolipids.

Cuka buah-buahan dipercayai mampu membantu tubuh menyerap nutrien secara lebih cekap. Dalam hadis yang direkodkan Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda, "Sebaik-baik (bahan) yang dicampurkan dalam hidangan adalah cuka." (Riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive