UtusanDaily

Tuesday, 2 December 2014

Malu sebab kencing malam

http://www.blogammar.com/wp-content/uploads/2012/10/kencing-malam.jpg
Masalah kencing malam boleh diatas melalui rawatan tertentu.

SEBAHAGIAN ibu bapa pasti pernah berhadapan dengan anak yang mempunyai masalah kencing malam. Biasanya kanak-kanak dengan masalah kencing malam menjadi bahan gurauan atau usikan dalam kalangan keluarga.

Keadaan sedemikian turut memberi kesan emosi kepada kanak-kanak berkenaan berikutan mereka malu dengan masalah yang sedang dihadapi.

Kencing malam atau bedwetting ialah kencing tidak disengajakan pada waktu malam di atas tilam dalam kalangan kanak-kanak berusia lima hingga enam tahun, malah dalam sesetengah kes hingga meningkat usia remaja.

Namun, tahukah anda bahawa kencing malam adalah perkara normal yang terjadi kepada kanak-kanak ketika dalam proses tumbesaran mereka.

Pakar Urologi dari Mahkota Medical Centre (MMC), Dr. Michael Cheng berkata, kencing malam dalam kalangan kanak-kanak ada sesuatu yang diwarisi.

"Tiga daripada empat kanak-kanak dengan kaitan ibu atau bapa mahupun saudara yang ada hubungan juga pernah mengalami masalah kencing malam ketika di usia kanak-kanak

"Masalah kencing malam, atau istilah perubatan noctual enuresis adalah perkara normal bagi kanak-kanak . Biasanya selepas kanak-kanak berumur lima atau enam tahun tabiat tersebut akan berhenti dengan sendiri

"Majoriti kanak-kanak yang mengalami masalah tersebut juga tidak mempunyai masalah kesihatan kesan dari tabiat kencing malam," jelasnya.

Tambahnya lagi, wujud beberapa faktor utama berkait rapat dengan masalah kencing malam.

Antaranya keturunan, kelewatan dalam mencapai tahap kematangan untuk pengawalan pundi kencing dan kurangnya penghasilan hormon anti diuretik (ADH) ketika tidur.

Dikatakan juga kanak-kanak yang mempunyai masalah kerap kencing malam disebabkan ruang pundi kencing mereka bersaiz kecil.

"Mereka yang mempunyai tidur yang nyenyak juga menyebabkan otak tidak dapat memberi isyarat bahawa pundi kencing mereka penuh.

"Keadaan ini menyebabkan pundi kencing tidak dapat mengawal perasaan ingin membuang air kecil dan menyebabkan mereka terkencing di tempat tidur pada waktu itu," katanya.

Ujar Dr. Cheng lagi, ibu bapa yang mempunyai anak dengan masalah sedemikian tidak perlu terlalu risau berikutan masalah tersebut akan pulih sendiri seperti sediakala.

Secara fakta, seramai 15 orang daripada 100 kanak-kanak yang kencing malam akan berhenti dan pulih secara sendiri tanpa menggunakan rawatan.

Bagaimanapun, jika ada antara mereka yang masih mempunyai masalah tersebut walaupun usia sudah meningkat awal remaja, digalakkan untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan nasihat selanjutnya

"Doktor akan bertanya beberapa soalan yang berkaitan dengan masalah yang dihadapi. Mereka perlu memberikan jawapan yang jujur, tepat dan tidak malu.

"Perlu diingatkan juga masalah kencing malam adalah perkara normal yang sering dikendalikan oleh doktor kepada kanak-kanak berkaitan

"Doktor melakukan ujian dan mengambil sampel air kencing mereka. Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah lain seperti sembelit, kencing pada siang hari atau jangkitan pada pundi kencing akan melalui ujian tambahan," ujarnya.

Katanya lagi, biasanya jenis rawatan yang disarankan oleh doktor adalah rawatan yang paling berkesan untuk mengubati masalah kencing malam.

Rawatan tersebut mengajar minda untuk melakukan rutin seperti bangun daripada tidur supaya mereka pergi ke tandas atau teruskan tidur seperti biasa dan menahan air kencing sehingga waktu pagi

"Rawatan lain termasuklah melakukan senaman regangan pundi kencing dengan membiarkan masa yang lama untuk membuang air kecil pada waktu siang, membaca petua-petua berkaitan pengawalan cara membuang air kecil, atau menggunakan penggera semasa sedang tidur.

"Penggera disambungkan kepada satu lapisan diletakkan dalam pakaian dalam mereka pada waktu malam. Jika mereka mula terasa untuk kencing, deria-deria akan memberi sentuhan dan mengaktifkan penggera.

"Penggera yang berbeza akan memberikan kesan bising atau deringan atau kedua-duanya., Bagaimanapun penggera mudah untuk digunakan dan membantu mengejutkan mereka yang tidur nyenyak," katanya

Menurut Dr. Cheng lagi, terdapat ubatan untuk membantu kanak-kanak yang mengalami masalah kencing malam.

Ubat tersebut akan membantu secara berkesan tetapi bukan untuk merawati masalah kencing malam. Ia amat berkesan jika digunakan bersama-sama penggera mahupun program latihan yang berkaitan.

"Keadaan tersebut mungkin memerlukan latihan dan mengambil masa untuk melatih minda yang memerlukan kesabaran. Kesannya mereka akan berhenti daripada masalah kencing malam," ulasnya.

Dr. Cheng turut berkongsi tip berkesan untuk membantu menangani masalah anak kencing malam.

Antara petua yang boleh dilakukan termasuklah galakkan anak membuang air kecil sebelum mereka masuk tidur,alas tempat tidur atau tilam dengan plastik bagi mengelakkan kebasahan

"Sediakan jam penggera untuk mengejutkan anak untuk membuang air kecil di tandas, lakukan senaman regangan pundi kencing bagi membantu pundi kencing mengawal dan menahan air kencing daripada terkeluar

"Kawalan melalui pengambilan ubatan dan elakkan memberi anak mengambil minuman seperti susu atau air sebelum tidur," katanya.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive