UtusanDaily

Friday 25 July 2014

Haram guna sabun susu ibu: JAKIM

Kuala Lumpur: Penggunaan susu ibu dalam penghasilan produk seperti sabun atau peralatan kosmetik adalah haram, demikian keputusan mesyuarat panel pakar syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Hasil mesyuarat ke-86 pada pertengahan Jun lalu itu dibuat berdasarkan kaedah fekah yang bermaksud, sesuatu yang diharamkan untuk digunakan, ia juga haram untuk diambil dan diproses sebagai sabun.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha, berkata keputusan itu juga mengambil kira dasar Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) Kementerian Kesihatan yang menetapkan susu ibu atau sebarang bahan berasal daripada manusia tidak boleh digunakan dalam penghasilan produk kosmetik termasuk dalam penyediaan sabun.

Tiada bukti saintifik

Mengulas laporan BH mengenai beberapa kumpulan usahawan wanita di China cuba mengubah fungsi susu ibu dengan menjualnya dalam bentuk produk kecantikan, beliau berkata, keputusan panel pakar syariah JAKIM itu selaras dengan peraturan ditetapkan Annex II, Garis Panduan Kawalan Produk Kosmetik di Malaysia.

“Sehingga kini tiada bukti saintifik dapat menyokong tahap keselamatan atau keberkesanan susu ibu dalam produk kosmetik. Kedudukan manusia tinggi di sisi Allah berbanding makhluk lain, jadi semua anggota atau apa saja berasal daripada tubuh manusia perlu dihormati dan dimuliakan, tak boleh dimanfaatkan sewenang-wenangnya kecuali terdesak.

“Keadaan terdesak apabila ada kemudaratan yang boleh memusnahkan lima perkara dipelihara syariat, iaitu agama, akal, tubuh, maruah dan harga serta apabila tiada bahan lain yang diharuskan oleh syarak bagi menghilangkan kemudaratan berkenaan. Jadi, dilarang penggunaan susu ibu untuk kosmetik atau kegunaan luaran manusia.

“Ia demi memuliakan kedudukan manusia sendiri. Bahkan, masih banyak bahan utama lain boleh menggantikan fungsi susu isu dalam penghasilan sabun,” katanya dalam satu kenyataan ketika mengulas penggunaan sabun susu ibu, diperkenalkan sebagai produk rawatan kulit yang dilaporkan jadi kegilaan di beberapa wilayah di China.

Ia juga hangat dijual di laman beli-belah dalam talian ‘Taobao’ dan didakwa mampu menjadikan kulit lelaki dewasa lebih putih, sihat, licin dan cantik.

Mengenai tindakan kumpulan tertentu di negara ini berkongsi tips menghasilkan sabun dari susu ibu dan menjual produk berkenaan, Othman berkata, anggota atau apa-apa berasal daripada tubuh manusia tidak boleh dijual beli dan digunakan untuk tujuan kosmetik atau kegunaan luaran walaupun lebihan perahan susu sendiri.

“Bahkan sehingga kini tiada kajian saintifik yang mengesahkan khasiat susu ibu sebagai sabun. Jika wanita mempunyai lebihan susu yang selamat daripada penyakit berjangkit atau kesan ubat-ubatan yang diambil sebelum susu diperah, dia boleh mencari anak susuan yang benar-benar memerlukan susu ibu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive