SEJAK awal lagi, aktor tampan ini tidak pernah
merahsiakan sisi peribadinya daripada peminat seni tempatan. Malah dia
juga sering berkongsi gambar peribadi bersama tunang tercinta, Kim
Raymond di laman sosial Instagram miliknya.
Mengakui bakal mengakhiri zaman solonya tahun hadapan, bintang drama
bersiri Ariana Rose ini memberitahu, dia sudah bersedia menempuh alam
rumah tangga.
"Umur semakin meningkat dan rasanya saya tidak perlu menunggu lebih
lama untuk bertukar status," katanya bertunang dengan Kim, Jun lalu.
Jelas pelakon yang dikenali sebagai Keith Foo ini, dia yakin tahun hadapan adalah yang terbaik baginya menamatkan zaman bujang.
"Perancangan telah dibuat dan saya harap semuanya berjalan lancar," katanya hubungannya dengan Kim baik-baik sahaja.
Di aju pertanyaan adakah dia tidak bimbang kariernya mungkin terjejas
selepas berkahwin, jelas pelakon berdarah China - India ini, dia percaya
kepada rezeki.
"Sekarang peminat menilai kita dari sudut kebolehan dan bakat lakonan, bukan kerana rupa semata-mata.
"Ramai artis yang sudah berkahwin masih mencipta populariti dan nama dalam bidang diceburi.
"Saya yakin, jika itu yang menjadi pilihan peminat, saya akan terus
diterima dalam industri ini," ujarnya ketika ditemui pada program Suzuki
Mega Roadshow baru-baru ini.
Tolak sikap 'demand'
Beralih mengenai perkembangan terbarunya, Keith sempat meninggalkan
pesan buat peminat supaya tidak lupa menantikan filem terbarunya Langit
Cinta yang akan ditayangkan Mei 2015.
"Walaupun masih dalam proses pembikinan tetapi saya sangat teruja
menantikan pelancaran filem ini. Lebih-lebih lagi ia gandingan sulung
saya bersama Fazura.
"Bagi saya dia pelakon yang hebat dan pengalaman berlakon dengannya sangat menarik," katanya.
Selain itu, ujar Keith dia juga sedang menjalani penggambaran beberapa
buah drama. Malah dia juga tidak pernah bersikap 'demand' dalam menerima
apa-apa tawaran, baik drama mahupun filem.
"Saya mula dikenali dengan drama di negara ini. Bagi saya, peminat sudah selesa dengan kehadiran saya menjadi hero-hero drama.
"Untuk filem pula, jika ada tawaran yang baik, saya akan terima. Itu
pun jika ia tidak bercanggah dengan mana-mana tawaran drama atau kerja
lain yang sudah diterima," katanya.
Berkongsi mengenai pembabitannya menerusi Suzuki Mega Roadshow, akui
Keith Foo, ia merupakan kesempatan terbaik baginya memandangkan dia
salah seorang peminat Suzuki.
"Apabila diberi peluang menyertai program ini memang saya tidak menolak.
"Sementelah lagi Suzuki adalah kenderaan pertama yang saya miliki," katanya.
Jelasnya, menerusi siri jelajah tersebut, selain berkesempatan bertemu
peminat, dia juga akan berkongsi pengalaman peribadinya, tip dan nasihat
kepada pengguna Suzuki.
No comments:
Post a Comment