OLEH: NINA FARZUIN MD SHAROM
Tarikh: January 29, 2014
“AKHIRNYA saya dapat bercinta dengan Maya,” kata aktor, Bront Palarae mengenai lakonannya menerusi filem Sejoli terbitan Grand Briliance, kelmarin.
Biarpun bukan kali pertama bekerjasama dalam sesebuah lakonan, namun menerusi filem terbaru Sejoli dua pelakon ini buat pertama kalinya digandingkan sebagai pasangan.
“Sebelum ini, kami hanya berkawan dalam lakonan dan inilah kali pertama saya dapat rasa bercinta dengan Maya,” katanya berseloroh.
Pada masa sama, Maya turut akui lakonannya bersama Bront kali ini tidak memiliki sebarang masalah kerana mereka pernah digandingkan sebelum ini.
“Saya seronok dapat berlakon bersamanya tambahan pula kami memang berkawan di luar set.
“Jadi untuk dapatkan keserasian dalam hidupkan watak memang tidak ada masalah,” ujarnya yang pernah membintangi filem Halal di samping aktor itu.
Bront makin selektif
Selain teruja digandingkan bersama pelakon hebat yang lain seperti Maya, Remy Ishak, Izara Aishah, Azad Jazmin, alasan utamanya menerima tawaran lakonan filem ini adalah disebabkan jalan cerita Sejoli yang menarik.
“Saya percaya cerita ini ada sesuatu mesej yang hendak disampaikan. Saya memang tertarik dengan keseluruhan jalan cerita ini.
“Barisan pelakonnya juga hebat, jadi agak mustahil untuk saya tolak tawaran ini.
“Tambahan pula sebelum ini saya hanya dikenali dengan watak-watak yang berat, jadi inilah peluang saya untuk beri kelainan dalam lakonan,” jelasnya.
Bercerita lanjut mengenai karier lakonannya, Bront akui dirinya agak selektif dalam menerima tawaran lakonan.
“Memang saya agak selektif dalam menerima tawaran. Sesuatu tawaran yang datang itu, saya akan lihat dari sudut keseluruhannya.
“Saya mahu libatkan diri dengan projek yang berbaloi di mana seperti yang kita tahu peminat filem bukan semuanya mewah. Jadi saya mahu pastikan bayaran yang mereka buat untuk menyaksikan filem di panggung berbaloi,” katanya yang bakal tampil dengan filem Anak Jantan bersama pelakon, Farid Kamil.
Beralih kepada kisah peribadinya, Bront akui dirinya masih dalam proses untuk bersedia bergelar seorang bapa.
“Sebenarnya tahun ini saya masih fokus dengan kerja. Memang ada keinginan untuk memiliki cahaya mata, tapi biarlah ia berlaku secara natural,” katanya.
Maya dilamun cinta
Tidak mahu kisah peribadinya menjadi tumpuan, aktres cantik ini bagaimanapun tidak menafikan dirinya kini sedang mengenali seseorang.
“Alhamdulillah, saya cukup gembira dengan kehidupan sekarang. Memang saya sudah ada teman istimewa, dan sudah enam bulan kami mengenali.
“Cukuplah sampai situ sahaja. Saya tidak selesa jika hal seperti ini dijadikan tumpuan,” jelasnya.
Tidak pernah serik untuk bercinta, Maya tidak menafikan bahawa dirinya mahu perhubungan ini ke tahap yang lebih serius.
“Memang saya selalu terfikir untuk pergi ke tahap yang lebih serius.
“InsyaALLAH saya akan maklumkan kepada semua kalau sudah ke tahap itu.
“Lagi pun kalau sorok-sorok memang tidak seronok. Tapi buat masa ini kita belum tahu lagi, tunggulah nanti,” katanya.
Bertanyakan mengenai perkembangan karier lakonannya, Maya memberitahu, selain Sejoli dia memiliki tiga filem yang masih belum ditayangkan.
“Buat masa ini yang sudah confirm ditayangkan cuma Sejoli.
“Yang lain seperti Juwanita, Lagenda Budak Setan 3 dan Nota masih belum diketahui bila akan ditayangkan walaupun penggambaran sudah lama tamat,” katanya yang bakal sertai penggambaran filem Penculikan Amar Affendi arahan Syed Hussien (Sein) April ini.
Melihatkan keadaan itu, Maya akui agak kecewa dengan tindakan beberapa pihak penerbit yang lebih gemar ‘memerap’ filem daripada ditayangkan.
“Memang kecewa sedikit sebab filem-filem ini tidak boleh disimpan terlalu lama kerana kalau kita lihat sekarang ini trend bertukar dengan pantas.
“Takut nanti, filem-filem itu tidak relevan dan penonton juga tidak akan rasa ia segar,” katanya yang turut akui keadaan itu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap popularitinya sebagai pelakon.
No comments:
Post a Comment