UtusanDaily

Wednesday, 11 June 2014

Apabila Hilangnya rasa kemanusiaan dalam jiwa manusia

DR AMINUDIN MANSOR

http://www.khairilmazri.com/wp-content/uploads/2013/12/buang-bayi.jpg
BANYAK kes jenayah kebelakangan ini membuktikan bahawa banyak manusia sudah hilang nilai kemanusiaan. Kes rogol seorang gadis membabitkan 38 lelaki menjurus kepada sifat kebinatangan dan sadisme; perlakuan memuaskan nafsu dengan menyakiti dan menyeksa orang lain jauh daripada sifat kemanusiaan.

Kes pembunuhan kejam kanak-kanak perempuan Siti Soffea Amelda berusia dua tahun enam bulan yang dilarikan di Kompleks Kota Raya, Kuala Lumpur yang putus leher dan kecederaan teruk di kepalanya adalah kes kejam dan di luar sifat kemanusiaan. Pembunuhnya yang mati terjun Sungai Klang adalah bekas banduan yang baharu keluar penjara atas kesalahan dadah, samun dan curi motosikal. Kes terbaharu, mayat seorang bayi lelaki berusia enam bulan dibuang ke dalam gaung di jalan Genting Highlands.

 Manusia boleh berubah menyamai sifat haiwan apabila dipengaruhi oleh dadah atau minuman keras. Manusia yang dipengaruhi benda-benda haram ini akan menyebabkan fikirannya tidak waras dan sering bertindak di bawah sedar serta tanpa kawalan.

Saat manusia hilang sifat kemanusiaan, dia akan menjadi seperti haiwan yang buas, ganas  dan dikuasai nafsu. Pelbagai perbuatan jenayah kejam boleh dilakukan oleh manusia seperti ini seperti - rogol, pembunuhan kejam dan sebagainya yang kadang-kadang tidak terfikir oleh akal manusia yang waras.

 Manusia yang tinggi sifat kemanusiaannya dipanggil manusiawi yang kental sifat kemanusiaan iaitu mempunyai ciri-ciri hidup yang lebih mulia, abadi dan sebati dengan iman dan takwa, mengamalkan perintah beramar makruf nahi mungkar.

 Manusia tanpa pegangan Islam yang kukuh jelas tidak beragama, tidak mempunyai akal ke arah kebaikan, tidak berjiwa sensitif dan mempunyai perasaan serta tidak berperikemanusiaan apabila dipengaruhi oleh pengaruh dadah dan alkohol.

 Manusia tidak akan mampu menjaga akalnya kecuali dengan iman. Kajian menunjukkan bahawa tekanan jiwa dan depresi akal banyak dalam diri golongan begini. Apa yang membezakan manusia dengan binatang, tidak lain adalah akal yang boleh berfikir ke arah kebaikan. Binatang sanggup berbuat sesuatu bagi kenikmatannya, manusia mampu berfikir ke arah kebaikannya.

 Dalam dunia serba moden dan era globalisasi sekarang kita sukar untuk mengenali dan membezakan orang yang baik dengan penjenayah. Jika dulu boleh dikenal melalui muka yang garang dan bengis, pakaian yang tidak terurus dan rambut kusut-masai. Tetapi sekarang tidak lagi, penjenayah memakai minyak wangi berjenama, bertali leher, membawa lap top terbaharu, telefon pintar, gajet canggih, bercakap lemah lembut dan kadang-kadang tinggal di hotel lima bintang. Justeru, kita jangan mudah terpengaruh.

 Sebagai manusia kita perlu mendidik hati dan jiwa ke arah ketenangan dan kebaikan. Jauhi benda-benda haram yang boleh merosakkan akal fikiran kita seperti pelbagai jenis dadah, pil kuda dan minuman keras. Semuanya boleh menjurus kepada kezaliman, kekejaman dan membawa pengaruh sifat kebinatangan.

Berkaitan dengan kezaliman ini, Nabi SAW berpesan: "Jauhilah kezaliman, sesungguhnya kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat. Jauhilah kebakhilan, sesungguhnya kebakhilan itu telah membinasakan (umat-umat) sebelum kaum mereka saling membunuh dan menghalalkan apa-apa yang diharamkan." (Riwayat Al Bukhari).

 Apabila saat manusia hilang sifat kemanusiaan maka dia boleh sahaja menjadi orang yang zalim, kejam, bengis dan tidak berperikemanusiaan. Perangainya pun pelik-pelik, ada unsur ganas macam binatang seperti kuda, haruan, harimau dan sebagainya. Sifat-sifat ini bukanlah sifat manusia yang beriman, berakhlak dan bertakwa. Tidak hairanlah orang Melayu dahulu mencipta peribahasa "Seperti haruan makan anak", "Seperti kuda liar", yang melambangkan keganasan, tidak dapat mengawal diri dengan kerakusan nafsu akibat mengambil benda haram yang mengkhayalkan dan berbahaya.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive