Dr Shaharir


KUALA LUMPUR - Bahasa Melayu memiliki kekayaan ilmunya tersendiri dan ia sangat penting untuk memperihalkan pelbagai ilmu termasuk Sains dan Matematik, kata Felo Penyelidik Utama, Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya, Prof. Dr. Shaharir Mohamad Zain.

"Setelah dikaji, pengungkapan Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu sudah lama wujud sejak abad kelima Masihi, dan Barat sendiri telah mengambil ungkapan Bahasa Melayu untuk dijadikan ilmu," katanya.

Prof. Shaharir, seorang ahli sains dan akademik, bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada program Siri Wacana Pemartabatan Bahasa Kebangsaan di Kolej Teknologi Makmal Perubatan Malaysia (KTPM) di sini, hari ini.

Ceramah beliau bertajuk "Bahasa Melayu Dalam Pengungkapan Sains dan Matematik".

Antara pengisian utama yang diketengahkan dalam ceramah adalah, 'Kaya-Miskinnya Bahasa Melayu', 'Kewujudan Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu Sebelum Abad ke-20 M', 'Nombor dan Angka Malayonesia', 'Aljabar', 'Geometri', dan 'Astrologi, Astronomi, Kosmologi, Kosmogoni, dan Kosmogenesis'.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Penguatkuasaan DBP, Abd. Karim A. Bakar memberitahu pemberita, penganjuran Program Siri Wacana Pemartabatan Bahasa Kebangsaan sebulan sekali adalah antara usaha DBP menyemarakkan program bahasa kebangsaan.

Ia antara langkah ke arah menyahut hasrat Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan (JKPBK) dalam menyemarakkan program pemasyarakatan bahasa kebangsaan melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk dalam bidang Sains dan Matematik.   

JKPBK dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Program wacana tersebut memberi pendedahan kepada pelbagai lapisan masyarakat mempelajari kekayaan Bahasa Melayu dalam pelbagai bidang.

"Sebenarnya, pengungkapan Bahasa Melayu dalam bidang Sains dan Matematik sangat luas dan ia tanpa batasan kerana kekayaannya membantu menjelaskan pelbagai istilah dalam bidang ini secara lebih mendalam.

"Kami juga memperluaskan pengungkapan Bahasa Melayu dalam bidang yang lain seperti ekonomi, undang-undang dan sebagainya," katanya. - Bernama