JANGAN salahkan makanan sekiranya anda mengalami masalah obesiti, kata
pakar pemakanan dan kecergasan, Kevin Zahri Abdul Ghaffar.
Beliau berkata, pengambilan makanan tanpa menghiraukan jumlah kalori
yang diperlukan oleh badan dalam sehari adalah punca utama permasalahan
obesiti yang kian meningkat dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Sehubungan itu, orang ramai perlu mempelajari jumlah kalori dalam
setiap makanan yang diambil serta mengetahui teknik pengiraan kalori
yang diperlukan oleh badan dalam sehari.
"Walaupun pengambilan makanan dalam kuantiti yang sedikit, namun jika
jumlah kalorinya tinggi, ia akan tetap menggagalkan proses diet individu
berkenaan," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu jemputan
program 'Dalam Radar' Radio 24 Bernama.
Katanya, tidak menjadi masalah untuk menikmati pelbagai jenis hidangan,
namun pengambilan makanan tersebut harus difahami kandungan nutrisinya
terlebih dahulu.
Kevin Zahri yang juga pengasas program Jom Kurus 1Malaysia (JK1M)
berkata maklumat mengenai jumlah kalori makanan itu boleh diperoleh
melalui pelbagai aplikasi maklumat kalori makanan seperti 'My Fitness
Pal' yang boleh dimuat turun ke dalam telefon pintar.
Sementara itu, program JK1M musim ketiga yang akan berlangsung selama
enam minggu bermula 13 Sept depan mendapat sambutan menggalakkan di 60
tempat di seluruh negara.
Beliau berkata, sehingga kini, penyertaannya mencecah 1,000 orang dan
masih terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk kanak-kanak yang
mengalami masalah obesiti untuk menyertainya. - Bernama
No comments:
Post a Comment