TEKA-teki kepada majlis pernikahan pasangan Syamsul Yusof dan Puteri
Sarah akhirnya terjawab apabila ibu kepada aktor tersebut, Datin Patimah
Ismail memaklumkan bahawa anaknya itu tetap akan meneruskan majlis
pernikahan tersebut.
Terdahulu, ada cakap-cakap yang mengatakan bahawa pernikahan ini
mungkin ditunda dek kerana kesihatan Syamsul yang terganggu kerana
terkena demam denggi serta Syamsul kini yang masih berada di wad.
"Untuk esok, majlis pernikahan akan diteruskan seperti yang dirancang.
Kami akan membawa Syamsul menggunakan kerusi roda. Majlis nikah tidak
boleh dibatalkan kerana borang nikah dan urusan Tok Kadi telah lama
diatur.
"Selepas nikah, Syamsul perlu kembali ke hospital semula. Jadi, untuk
majlis resepsi pada sebelah malamnya, terpaksa ditunda. Ini satu
keputusan yang berat daripada kedua-dua belah pihak. Tapi, saya puji
sikap bakal besan saya yang cukup memahami.
"Ikutkan, Syamsul tidak mahu majlis ditunda kerana segala persiapan
telah dilakukan, tapi memandangkan kondisi kesihatannya tidak
mengizinkan, majlis terpaksa juga ditunda," ujar Patimah ketika
dihubungi oleh sebuah portal hiburan, hari ini.
Tambah Patimah, keputusan menunda majlis persandingan sebelah pihak
perempuan dibuat dua hari lalu selepas pertemuan enam mata antara
kedua-dua pihak.
Ditanya tentang bila majlis resepsi tersebut akan dilangsungkan, beliau
berkata pihaknya perlu menunggu selepas dua minggu lagi.
"Kita kena tunggu selepas dua minggu lagi. Jika keadaan Syamsul
betul-betul sembuh barulah kita akan cari tarikh baru," jelasnya.
No comments:
Post a Comment