UtusanDaily

Monday 21 September 2015

Disebalik musibah kren runtuh di Makkah

Ibrah sebalik kren jatuh di Makkah

YAKINLAH tidak ada musibah yang terjadi di muka bumi ini melainkan telah ditetapkan dalam takdir ALLAH SWT. ALLAH telah mentakdirkan apa yang ALLAH kehendaki pasti terjadi.

Peristiwa jatuhnya kren di Masjidilharam ketika jemaah haji sedang mengerjakan ibadat haji pada petang Jumaat 11 September, jam 5 petang (waktu Saudi) selepas Jemaah selesai mengerjakan solat Asar yang menyebabkan ratusan jemaah meninggal dunia dan ratusan lagi mengalami kecederaan adalah sama sekali bukan kerana kelalaian manusia.

kren runtuh

Anehnya, ekoran kejadian itu ada yang membuat persepsi dan konspirasi kononnya pada tarikh tersebut bersamaan 11 September di mana berlakunya runtuhan dan tumbangnya bangunan WTC (World Trade Center) New York dan tragedi konspirasi lainnya. Kenapa tragedi ini terjadi pada musim haji? Adakah hubungannya dengan HAARP (High Frecuancy Active Auroral Research Program) milik AS yang menjadi salah satu senjata paling hebat kerana mampu mengendalikan fikiran dan cuaca?

Semua andaian itu adalah persepsi belaka. Kekuasaan ALLAH mengatasi segala-galanya. Sesungguhnya di sebalik musibah itu terdapat hikmah dan ibrah yang antara lainnya adalah:


1. Musibah mendidik jiwa dan menyucikan dosa

Firman ALLAH yang bermaksud: “Apa sahaja musibah yang menimpa kamu maka disebabkan oleh perbuatan kamu sendiri dan ALLAH memaafkan sebahagian besar (daripada kesalahan kamu).” - (Asy-Syura: 30). Dalam ayat ini terdapat khabar gembira sekali gus ancaman jika kita mengetahui bahawa musibah merupakan hukuman atas dosa-dosa kita.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada penyakit kesedihan dan bahaya yang menimpa seorang mukmin hingga duri yang menusuknya melainkan ALLAH akan mengampuni kesalahannya dengan semua itu.” - (Riwayat Bukhari).


2. Mendapat pahala tak terhingga di akhirat

Ini merupakan balasan daripada musibah yang dideritai oleh seorang hamba sewaktu di dunia, sebab kegetiran hidup yang dirasakan di dunia berubah menjadi kenikmatan di akhirat kelak. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir.”


3. Sebagai ukuran kesabaran seorang hamba

Sebagaimana dituturkan, bahawa seandainya tidak ada ujian maka tidak akan nampak keutamaan sabar. Apabila ada kesabaran maka akan muncul segala jenis kebaikan yang menyertainya, namun jika tidak ada kesabaran maka akan lenyap pula kebaikan itu.


4. Dapat memurnikan tauhid dan hati kepada ALLAH

Wahab bin Munabih berkata: “ALLAH menurunkan ujian supaya hamba memohon doa dengan sebab bala/musibah itu.”

Firman ALLAH yang bermaksud: “Dan apabila Kami memberikan nikmat kepada manusia, ia berpaling dan menjauhkan diri, tetapi apabila ia ditimpa malapetaka maka ia banyak berdoa.” - (Fussilat : 51)


5. Mewujudkan bermacam ibadat yang menyertainya

Di antara ibadat yang muncul dan wujud adalah ibadat hati berupa rasa takut kepada ALLAH. Berapa banyak musibah yang menyebabkan seorang hamba menjadi istiqamah dalam agamanya, mendekati diri kepada ALLAH dan menjauhkan diri daripada kesesatan dan kemaksiatan.


6. Dapat mengikis sikap sombong dan besar diri

Jika seorang hamba keadaan dalam serba baik dan tidak pernah ditimpa musibah, biasanya ia akan bertindak melampau batas, lupa diri dan matlamat hidupnya. Adakah layak dan wajar ia menyombongkan diri di hadapan ALLAH dan sesama manusia?


7. Merupakan indikasi kebaikan bagi dirinya

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang dikehendaki oleh ALLAH kebaikan, maka ALLAH akan menimpakan musibah kepadanya.” - (Riwayat Bukhari). Seorang mukmin walaupun sarat dengan ujian dan musibah namun hati dan jiwanya tetap sihat.


8. Dengan adanya musibah, betapa besarnya nikmat

Jika seseorang dalam keadaan senang dan sihat maka dia tidak akan mengetahui derita orang yang tertimpa ujian dan cubaan serta kesusahan, dan dia tidak akan tahu pula besarnya nikmat yang dia peroleh.

Ketika seorang hamba terkena musibah diharapkan agar dia boleh berasakan betapa mahalnya nikmat yang selama ini dia terima daripada ALLAH SWT. Ibnu Qayyim menukil ucapan Ali bin Abi Talib: “Tidaklah turun musibah kecuali dengan sebab dosa dan tidaklah musibah diangkat oleh ALLAH kecuali dengan bertaubat.” - (Al-Jawabul Kafi, hal. 118).

Mengenai mereka yang ditimpa musibah di Makkah, semoga ALLAH mengampuni dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga-Nya. Bagi yang cedera semoga ALLAH sembuhkan dengan segera. Janganlah kita menyebarkan pula berita-berita dusta dan bohong di media-media sosial atau daripada sumber-sumber yang mencela, khususnya terhadap sesama Islam. Adalah nasihat penting untuk kita, semoga terhindar daripada fitnah-fitnah musuh ALLAH dan Rasul-Nya. Amin.


IBRAHIM ABDULLAH
Kampung Salor, Kota Bharu

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive