Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan hari ini mempersoalkan pelbagai aspek berhubung perhimpunan BERSIH pada Sabtu dan Ahad ini.
Selain membangkitkan soal pelanggaran Akta Perhimpunan Aman 2011, Ahmad juga menyenaraikan pelbagai dakwaan kesan negatif akibat perhimpunan itu.
Antaranya, dakwa Ahmad, perhimpunan itu mengganggu orang ramai, peniaga dan pelaburan asing yang giat diusahakan kementeriannya dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
“Mengapa anda ingin mengganggu peniaga kecil, sederhana dan besar yang ingin mencari rezeki?
“Mengapa anda ingin merosakkan kegembiraan Rakyat Malaysia dalam Bulan Kemerdekaan?
“Mengapa anda ingin membimbangkan pelancong yang sekarang sudah datang dan yang ingin datang melihat keindahan Malaysia dan kota raya?
“Mengapa anda ingin mengkhuatirkan dan menimbulkan persepsi negatif kepada iklim pelaburan negara? “ soal Ahmad bertubi-tubi dalam blognya hari ini.
Kenapa tak stadium?
Ahmad juga membangkitkan hujah-hujah popular pemimpin BN sebelum ini bahawa perhimpunan itu bakal menyusahkan pemandu teksi dan bas selain ia didakwa memberikan imej tidak baik di mata dunia.
“Mengapa anda tidak memilih untuk terus sahaja berkumpul dalam stadium untuk BERSIH 4.0 itu?” soalnya.
“Adakah kerana jika dalam stadium itu maka nanti tiada aksi kawalan Polis dan tindakan pencegahan yang boleh 'diviralkan' dan disensasikan oleh rakan-rakan media anda untuk di sebar ke seluruh dunia?”
Anggota parlimen Pontian itu juga membangkitkan sama ada perhimpunan itu sebenarnya bertujuan menjatuhkan kerajaan secara tidak sah melalui demonstrasi jalanan.
“Anda (pembangkang) sudah pernah menang di beberapa negeri dalam pilihanraya umum dan menang beberapa pilihanraya kecil.
“Jika kaedah pilihan raya di Malaysia ini tidak betul, anda tidak akan dapat 88 kerusi daripada 222 kerusi di parlimen,” katanya.
No comments:
Post a Comment