Buat anggaran untuk setiap pembelian dapat elak masalah kewangan. - Gambar hiasan
KOS sara hidup merujuk kepada sejumlah kos yang perlu
ditanggung oleh seseorang individu atau pun sesebuah isi rumah untuk
memenuhi keperluan asas seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat
tinggal serta keperluan lain untuk kelangsungan dan keselesaan hidup.
Taraf hidup seseorang dikatakan merosot atau berkurangan sekiranya
pendapatan yang diterima berada pada kadar yang lebih rendah berbanding
dengan kos sara hidup dan sebaliknya.
Kenaikan kos sara hidup ini secara tidak langsung akan memberi kesan
kepada ekonomi isi rumah. Peningkatan kos sara hidup yang tidak selari
dengan peningkatan pendapatan isi rumah sudah pastinya akan mengurangkan
pendapatan boleh belanja isi rumah.
Pendapatan yang diterima sekadar cukup untuk memenuhi keperluan semasa
keluarga terutama keperluan asas seperti makanan dan rumah.
Maka isi rumah tidak lagi mampu untuk membuat simpanan atau pelaburan
seperti sebelum ini malahan mereka terpaksa berjimat-cermat. Ada juga
yang terpaksa mengikat perut demi memastikan kelangsungan hidup diri dan
keluarga.
Terdapat lima langkah menyediakan belanjawan keluarga.
1. Menganggarkan pendapatan keluarga
Keupayaan keluarga memenuhi keperluan perbelanjaan bergantung kepada jumlah pendapatan yang diterima.
Bagi mereka yang menerima pendapatan secara bulanan, pengurus kewangan
keluarga (suami/isteri atau suami-isteri) pasti boleh menganggarkan
jumlah wang yang ada yang boleh dibelanjakan bagi memenuhi keperluan
keluarga. Panduan membuat anggaran pendapatan:
1. Ambil kira jumlah wang yang selalu diterima, jangan menganggarkan
wang yang diterima sekali sekala seperti kerja lebih masa, dividen atau
bonus.
2. Pastikan bayaran seperti cukai, caruman Perkeso, atau bayaran wajib lain telah ditolak terlebih dahulu.
3. Sebaiknya pastikan jumlah bayaran tetap seperti cukai pendapatan,
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibuat melalui potongan gaji
4. Anggarkan jumlah yang minimum
Jumlah pendapatan yang dianggarkan akan menjadi jumlah yang boleh
dibelanjakan untuk bulan akan datang dan semasa menyediakan belanjawan,
jumlah ini akan diagihkan untuk perbelanjaan tertentu.
2. Menentukan kategori perbelanjaan
Setiap keluarga mempunyai keperluan perbelanjaan yang unik dan berbeza.
Keluarga perlu meneliti apakah perbelanjaan bulanan keluarga. Terdapat
dua kategori perbelanjaan keluarga:
• Perbelanjaan tetap jumlahnya setiap bulan seperti sewa rumah,
ansuran kereta, ansuran pinjaman perumahan dan pinjaman peribadi.
• Perbelanjaan berubah seperti perbelanjaan makanan, pakaian, petrol
dan utiliti (bil air, elektrik, telefon, internet). Jumlah perbelanjaan
dalam kategori ini akan bergantung kepada cara gaya keluarga berbelanja
dan daripada kategori perbelanjaan inilah keluarga boleh berusaha untuk
berjimat dan mengurangkan perbelanjaan untuk membuat simpanan bagi
mencapai matlamat.
3. Buat anggaran perbelanjaan sebulan
Berapa jumlah peruntukan dibuat bergantung kepada jumlah wang yang
dimiliki dan juga corak perbelanjaan keluarga di masa lepas. Anggaran
perbelanjaan boleh dibuat berpandukan corak perbelanjaan bulan sebelum
ini.
Pastikan anggaran yang dibuat tidak melebihi jumlah pendapatan yang
diterima. Pastikan bayaran tambahan sebanyak 6% diambil kira ke atas
setiap item perbelanjaan yang dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan
(GST).
4. Merekodkan perbelanjaan
Perkara paling mencabar menyediakan belanjawan keluarga ialah sejauh
mana keluarga dapat merekodkan semua perbelanjaan yang dibuat.
Ini penting kerana ia membolehkan keluarga menyemak sama ada apa yang
dirancang dapat dilaksanakan atau sebaliknya. Beberapa perkara boleh
dilakukan untuk membantu keluarga melaksanakan belanjawan antaranya:
• Rancang pembelian supaya anda tidak perlu ke kedai terlalu kerap.
Semakin kerap anda ke kedai, semakin mencabar usaha untuk melaksanakan
belanjawan.
• Sediakan senarai semak
dan pastikan beli apa yang ada dalam senarai.
• Beli barangan mengikut keperluan bukan mengikut kehendak
• Simpan resit pembelian supaya dapat diteliti ke mana wang dibelanjakan
Jangan kecewa sekiranya anda menghadapi masalah menyimpan rekod untuk
bulan pertama anda menyediakan belanjawan. Perlu diingat bahawa untuk
mengubah cara kita berbelanja mengambil masa dan perubahan perlu
dilakukan secara perlahan supaya tidak mendatangkan tekanan kepada anda
dan keluarga.
5. Menilai semula, buat penyesuaian
Rekod perbelanjaan perlu disemak pada akhir setiap bulan dan bandingkan
dengan jumlah yang diperuntukkan untuk kategori tertentu.
Teliti semua cara anda berbelanja, kesesuaian peruntukan yang dibuat
dan buat penyesuaian yang diperlukan. Sekiranya perbelanjaan yang
dilakukan melebihi peruntukan, teliti semula peruntukan atau cara anda
berbelanja.
No comments:
Post a Comment