SUBANG - "Saya tidak mahu komen apa-apa kerana bimbang ia bercanggah.
Anda boleh tanya dengan Sari Yanti kerana saya bukan artis," kata ahli
perniagaan Mohd Eddy Casmady Che Hussin,34.
Ditanya mengenai tindakan isterinya memfailkan penceraian, Mohd Eddy
Casmady berkata, dia tidak bersetuju untuk bercerai dengan isterinya.
"Sari Yanti tahu saya failkan permohonan nusyuz ini," katanya kepada
wartawan selepas selesai prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Subang
Bestari, di sini, hari ini.
Terdahulu, mahkamah membenarkan pindaan alamat pada notis saman untuk
dikemukakan kepada Sari Yanti Mohd Nazari, 30, (defendan) selepas ia
gagal disempurnakan.
Hakim, Abdul Halim Abu Samah turut mengarahkan peguam plaintif, Munirah
A.Bakar membuat permohonan penyampai ganti secara bertulis.
Sebelum itu, Munirah memaklumkan penyerahan saman kepada defendan
dilakukan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan iaitu rumah keluarga Sari
Yanti.
"Bagaimana pun defendan tiada dan saman tersebut diterima oleh kakak beliau,"katanya.
Beliau berkata, pihak plaintif turut diarahkan oleh defendan agar menghantar saman kepada peguamnya.
"Untuk makluman, defendan masih belum melantik peguam, oleh yang
demikian penyampaian saman tidak dapat dilakukan dengan sempurna,"
katanya.
Munirah memohon secara lisan kepada mahkamah agar penyampaian ganti
secara tampalan di rumah keluarga defendan di Kuala Pilah dilakukan.
Afidavit penyampaian telah difailkan dan diserahkan kepada mahkamah
kelmarin manakala permohonan Nusyuz difailkan pada 7 Mac 2014.
Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Sebelum ini, Sari Yanti yang merupakan peserta Fear Factor Malaysia itu
memfailkan penceraian di Mahkamah Syariah Seremban pada 25 Februari
yang lalu.
Kes ditangguhkan untuk sebutan semula pada 30 April depan.
Pasangan yang berkahwin pada 16 Januari 2009 itu dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Barr Al Aliy, 4, dan Basit Al-Haq, 2.
No comments:
Post a Comment