Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan kritikannya terhadap perdana menteri dan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana bimbang dengan strategi perniagaan yang lemah dan bukannya satu plot bekerjasama dengan media asing menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak.
Bekas perdana menteri itu dalam wawancaranya bersama BBC berkata, kritikannya terhadap Najib tidak ada kaitan dengan 'tuntutan peribadinya' mengenai dasar lama yang perlu disambung.
"Saya tahu semuanya tentang duit yang dipinjam tetapi penipuan lain yang timbul. Saya baca daripada laporan media asing dan mendapat pengesahan selepas bertanya kepada orang tempatan.
"Saya tidak bekerja dengan media asing," kata Dr Mahathir melalui video yang disiarkan dalam laman sesawang BBC.
Katanya, keputusan Najib menubuhkan syarikat dan meminjam wang secara meluas menunjukkan perniagaan tidak dijalankan dengan baik.
"Mereka pinjam pada kadar faedah yang tinggi, mereka cuma bagi komisyen 10%. Kemudian mereka beli loji tenaga pada harga lebih tinggi daripada pasaran.
"Ini semua menunjukkan urusan perniagaan yang tidak baik," katanya.
Dr Mahathir kebelakangan ini lantang mengkritik Najib terutamanya mengenai syarikat sarat hutang RM42 bilion 1MDB yang diasaskan perdana menteri itu.
Najib kemudian membidas dakwaan itu, apabila mengatakan Dr Mahathir sengaja mereka krisis 1MDB dan kepimpinannya hanya kerana beliau enggan memenuhi beberapa tuntutan peribadinya.
Ditanya BBC, Dr Mahathir berkata tuntutan itu termasuk projek jambatan bengkok di perairan Johor dan keretapi berkelajuan tinggi yang menghubungkan ke Singapura.
Dr Mahathir menyalahkan Najib kerana tunduk kepada Singapura tetapi kata kepada BBC, itu hanya "perkara kecil".
"Setiap perdana menteri berhak membentuk dasarnya tersendiri," katanya.
Selepas The Wall Street Journal pada Jumaat minggu lalu melaporkan sebanyak AS$700 juta (RM2.67 bilion) disalurkan ke akaun bank peribadi Najib, pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menyalahkan Dr Mahathir dan menuduhnya bersekongkol dengan media asing untuk menyerang pentadbirannya.
Najib juga menafikan mengambil duit untuk tujuan peribadi tetapi tidak menjawab secara langsung mengenai tuduhan itu. – 8 Julai, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/dr-mahathir-nafi-berkomplot-dengan-media-barat-jatuhkan-najib#sthash.FCEHNlTR.dpuf
No comments:
Post a Comment