SEMALAM genap lapan hari MH370 dilaporkan hilang. Meskipun segala usaha
menemui jalan buntu, namun ia tidak mematahkan semangat seluruh rakyat
Malaysia, bahkan di seluruh dunia untuk terus berdoa dan berharap agar
pesawat malang itu kembali dengan selamat.
Tidak terkecuali bagi tiga selebriti tanah air, Sherry Ibrahim, Danny X
Factor dan Uqasha Senrose, yang turut mengharapkan keajaiban berlaku.
Pernah menjadi sebahagian dari 'anak kapal' dalam dunia penerbangan,
ketiga-tiga selebriti ini turut berkongsi pengalaman ketika bertugas di
awan biru.
Enjin terbakar- Sherry
Empat tahun bergelar pramugari, pelakon cantik, Sherry Ibrahim,
mengakui bukan mudah menggalas tanggungjawab itu, sementelah ia berkait
rapat dengan keselamatan penumpang.
Menurut Sherry, sepanjang penerbangan dia perlu menjadi orang yang paling tenang meskipun berdepan di saat yang mencemaskan.
Malah akui Sherry, dia pernah berdepan situasi cemas yang sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap dirinya.
"Semasa penerbangan dari KL ke Thailand tiba-tiba saja enjin terbakar
dan ketika itu juga kami terus menerima 'alert' dari kapten yang
bertugas.
"Memang masa itu, saya rasa takut sangat. Tapi sebagai anak kapal, kami
ikut prosedur latihan yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Alhamdulillah, atas kepakaran kapten, pesawat dapat meneruskan
penerbangan meskipun dengan hanya menggunakan satu lagi enjin pesawat
yang berfungsi," katanya.
Dalam pada itu, Sherry turut melahirkan rasa simpati terhadap keluarga
mangsa dan individu yang terlibat secara langsung bagi dalam penerbangan
MH370 yang kini masih belum ditemui.
“Teruskan berdoa dan serahkan kepada qada’ dan qadar. Secanggih mana
pun teknologi yang kita gunakan, kita perlulah meminta pertolongan pada
ALLAH SWT kerana Dia lah Yang Maha pemberi petunjuk.
“Yang penting, kita semua perlulah bersatu. Ini bukan masa untuk
mengaitkannya dengan politik dan benda yang tidak berfaedah," katanya
yang turut mengkritik tindakan bomoh VIP dalam cubaan merungkai misteri
kehilangan pesawat malang itu.
Pelakon Teduhan Kasih ini juga memohon kerjasama orang ramai supaya
terus memberikan sokongan moral kepada ahli keluarga dan sentiasa berdoa
demi keselamatan semua penumpang serta anak kapal MH370.
Selain itu, Sherry turut meminta agar segala spekulasi dan tindakan
yang boleh mengguris hati keluarga mangsa dihentikan serta-merta.
“Tolonglah berhenti daripada menyalahkan sesiapa. Apa yang perlu
dilakukan sekarang, semua negara patut bersatu bagi mengesan kehilangan
MH370.
Ia merupakan sebuah kemalangan yang tidak kita jangka,” katanya yang
turut mengakui mengenali beberapa 'anak kapal' yang terlibat dalam
insiden itu.
Pesawat menjunam- Danny
Sepertimana Sherry, aktor yang berasal dari Kelantan ini juga pernah
berdepan situasi yang mencemaskan ketika bertugas sebagai pramugara di
sebuah syarikat penerbangan, 11 tahun lalu.
Menurut Danny, sebagai anak kapal, dia sudah dilatih agar sentiasa bersedia setiap kali berhadapan dengan sebarang kecemasan.
Bagaimanapun, detik cemas ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur
menuju ke Kuantan meninggalkan kesan yang mendalam buat dirinya.
“Masa tu pesawat terbang dalam keadaan 'tiada angin'. Ia jadi tak
seimbang dan bergerak kurang lancar, sehingga membuatkan pesawat sedikit
menjunam
“Ketika itu juga pinggan mangkuk dan troli semuanya terbalik. Memang
kami semua pun cemas, namun sebagai ‘crew cabin’ kami terpaksa berlagak
tenang dan cuba mengawal situasi.
"Mujurlah situasi cemas itu tak lama dan semuanya dapat diatasi baik oleh juruterbang bertugas," katanya.
Walaupun berdepan situasi getir itu, namun bagi bekas anggota X-Factor
ini, dia tidak pernah serik menyandang tugas di awan biru.
Bagi Danny, kerjaya sebagai pramugara bukan hanya untuk meraih
populariti semata-mata, sebaliknya ia mampu membentuk seseorang itu
menjadi lebih berdisiplin dan bertanggungjawab .
“Setelah menimba banyak pengalaman, mentaliti saya secara
keseluruhannya berubah, saya lebih didoktrinkan kepada menjaga
keselamatan dalam kapal.
“Malah saya juga diajar untuk terima ketentuan dan reda dengan setiap kemungkinan yang bakal berlaku,” katanya.
Turut bersimpati dengan nasib yang menimpa pesawat MH370, Danny
berharap agar orang ramai jangan berputus asa sebaliknya teruskanlah
mendoakan keselamatan pesawat malang itu.
“Saya sendiri juga masih mendoakan agar keajaiban berlaku.
Mudah-mudahan, pesawat ini ditemui jua. Kepada ahli keluarga mangsa,
saya berharap mereka terus diberi kekuatan untuk menempuh dugaan ini,"
katanya.
Uqasha cedera ringan
Dua tahun terbang di awan biru, memberikan pengalaman yang besar buat
pelakon Paku Pontianak, Uqasha Senrose, Turut menghadapi situasi cemas
ketika dalam penerbangan, Uqasha berkata, perkara itu membuatkan dia
serik untuk meneruskan tugas sebagai pramugari.
"Gangguan ketika penerbangan itu perkara biasa. Tapi ia merupakan cabaran besar buat 'anak kapal' yang bertugas.
"Saya sendiri pun pernah tercedera dan lebam-lebam, di saat pesawat hilang kawalan.
"Walaupun takut, kami terpaksa berlakon tenang demi penumpang, sebagai
'anak kapal' kita tak boleh nampak lebih cemas daripada penumpang. Itu
semua dah jadi tanggungjawab,” katanya.
Turut bersedih dengan nasib yang menimpa pesawat MH370, Uqasha berkata,
insiden ini mungkin agak sukar diterima orang ramai memandangkan ia
tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Saya berharap orang ramai terus mendoakan supaya ALLAH SWT memberi
petunjuk dan biarlah kita mengetahui daripada sumber yang sahih, tanpa
mencanangkan perkara yang tak betul.
“Tunggu sahaja pengumuman rasmi yang akan dibuat. Sementara itu,
ikhtiar kita hanyalah doa supaya dipermudahkan jalan dan diberikan
petunjuk oleh yang Maha Kuasa,” katanya.
No comments:
Post a Comment