Orang
ramai dinasihat mengadakan bajet dengan menyenaraikan pendapatan dan
menolak setiap perbelanjaan tidak perlu. - Gambar hiasan
SHAH ALAM – Wanita sering dianggap lebih boros dan tidak berfikir
panjang untuk berbelanja berbanding lelaki terutama untuk membeli
kosmetik, pakaian, kasut, aksesori dan sebagainya, yang tidak termasuk
dalam kategori keperluan.
Malah bagi memenuhi kehendak terhadap perkara-perkara itu, ada yang
sanggup mengikat perut semata-mata untuk kelihatan cantik dan bergaya.
Persoalannya, benarkah wanita lebih suka berbelanja berbanding lelaki ataupun dalam kata lain, lebih boros?
Mengikut laporan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK),
berdasarkan kes yang diterima, ramai lelaki berusia 40 tahun ke atas
yang datang ke pusat khidmat pelanggan AKPK untuk mendapatkan kaunseling
mengurus wang termasuk nasihat untuk menyelesaikan hutang.
Lazimnya, lelaki pada peringkat usia ini dianggap mempunyai kehidupan yang lebih stabil serta kewangan yang kukuh.
Namun statistik AKPK sebaliknya menunjukkan sepanjang 2013, lelaki
berusia lebih 40 tahun merupakan golongan yang paling tinggi iaitu 42.4
peratus atau 39,220 orang mendapatkan khidmat agensi itu untuk membantu
mereka menguruskan hutang masing-masing.
Ini diikuti golongan berusia 30 hingga 40 tahun berjumlah 36,916 (39.9)
peratus dan 16,336 orang golongan berusia antara 20 hingga 30 tahun
(17.7 peratus).
Sepanjang 2013 juga, seramai 60,359 atau 65.3 peratus daripada sejumlah
92,472 pelanggan Program Pengurusan Kredit di agensi itu adalah lelaki
berbanding wanita sebanyak 29,725 atau 32.1 peratus.
Golongan yang berkahwin paling ramai mendapatkan khidmat AKPK iaitu
68,550 orang (74.1 peratus), diikuti bujang seramai 14,069 orang (15.2
peratus) dan bercerai seramai 4,144 orang (4.5 peratus) sementara
kematian pasangan seramai 1,727 orang (1.9 peratus).
Dari segi purata gaji, individu berpendapatan kurang RM24,000 setahun
adalah yang paling tinggi berdepan masalah hutang iaitu seramai 48,647
(52.6 peratus).
Ini diikuti 17,389 mereka yang berpendapatan antara RM24,000 hingga RM36,000.
Sementara mereka berpendapatan lebih RM40,000 mencatat jumlah lebih
tinggi iaitu 14,428 berbanding mereka yang berpendapatan RM30,000 hingga
RM40,000, 12,008 (13.0 peratus).
Menurut Ketua Jabatan Komunikasi Korporat AKPK, Mohamad Khalil
Jamaldin, antara faktor utama masalah kewangan dihadapi mereka kerana
perancangan kewangan lemah iaitu 22.8 peratus, kos perubatan tinggi
(18.1), kegagalan atau kelembapan dalam perniagaan (15.2) dan hilang
kawalan dalam penggunaan kad kredit (11.1).
Justeru, rakyat di negara ini disaran mengkaji semula corak
perbelanjaan, selain berjimat-cermat bagi mengelak pembaziran,
mewujudkan dana kecemasan dan mengelak membuat pinjaman baru.
"Sentiasa mengamalkan perbelanjaan berhemah, menabung
sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah pendapatan serta
berbelanja mengikut kemampuan antara cara berkesan yang boleh membantu
orang ramai bersiap sedia menghadapi masalah peningkatan kos sara
hidup,” katanya.
Menurutnya, cara paling mudah, mengadakan bajet dengan menyenaraikan pendapatan dan menolak setiap perbelanjaan tidak perlu.
Katanya, orang ramai lazimnya sedar akan masalah dihadapi akibat
situasi itu, namun jika mereka tidak melakukan apa-apa tindakan, boleh
menjejaskan kehidupan.
Dalam usaha meningkatkan pengetahuan terhadap pengurusan kewangan, AKPK
menyediakan beberapa program bagi menggalakkan golongan muda terhadap
budaya terbabit.
Antaranya, agensi itu menggiatkan usaha kempen dan kaunseling untuk
orang ramai mengurangkan perbelanjaan dan ubah cara hidup selain
meningkatkan pendapatan sama ada membuat kerja lebih masa atau
sebagainya bagi menampung kehidupan.
Beliau turut menyarankan orang ramai memanfaatkan perkhidmatan percuma
ditawarkan AKPK seperti Pendidikan Kewangan, Kaunseling dan Nasihat
tentang Pengurusan Kewangan dan Program Pengurusan Kredit.
Pihaknya akan bantu sediakan pelan pembayaran balik bagi setiap hutang
dihadapi termasuk berunding dengan pihak bank untuk tempoh bayaran
tertentu iaitu memanjangkan tempoh bayaran balik.
Katanya, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan AKPK melalui talian
bebas tol 1800-88-2575 atau mengunjungi cawangan terdekat di seluruh
negara.
No comments:
Post a Comment