UtusanDaily

Monday, 24 March 2014

Budaya Woodstock sudah berada di Malaysia


45 tahun lalu kita melihat budaya songsang, dadah dan seks bebas berlaku di Woodstock, Amerika Syarikat (AS). Woodstock jauh daripada kita secara geografi ataupun politik. Akibat pesta muzik Woodstock yang diadakan pada 15 hingga 18 Ogos 1969 yang sampai kepada kita hanyalah fesyen lelaki berambut panjang dan sedikit seks bebas.

Tetapi 45 tahun kemudian, Woodstock sudah berada hampir dengan kita. Woodstock yang dicemuh seluruh dunia kegawatan moral pada era pasca modenisme yang menyekutukan muzik, seks bebas, arak dan dadah itu kini berada di depan kita, di stadium kebanggaan negara, Stadium Bukit Jalil, Malaysia.

Belum ada mana-mana sosiologis atau antropologis yang bersetuju bahawa pesta muzik Woodstock atau miripnya memberi kebaikan kepada manusia. Belum ada. Sebaliknya kesan daripada Woodstock itu amalan seks bebas meningkat dengan pantas, penagihan dadah dalam kalangan pengagum muzik pop juga meningkat. Artis muzik pop AS juga bertambah banyak terlibat dengan dadah dan menjadi sebagai salah satu gaya hidup.

Adakah apabila pesta muzik Woodstock sudah berada di negara ini menandakan satu kemajuan yang diimpi-impikan oleh sesetengah pihak? Adakah ini satu kejayaan Malaysia untuk menjadi pusat muzik liar di sebelah sini? Atau adakah ini sebagai kejayaan Zionis Yahudi yang memasarkan budaya pop kepada golongan muda di negara ini dan seterusnya meruntuhkan nilai yang dipertahankan dalam masyarakat?

Pesta Muzik Masa Depan Asia (Future Music Festival Asia) yang diadakan di Stadium Bukit Jalil selama tiga hari minggu lalu adalah kelangsungan pesta muzik Woodstock 45 tahun lalu di AS. Tetapi pihak polis mengarahkan konsert hari ketiga iaitu terakhir dibatalkan apabila enam pengunjung mati akibat mengambil dadah berlebihan.

Ketika negara ini berdukacita dengan tragedi pesawat MH370, ada manusia menganjurkan supaya sekumpulan manusia pula bersukaria hingga melampaui norma agama, sosial dan budaya. Siapa yang menjadi dalang membawa pesta liar yang merosakkan rakyat masuk ke negara ini? Siapa pula yang meluluskan permit?

Wah, kita sudah hebat rupanya. Sudah sama dengan Woodstock yang memperagakan dadah, arak dan pergaulan bebas yang menjurus kepada seks bebas. Adakah ini boleh dimaafkan kerana menyumbang kepada peningkat jumlah pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014? Adakah kerana "menyumbang kepada pendapatan negara" maka kita rela membiarkan budaya Woodstock berkembang di negara ini?

Isunya bukanlah enam remaja mati kerana terlebih dadah. Tetapi mati kerana mengambil dadah berlebihan dalam pesta muzik yang diberi kebenaran oleh kerajaan. Isu yang lebih besar lagi, di mana peranan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL)? Saya fikir PUSPAL hanya tunggul hidup tetapi tidak berupaya mengatakan "tidak" kepada pihak tertentu yang menyokong pesta muzik liar ini. Saya percaya PUSPAL pun boleh fikir kesan buruknya. Mana ada pesta muzik seperti orang datang ke Dataran Merdeka menonton konsert percuma. Fikirlah sikit. PUSPAL telah diperbodohkan dan diperkudakan oleh penganjur kerana terlalu percaya kepada proposal pesta muzik ini yang molek-molek belaka. Memanglah dalam proposal tidak ditulis yang buruk tentang pesta muzik. Tetapi kepada yang mempunyai otak dan tidak diletakkan di kepala lutut, mereka boleh berfikir bahawa belum ada pesta muzik yang bebas dari dadah, seks bebas dan arak. Kalau ada sila beritahu.

Kita bercakap mengenai pesta muzik, bukan konsert muzik. Ada perbezaan antara kedua-duanya. Jadi, semasa hendak meluluskan permit pesta muzik, ukurannya bukan boleh disamakan dengan konsert.

Semua orang tahu bahawa pesta muzik adalah seks bebas, dadah dan arak. Ada pula sesetengah artis kita (beberapa artis Melayu Islam turut hadir di pesta muzik ini) berkata, muzik tidak salah. Memang betullah muzik tidak salah tetapi yang salah orang yang tidak dapat membezakan tempat sewajarnya menikmati muzik. Di pesta muzik, yang utama bukan muzik tetapi budaya pop. Sebab itu banyak perkara bukan muzik di dalamnya. Tujuannya memperagakan cara hidup bertentangan dengan norma agama, sosial dan budaya sebagai gagasan sekularisme.

Kerana itulah kita sangat bimbang dengan kecetekan PUSPAL "membaca" perkara-perkara di luar muzik yang dikatakan muzik. Misalnya beberapa tahun lalu agensi ini telah meluluskan konsert seorang penyanyi Iran yang menghina Islam. Anehnya konsert itu dibatalkan selepas Mingguan Malaysia mendedahkan tentang penyanyi itu dan dibatalkan sehari sebelum konsert berlangsung.

Saya sangat percaya kalau Mingguan Malaysia tidak menjadi "budak nakal" konsert itu berlangsung dengan jayanya.

Malaysia tidak memerlukan pesta muzik untuk menonjolkan nama negara di persada dunia. Malah tidak memerlukan pesta muzik untuk menarik pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia. Semua ini adalah helah untuk membolehkan agenda Zionis Yahudi yang sudah ditolak oleh Barat dikutip oleh sesetengah pihak yang materialistik dan bengap di negara ini.

Pada masa yang sama kita tertanya-tanya di mana hilangnya sesetengah pihak yang mendakwa sebagai pejuang ‘alif ba ta’ iaitu agama, bangsa dan tanah air? Kenapa mereka tidak bersuara mengenai pesta muzik ala Woodstock ini? Isu ini menjadi lebih kecil berbanding gelagat bomoh tidak cukup akal di KLIA yang mendapat reaksi hebat.

Rakyat tentu bertanya apakah menentang pihak yang membawa pesta muzik liar ini bukan ‘alif ba ta’? Akhirnya saya percaya isu pesta muzik ini habis begitu sahaja walaupun ada percubaan membawa masuk elemen Woodstock ke negara ini. Walaupun enam remaja mati kerana terlebih dadah dan mencemarkan kesucian negara Islam ini dengan pergaulan bebas, tetapi barangkali ada kepentingan tertentu, isu ini habis begitu sahaja. Kalau benar kita serius, sudah ada yang berdegar-degar menentangnya.

- KU SEMAN (kusemankh@gmail.com)

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive