AKMALIAH RAZAK
Erra Fazira
TERNYATA, apa tertulis dalam bait lagu, Yang Terindah Hanyalah
Sementara, nyanyian, Erra Fazira, ini lebih dekat untuk menggambarkan
situasi dirinya.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul apabila rumah tangga yang dibina lebih enam tahun lalu berkecai akhirnya.
Tidak perlu menuding jari pada Erra mahupun bekas suami, Engku Emran
Engku Zainal Abidin, kerana hanya mereka tahu apa yang berlaku di
sebalik perpisahan ini.
Walaupun ia adalah keputusan bersama (bercerai), namun air mata juga
yang menjadi jawapan kepada gelojak jiwa, Primadona Melayu ini.
Ketenangan yang dipamerkan ketika Engku Emran melafazkan cerai hanyalah
pandangan luaran sahaja kerana yang pasti, jiwa wanita ini juga turut
menangis.
Lebih memilukan, perpisahan ini juga menjadikan Erra sepi sendiri
apabila hak jagaan untuk anak tunggalnya, Engku Aleesya, turut
diserahkan kepada bekas suami.
Terpaksa berdepan dengan masyarakat yang sentiasa dahagakan penjelasan,
kisah penceraian ini juga turut menjadi bahan cerita malah, ada yang
cuba mempersendakannya di internet dan laman-laman sosial.
Akui Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek, 40, gelora, kecamuk, tenang atau gusar, hanya empunya diri yang rasai.
"Saya kecewa dengan sikap segelintir masyarakat yang sering membuat
andaian tanpa mengetahui kebenarannya. Ianya amat keterlaluan!
"Sejak awal lagi, saya memang serba salah untuk bercerita. Ramai yang
cuba menghakimi perasaan saya. "Mereka tidak lalui apa yang saya lalui,
jangan mudah untuk menilai pada pandangan kasar. Tiada siapa yang tahu
dalam hati saya," jelasnya.
Bibit cinta
Menyelak kembali kisah cinta bekas Ratu Cantik ini bersama Engku Emran,
mereka dikatakan mula rapat ketika Erra menyertai rombongan persembahan
Suria FM di Sabah.
Ketika itu, Engku Emran merupakan Ketua Pegawai Operasi Suria FM dan
hubungan itu terus berputik sehingga mereka sepakat untuk bertunang pada
7 September 2007.
Tidak menunggu lama akhirnya, pasangan ini diijabkabulkan dalam majlis yang gilang gemilang pada 25 Oktober, tahun yang sama.
Perkahwinan itu sekali gus menamatkan kontroversi, di mana Erra
dikatakan pernah mempunyai hubungan istimewa bersama pengarah dan
penerbit, Hans Isaac sebelum ini.
Walaupun bintang filem Maria Mariana, ini sering menafikan hubungan
yang terjalin bersama pengarah filem itu, namun mereka dikatakan mula
rapat ketika bekerjasama dalam filem Persona Non Grata pada 2005.
Pernah berkahwin dengan penerbit terkenal, Yusry Abd Halim, pada 15 Jun
2003 namun, hubungan itu hanya bertahan tiga tahun sahaja setelah
mereka sah bercerai pada 16 Jun 2006.
Pada tahun 1996, Erra juga pernah bertunang dengan penyanyi rock Awie,
namun mereka memutuskan pertunangan itu pada penghujung 1998.
Kontroversi bermadu...
Panas yang disangka hingga ke petang tidak berlanjutan hingga ke siang
hari apabila, rumah tangga pasangan ini mula menjadi berita sensasi.
Lumrah sebagai selebriti, walaupun pelakon, penyanyi dan pengacara ini
tidak terlalu terbuka dalam berkongsi hal peribadi, namun desas-desus
mengenai keretakan rumah tangga mereka mula bertebaran sejak 2011.
Malah, tidak kurang juga yang mula menyebarkan berita dan khabar angin bahawa Engku Emran telah berkahwin lain.
Namun, ketika itu Erra mengakui dia tidak mudah melatah dengan
kontroversi yang mengaitkan rumah tangganya dan memberitahu bahawa ianya
adalah sama sekali tidak benar.
Hampir setahun menjadi pemerhati, akhirnya Engku Emran tampil memberi
penjelasan mengenai spekulasi berkenaan. Malah, dia mengakui bahawa
tidak pernah terlintas untuk memiliki lebih daripada seorang isteri.
Walaupun ramai yang masih tidak berpuas hati dengan kenyataan itu, Erra
bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kontroversi yang dilihat
sebagai 'pemuas nafsu' masyarakat.
Namun, spekulasi itu akhirnya terjawab apabila pasangan ini mengakui tidak lagi tinggal bersama sejak setahun enam bulan.
Hilang hak
Sepanjang tempoh perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya, 5.
Dilahirkan pada Mac 2009, kisah puteri tunggal pasangan ini pernah
menjadi bualan apabila Erra dikatakan 'menyorok' anaknya sepanjang
tempoh berpantang.
Pada majlis cukur jambul Aleesya, Erra mengumumkan bahawa mereka akan
muncul dalam rancangan realiti, Gugu Gaga Erra sekali gus menjadikan
Erra sebagai artis Malaysia pertama yang mempunyai rancangan realiti
mengenai anak.
Sebelum ini, Erra kerap kali memuat naik video dan gambar puterinya itu
di laman sosial miliknya untuk berkongsi perkembangan Aleesya bersama
peminat.
Namun, kini waktu yang ada untuk bersama Aleesya semakin terhad apabila
Erra bersetuju untuk melepaskan hak penjagaan anak tunggalnya Engku
Emran.
Malah, akui Erra, dia percaya bahawa itu adalah jalan yang terbaik buat Aleesya.
No comments:
Post a Comment