Mohd Baki menunjukkan laporan polis yang dibuatnya pada 15 April lalu di Balai polis Bahau.
JEMPOL - Seorang bapa yang juga orang kurang upaya (OKU) terkejut
apabila mendapati wang sebanyak RM43,000 dalam akaunnya lesap
dikeluarkan tanpa pengetahuannya.
Mangsa, Mohd Baki Meon, 59, berkata, dia hanya menyedari wang berkenaan
'hilang' apabila dia ingin mengeluarkan simpanan tersebut untuk
membaiki kereta, tiga minggu lalu, namun mendapati baki akaunnya hanya
RM21 sahaja.
“Sebelum kejadian, saya sempat mengeluarkan RM20,000 untuk dipindahkan
ke dalam akaun isteri pada November lalu dan hanya mengeluarkan RM500
setiap bulan, bermula November untuk pembayaran bil kerana mempunyai
pendapatan daripada Felda sebanyak RM1,200 sebulan.
“Sepanjang tempoh itu, saya tidak menyemak baki simpanan berikutan
percaya wang dalam akuan bank itu selamat,” katanya yang menetap di
Felda Serting Hilir, dekat sini.
Menurut Mohd Baki, menerusi penyata akaun, dia mendapati wangnya
dikeluarkan hampir setiap hari dengan jumlah berbeza tanpa
pengetahuannya bermula Oktober tahun lalu.
Menceritakan perkara itu, bapa kepada lima anak ini berkata, sebulan
selepas terlibat dalam kemalangan Julai lalu, ada dua individu mendakwa
sebagai pegawai bank datang ke rumah untuk menguruskan kad bank baharu.
"Disebabkan kemalangan itu saya kini lumpuh seumur hidup dan saya
meminta pegawai bank datang ke rumah untuk membuat kad bank baharu.
"Mereka datang untuk menetapkan nombor pin baharu dengan menggunakan
nombor kad pengenalan. Ketika itu saya tidak mengesyaki apa-apa
sehinggalah berlaku perkara ini.
"Kehilangan wang itu memang menimbulkan tanda tanya kerana kad bank
dipegang sepanjang masa oleh isteri dan akan meminta anak mengeluarkan
wang sekiranya perlu,” katanya.
Katanya, dia berasa sangat terkilan kerana duit itu merupakan hasil
simpanan gajinya sebagai pemandu lori, caruman Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KSWP) dan pampasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Tambah Mohd Baki, satu laporan polis telah dibuat pada 15 April lalu dan perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak bank.
"Saya mahu pihak tersebut telus dalam penyiasatan termasuk melihat
rakaman kamera litar tertutup (CCTV). Namun apa yang saya kesalkan pihak
terbabit bagaikan membisu tanpa memberi sebarang maklumat mengenai
kehilangan itu," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hamzah Alias
ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat oleh
mangsa.
No comments:
Post a Comment