KUALA LUMPUR - Bilangan pesakit diabetes di negara ini telah mencapai
angka tertinggi dalam sejarah negara dengan 2.6 juta orang dewasa
menderita akibat penyakit tersebut.
Pakar Endokrinologi, Prof Madya Dr Norlaila Mustafa berkata, jika
penyakit tersebut tidak dikawal, ia akan membawa kepada komplikasi
serius termasuk serangan jantung dan kegagalan jantung berfungsi.
“Keadaan ini dijangka menjadi lebih teruk kerana masih ramai rakyat
negara ini meneruskan gaya hidup yang tidak sihat,” katanya ketika
taklimat media mengenai Kaitan Sarapan dan Diabetes Dalam Kalangan
Wanita, Kanak-kanak dan Lain-lain.
Beliau menerangkan fungsi asas sarapan menghindarkan kelaparan dan membantu mengelakkan terlebih makan pada waktu seterusnya.
Katanya, pengambilan sarapan juga memberi kesan psikologi positif pada individu.
“Kajian menunjukkan wanita yang mengambil sarapan akan mempunyai tahap rintangan insulin dan kolesterol lebih rendah.
“Tahap kolesterol rendah dikaitkan dengan risiko yang lebih rendah
untuk mendapat penyakit jantung. Manakala rintangan insulin pula
merupakan keadaan di mana hormon tidak mampu membawa glukosa ke dalam
sel badan secara berkesan,” katanya.
Menurutnya, sarapan juga memberi manfaat kepada remaja dengan kajian
mendapati individu yang mengambil sarapan mempunyai pengurusan berat
badan dan profil lemak yang lebih baik.
No comments:
Post a Comment