UtusanDaily

Sunday 10 November 2013

Ahli kongsi gelap mula keluar 'sarang'

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhzHs_l5x1A2-Ml-G_NiLOXm7u6jBLUF-iZCzjCwsDon0Qu-4zABiJBQWGQd5bmfZIR1UJTTAwQNsZh4YP2lV3HUPJKBh5KGy12ZLq_RBCYDFigcqdZy2vT6g-l_W1KXzXAkUGChbX_HdA/s400/kongsi+gelap+malaysia.jpg
BUKIT KAYU HITAM - Anggota kumpulan kongsi gelap yang dipercayai berselindung di negara jiran untuk mengelak daripada ditangkap dalam Ops Cantas Khas yang dilancarkan 17 Ogos lepas, dikesan mula pulang ke negara ini.

Penolong Pengarah (Tahanan) Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata polis yang menyedari pergerakan mereka, kini memberi tumpuan di kawasan sempadan negara khususnya pintu masuk di sempadan.

"Operasi kita memburu mereka tetap diteruskan tanpa mengira masa," katanya kepada pemberita selepas mengetuai Ops Cantas Khas di Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Kastam (CIQ) di sini, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, hasil Ops Cantas Khas selama dua hari bermula Jumaat itu, polis berjaya menahan tiga lelaki, termasuk seorang warga Thailand.

Katanya, dalam kes pertama pada 3.15 petang, Jumaat, seorang lelaki berusia  28 tahun dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap Geng 04, berdasarkan tatu di badannya, ditahan semasa memasuki negara ini, melalui CIQ Bukit Kayu Hitam.

"Ini diikuti penahanan seorang lelaki warga Thailand yang cuba menyeludup 400 liter petrol pada pukul 9 malam," katanya menambah lelaki berumur 32 tahun itu menyorokkan petrol yang diisi ke dalam 20 tong di tempat duduk belakang dan but kereta Proton Saga yang dinaiki bersama isteri dan anak lelakinya.

Kes ketiga membabitkan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang memiliki pisau Rambo ketika memasuki negara jiran pada pukul 11 malam Jumaat, tambahnya.

Menurut Kamarul Zaman, Ops Cantas Khas yang masuk hari ke-85 semalam, mencatat penurunan kes jenayah kekerasan sebanyak 11.54 peratus.

Katanya, sebanyak 9,932 kes jenayah kekerasan direkodkan dari 24 Mei hingga 16 Ogos lepas menunjukkan penurunan kepada 8,786 kes sepanjang Ops Cantas yang bermula 17 Ogos hingga semalam (9 November).

Beliau berkata, Ops Cantas Khas akan dijalankan secara berterusan bagi memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa keadaan dalam negara adalah aman dan tenteram.

"Ops ini bukan sekadar untuk mengesan sebarang bentuk jenayah. Polis komited dalam mengambil tindakan tegas terhadap salah laku jenayah dan perlanggaran undang-undang negara," katanya.  - Bernama

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive