Nahas berganda ujian terhadap MAS - Mufti
PUTRAJAYA: Dua tragedi membabitkan Malaysia Airlines (MAS) dalam tempoh empat bulan adalah ujian daripada Allah SWT dan tiada siapa pun boleh meletakkan kesalahan pada kerajaan Malaysia atau syarikat penerbangan kebangsaan itu, kata mufti terkemuka dari Zimbabwe, Ismail Musa Menk.
Penceramah motivasi popular itu berkata, tragedi berkenaan bukanlah satu hukuman daripada Allah dan ia tidak bermakna apabila seseorang itu ditimpa musibah, Allah murka terhadap mereka.
"Hakikatnya ini adalah ujian yang kita, sebagai orang beriman, percaya bahawa ujian bermaksud takdir yang perlu kita tempuhi dengan sebaik mungkin," katanya selepas mengunjungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Ismail berkata, pihak yang menyalahkan Malaysia atau MAS sebenarnya tidak memahami apa yang sebenarnya berlaku.
"Saya rasa tidak adil untuk menyalahkan kerajaan Malaysia dan MAS. Saya rasa adalah naif dan tidak tepat sebab perkara ini boleh berlaku kepada sesiapa pun.
"Malaysia terpaksa melalui semua ini dan ia bukanlah pilihan mereka sama sekali. Perkara ini sudah ditakdirkan dan tiada apa yang boleh Malaysia lakukan," katanya.
Ismail berkata, kunjungan hormatnya ke atas Najib itu bertujuan menzahirkan setiakawan kepada Malaysia dan kepimpinannya, serta keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi itu.
Beliau berkata, hakikat bahawa MAS ditimpa musibah dua kali dalam tempoh sebegitu singkat adalah sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah.
"Menjadi tanggungjawab kita untuk memperlihatkan semangat setiakawan kepada mereka yang terlibat menerusi apa jua cara, lebih-lebih lagi kepada kepimpinan negara ini yang terpaksa memikul tanggungjawab berat berikutan tragedi ini," katanya.
Ismail berada di Malaysia sejak hari pertama Ramadan dan akan berada di negara ini sehingga selepas Aidilfitri.
Khamis lepas, pesawat Boeing 777-200ER Malaysia Airlines, membawa 283 penumpang dari 10 negara dan 15 kru, sedang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila terhempas di timur Ukraine.
Pada 8 Mac, pesawat MH370 hilang daripada skrin radar ketika terbang merentasi Laut China Selatan semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Penerbangan pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 kru itu dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi, di barat Perth, Australia.
Operasi mencari pesawat MH370 masih diteruskan namun sehingga kini belum berhasil.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment