Shahbudin Husin
Apabila
Abdul Rahman Dahlan mengatakan Najib Razak sebagai Perdana Menteri
terbaik sehingga ini, terutama dalam konteks menjaga kepentingan Sabah
dan Sarawak, ramai yang ketawa dan menggeleng-gelengkan kepala.
Ini
kerana, isu besar yang sedang melanda negara dan diperkatakan di
seluruh dunia ketika ini ialah mengenai wang derma sebesar RM2,600 juta
yang masuk ke dalam akaun peribadinya.
Bagaimana beliau boleh digelar terbaik sedangkan ada wang RM2,600 juta pernah mengalir ke dalam akaun peribadinya?
Tambahan lagi, Najib juga tidak pernah jujur mengaku mengenai wang itu, meskipun ia sudah masuk ke akaunnya sejak 2013 lagi.
Jadi, di mana terbaiknya Najib itu?
Terbaiknya
Najib, barangkali ialah kemampuan beliau untuk tidak peduli dan
seolah-olah tidak pernah melakukan kesalahan, malah tetap suci bersih di
sebalik semua orang sedang memperkatakan mengenai dirinya dan
mengaitkan dengan wang tersebut.
Meskipun
SPRM sudah membersihkan namanya dengan mengatakan wang tersebut
merupakan derma, beliau sebenarnya masih dibicarakan dari sudut moral
oleh seluruh pelusuk dunia. Pemimpin tidak saja perlu bebas daripada
mahkamah undang-undang, tetapi juga mahkamah rakyat yang melihatnya dari
sudut bersih dan kelihatan bersih.
Semalam,
beliau mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai
Pembiayaan Politik yang bertujuan mengawal selia pembiayaan dana
politik bagi memastikan kebertanggungjawban dan ketelusan demi
mewujudkan amalan politik yang sihat.
Jawatankuasa
ini juga katanya, akan menimbang semua aspek, termasuk perubahan
institusi, pemantauan, penguatkuasaan undang-undang serta peraturan baru
mengenai pembiayaan politik di negara ini.
Mungkin
tidak menghairankan jika yang mengumumkan penubuhan jawatankuasa ini
bukan Najib atau sekiranya ketika membuat pengumuman ini beliau tidak
dibelenggu dengan isu derma politik sebesar RM2,600 juta yang masuk ke
dalam akaun peribadinya.
Tanpa
memperdulikan semua orang sedang bercakap mengenainya di samping
desakan agar beliau berterus terang mengenai wang tersebut - siapa
pendermanya, apa tujuannya menderma sebesar itu, bagaimana ia
dibelanjakan dan mana baki selebihnya, Najib memang "terbaik" dalam
konteks mempersembahkan dirinya seolah-olah pemimpin paling bersih dan
berwibawa.
Ketam di tepi pantai yang sedang mengajar anaknya berjalan pun boleh kalah dengan kehebatan Najib ini!!
Bukankah
sebelum menubuhkan jawatankuasa ini, Najib seharusnya jujur kepada
dirinya dan kepada seluruh rakyat mengenai wang RM2,600 juta itu
terlebih dahulu?
Sebelum
ini pula, dalam mempertahankan mengenai derma politik itu, beliau juga
berkata sedia mendedahkan akaun UMNO jika parti-parti pembangkang turut
sama-sama berbuat demikian.
Ini pun terbaik juga. Yang dibangkitkan ramai sebenarnya ialah akaun peribadinya tapi yang sedia didedahkannya pula akaun UMNO.
Namun
demikian, apabila beberapa parti pembangkang satu demi satu sedia
menyahut cabarannya, Najib tidak lagi bercakap mengenainya. Mungkin
sedang mencari idea lain agaknya.
Minggu
lepas, menjadi viral di media sosial apabila perwakilan Wanita UMNO
Langkawi, Anina Saaduddin mengkritik keras Najib dengan dakwaan telah
"kencing" tiga juta ahli UMNO dan menyarankannya agar pergi "berubat"
dengan segera.
Mungkin
ada yang tidak setuju dengan cara teguran beliau itu, lebih-lebih lagi
tidak lama sebelum itu Najib juga dikatakan sebagai Perdana Menteri
terbaik yang pernah kita ada.
Tapi
nampaknya ada betulnya juga apa yang dikatakan oleh Anina - Najib perlu
segera dibawa "berubat" sebelum UMNO dan kerajaan terus menjadi bahan
persendaan dalam banyak tindakannya yang orang Cina kata "cakap tak
serupa bikin." (SH 15/08/2015)
No comments:
Post a Comment