UtusanDaily

Sunday, 23 August 2015

Siapa dalang guling kerajaan sebenarnya nie Zahid..?

http://media.therakyatpost.com/wp-content/uploads/sites/4/2015/08/ZAHID-HAMIDI-11-600x360.jpg

*TAN Sri Muhyiddin Yassin tidak, Tengku Razaleigh Hamzah pun bukan. Alkisah siapakah gerangan tokoh besar Umno yang dikatakan mahu menjatuhkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak?

Sabtu lalu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa seorang YB kanan Umno terlibat dalam komplot menggulingkan Kerajaan Persekutuan.

Dakwa Zahid, seperti disiarkan di muka depan beberapa akhbar, tokoh kanan parti itu berusaha mendapatkan akuan berkanun daripada YB BN dan pembangkang bagi membuktikan mempunyai majoriti dalam Dewan Rakyat.

Beberapa jam kemudian TPM memberitahu Muhyiddin bukan orang yang dimaksudkan. Razaleigh pun menyusul dengan kenyataan beliau tidak terlibat dalam komplot.
Maka, semua kini bertanya, siapa sebenarnya tokoh besar yang dirahsiakan itu? Menjadi kewajipan Zahid untuk mendedahkan rahsia tersebut. Jangan tunggu lama-lama, nanti meletup.

*MULANYA Zahid berkata, tokoh yang menjadi dalang komplot guling kerajaan itu akan bertemu sendiri dengan Perdana Menteri pada hari Ahad, jam 6 petang.

Ramai wartawan menunggu di kediaman peribadi PM Jalan Duta, juga di kediaman rasmi Putrajaya. Tetapi media kecewa sebab sampai sudah pak dalang tidak muncul-muncul di kedua lokasi.

Zahid kemudian memberitahu pertemuan dalang dengan Najib dibatalkan atas permintaan individu terbabit. Pertemuan lain akan diatur, tetapi Zahid sendiri tidak pasti bila tarikhnya.
Maka berteka-tekilah seluruh rakyat jelata, sambil bersinis: Lhoo, kok main tangguh-tangguh. Apa-apaan nih, dong?

*BUKAN gurau, bukan drama, tuduhan komplot menggulingkan kerajaan adalah satu perkara serius. Lebih-lebih lagi sekiranya ia didalangi oleh anggota Parlimen kanan Umno yang menjadi tonggak utama BN.

Istilah guling kerajaan dikenali juga sebagai kudeta, daripada perkataan asal coup d'etat. Pelakunya dianggap pengkhianat atau penderhaka, boleh dihukum paling berat. Dalam sejarah moden Malaysia ini belum pernah terjadi.

Oleh sebab serius itulah semua pihak – baik kerajaan atau pembangkang – mahu Zahid mendedahkan nama si pengkhianat itu. Zahid sudah tahu orangnya, apa lagi hendak dirahsiakan?

Merahsiakan musuh yang telah diketahui memang ada bahayanya. Ia boleh menimbulkan rasa syak dan tuduh-menuduh dalam kalangan pemimpin Umno sendiri. Syak macam ini amat tidak baik untuk parti.

*PERIHAL maklumat dan butiran mengenai komplot menggulingkan kerajaan, semuanya telah diserahkan kepada polis, demikian kata Zahid sambil menegaskan senarai 20 YB BN seperti yang disebut dalam sebuah blog, juga tidak terlibat dalam komplot.

Muhyiddin tidak terlibat, Ku Li tidak terlibat dan 20 YB dalam blog pun tidak terlibat. Jadi siapa yang terlibat?

Apa pun maklumat kini ada pada polis. Maka dalam waktu terdekat polis kena siasat, kenal pasti dan beritahu kepada umum nama sebenar dalang yang hendak menggulingkan kerajaan.

Oleh sebab Zahid sendiri sudah tahu siapa orang berkenaan, maka tidaklah perlu polis mengambil masa panjang untuk menyiasat. Dan, tidak perlu korek hingga ke lubang cacing. Fakta sudah di tangan, tangkap sahaja pak dalang.

Ada pun sekiranya polis gagal menangkap dalang berkenaan, Zahid pula nanti yang akan menerima akibatnya. Orang akan berkata beliau membuat tuduhan (gulingkan kerajaan) palsu.

Sebagai TPM, Menteri Dalam Negeri dan Naib Presiden Umno, Zahid tentu tidak membuat tuduhan sembarangan. Maka semua orang menunggu dan berharap sehari dua ini 'orang tua' @ YB kanan Umno yang hendak menggulingkan kerajaan itu didedahkan, dan dihukum.

*AKHIR kalam, mengenai Keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif, atau lebih dikenali sebagai CGPA. Kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, CGPA 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidaklah menjamin tempat di universiti awam, terutama bagi kursus perubatan.

Kata beliau kerana tempat terhad dan persaingan hebat, universiti awam termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya terpaksa menjalankan temu duga untuk pengambilan pelajar.

Begitulah susahnya untuk mendapat tempat dalam bidang perubatan di universiti awam. Kalau CGPA 4.0 pun ditolak, CGPA 3.8 tidak payahlah bermegah dan mendabik dada!

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive