Ketika tulisan ini digarap, Muhamad Najib bin Abdul Razak suami kepada Rosmah binti Mansor sedang dalam perjalanan ke New York. Juga diberitakan, suami Rosmah ini akan singgah di London dan juga melencong ke Itali.
Haji Desas bin Lebai Desus telah heboh bercerita kenapa suami Rosmah akan singgah di London. Bukan singgah untuk membeli kasut Bally di Oxford Street. Bukan.
Tapi didesuskan bahawa suami Rosmah ini akan disongsong oleh sepupunya dalam usaha bersama untuk membeli senjata demi mempertahankan Malaysia dan bani ketuanan Melayu.
Tentang melencong ke Itali itu gua tidak mahu komen. Faham-fahamlah tujuannya.
Sesudah meledaknya berita Tok Arab memberi derma sebanyak RM2.6 bilion kepada suami Rosmah kelihatan politik Malaysia terus menjadi berita dunia. Dalam hal ini gua amat berbangga menjadi warga Malaysia. Negara tercinta ini mula dikenali dunia sebagai negara yang dikepalai oleh Calon FBI.
Hakikatnya berita akhbar dunia berkisah tentang suami Rosmah sedang terkepung. Terkepung dari dalam dan dari luar negara. Satu gerakan rapi yang mahu suami Rosmah berundur kian tersusun dan kian lantang. Dalam suasana yang sama suami Rosmah ini semakin lincah bersilat mempertahankan diri.
Dua hari sebelum Peguam Negara menghantar surat pertuduhan kepada Muhamad Najib bin Abdul Razak, suami Rosmah telah menendang keluar Gani Patail si peguam negara. Kes pecah amanah tak sempat sampai ke mahkamah.
Belum sempat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengeluarkan laporan 1MDB, -ahli-ahlinya dilungkupkan dengan jawatan menteri. Satu lagi kes tutup.
Pegawai polis cawagan khas yang disangsikan kesetiaan telah diberi hadiah Pingat Jokowi kemudian diterajang keluar. Pengarah SPRM yang jujur dan berani dipaksa potong buah pinggang untuk dicutikan ke Amerika. SPRM menjadi senyap sepi. Pada ketika ini lembaga SPRM hanya sanggup melakukan sembahyang hajat.
Empat orang saksi dari SRC International Sdn Bhd dihilangkan. Dua orang dikehendaki oleh Bank Negara. Entah ke mana malaon-malon ini lesap. Empat ekor ini terlibat dalam kes RM42 juta duit dari syarikat SRC International yang masuk ke dalam akaun peribadi suami Rosmah.
SRC International ini adalah anak syarikat 1MDB – syarikat kerajaan. Jelas ada kes pecah amanah tapi saksi hilang. Kes tutup.
Tup tup Kevin Morais terjun masuk ke dalam tong simen. Yang ini gua tak mahu cerita kerana simin telah lama beku. Sebelum Kevin masuk ke dalam tong simen, ada lagi berita yang lebih mengejutkan.
Bekas Naib Ketua United Malays National Organisation Bahagian Batu Kawan telah berjaya membuat laporan polis tentang pengubahan wang haram atau money laundering. Laporan polis ini dibuat Switzerland, di London dan di Hong Kong.
Yang dituduh membuat jenayah money laundering ini ialah suami Rosmah.
Tindakan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menggemparkan. Bukti kejayaan terpampang. Akaun 1MDB telah dibekukan di Switzerland. Dua minggu lalu peguam negara Switzerland telah datang ke Kuala Lumpur untuk memulakan siasatan.
Kejayaan serangan dari dalam parti ketuanan Melayu ini pasti diketahui oleh para bomoh dan penasihat suami Rosmah. Justeru si Khairuddin telah ditangkap untuk ditahan betul-betul ketika dia hendak terbang ke New York.
Kini orang ramai diberitahu rupa-rupanya si Khairuddin ini telah membuat temu janji dengan Federal Bureau of Investigation (FBI) – badan penyiasat Amerika. Juga Haji Desas bin Lebai Desus telah melaporkan bahawa mamat ini akan juga ditemubual oleh The New York Times dan media Amerika. Hebat mamat ini.
Sekali imbas, kelihatan bahawa semua musuh suami Rosmah telah tewas. Panglima Bugis masih lagi dalam kapal.
Maka di sini gua masuk mencelah untuk memberitahu pembaca dan rakyat Malaysia apa akan terjadi seterusnya. Kalau gua Najib dan mahu terus selamat maka di bawah ini adalah tindakan yang akan gua lakukan. Gua yakin gua selamat.
Pertama: Tian Chua, Rafizi Ramli, Nik Nazmi Nik Ahmad, Chang Lih Kang, Nurul Izzah Anwar, Dr Hatta Ramli, Mat Sabu, RSN Rayer, Tony Pua dan pemimpin yang berpotensi menjadi calon menentang United Malays National Organisationi akan dihadapkan ke mahkamah.
Mereka akan berhadapan dengan pelbagai tuduhan.
Malah nama-nama yang gua senaraikan di atas telahpun masuk mahkamah. Kes mereka sedang dan akan didengar di mahkamah. Rafizi dan Tian Chua akan menjadi calon contoh untuk dibatalkan kelayakan bertanding. Ini akan menakutkan yang lain.
Sebelum PRU14 diumumkan gua akan pastikan mereka semua ini akan didapati bersalah.
Minta maaf. Bukan gua yang jatuhkan hukuman. Ini keputusan mahkamah. Lagi pun yang dituduh masih boleh merayu. Ketika dalam rayuan mereka akan dinafikan hak untuk bertanding.
Ini rancangan awal gua untuk mengenepikan musuh politik. Bijak, licin, tuntas dan bersih sekali. Semua berlandaskan undang-undang. Barack Obama pasti tersenyum kerana gua bijak.
Kedua: Gua akan berunding dengan Tuan Guru Haji Hadi tentang Akta 335. Akta ini telah dihebohkan sebagai Hukum Hudud. Ini untuk menakut-nakutkan Cina DAP.
Setakat ini ejen-ejen gua dalam DAP telah memainkan peranan mengoreng Akta 335 ini sehinggakan Pakatan Rakyat pecah.
Gua akan beritahu Hadi Awang bahawa parti gua akan bersedia menyokong kelulusan Akta 355 ini dalam Parlimen. Tapi Hadi wajib menjanjikan tidak menyokong apa sahaja bentuk undi tak percaya terhadap gua.
Gua minta PAS menyokong gua meluluskan penambahan kerusi Parlimen demi Bani Melayu. Sebagai buktinya kesucian niat walaupun gua hendak terbang ke London tapi gua masih ada masih melawat Mursyidul Am Tuan Haji Haron Din di IJN.
Ketiga: Gua akan hasut dan yakinkan Hadi dan menantunya Din Ayam untuk jangan bekerjasama dengan Cina DAP, PKR dan AMANAH.
Keempat: Gua akan minta parti PAS untuk bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN di seluruh negara. Kepada Din Ayam dan Nik Abduh gua akan katakan: Jangan risau tentang fulus. Fulus melambak-lambak lebih banyak dari kerja baca doa. Gua ada Tok Arab dengan dolar halal.
Kelima: Seperti biasa gua akan arahkan SPR untuk melakukan kerja-kerja biasa. Tapi dalam PRU14 ini SPR wajib lebih teliti.
Dari sekarang SPR wajib mula mengalih-alihkan nama pengundi muda Cina yang kelihatan menyokong BERSIH. Pengundi Melayu yang menyokong PKR atau AMANAH akan dipindah-pindahkan atau nama mereka gua padamkan dari daftar pengundi.
Gua tahu kerja melupus dan mengalih nama ini sedang berjalan di Lembah Pantai dan di Klang.
Kerja alih mengalih dan padam memadam ini amatlah senang untuk dilakukan kerana bukan lagi menggunakan tenaga manusia. Nama boleh diatur dan data dikumpul melalui program Internet.
Keenam: Sebelum PRU13 PKR, DAP dan PAS telah amat aktif mendaftarkan ahli mereka untuk menjadi pengundi. Ini terbukti PRU13 membawa kemenangan untuk mereka.
Sekarang gua telah arahkan SPR membatalkan pekara ini. Hanya SPR dan Pejabat Pos sahaja yang boleh mendaftarkan bakal pengundi. Gua tutup lubang nafas Pakatan Rakyat. Bijak
Ketujuh: Gua akan beri satu arahan pendek kepada SPR. Gua mahu menang besar.
Tujuh perkara ini sudah cukup untuk memastikan suami Rosmah akan menang dalam PRU14. Suami Rosmah akan menang besar. Ada sesiapa nak bertaruh?
Tujuh perkara di atas pasti telah lama difikirkan oleh Muhamad Najib bin Abdul Razak. Suami Rosmah ini pasti telah diberitahu oleh para Bomoh dan penasihat bahawa seteru besarnya Mahathir bin Muhamad sedang merancang siang dan malam.
Mahathir sedang menggunakan semua tenaga, semua jaringan untuk memastikan suami Rosmah akan tergelincir dari kuasa.
Haji Desas bin Lebai Desus telah mula membuka cerita bahawa Mahathir kini telah sanggup bekerja sama dengan sesiapa sahaja untuk memastikan suami Rosmah lungkup.
Dalam masa yang sama suami Rosmah masih mahu bertahan. Suami Rosmah mahu bertahan sehingga berjaya mengendalikan PRU14. Justeru, pilihan raya kali ke-14 ini akan menjadi satu PRU yang paling kotor.
Orang ramai tahu dan heboh sambil berbincang tentang duit 1MDB berjumlah 42 bilion ringgit. Orang ramai juga tahu sebanyak 2.6 bilion ringgit telah masuk ke dalam akaun pribadi suami Rosmah. Apa yang orang ramai gagal mengira ialah tolak 2.6 bilion dari 42 bilion ada berapa? Dimana agaknya baki duit ini?
Justeru dengan duit berbilion ringgit ini gua amat yakin suami Rosmah akan berjaya membeli SPR, SPRM, Polis, Hakim, Mahkamah termasuk Parti PAS, Nik Abduh, Tantawi dan Din Ayam.
Hakikatnya hari ini suami Rosmah telah membeli negara ini. Ini bukan kata-kata dari Hishamuddin Rais. Ini kata-kata dari ucapan Tun Dr Mahathir Muhamad bekas Perdana Menteri Malaysia dan juga bekas Presiden parti United Malays National Organisation.
Najib Razak mahu terus bertahan sahingga PRU14 dapat dijalankan. Keputusan PRU14 ini telah ada dalam tangan Najib Razak.
Keputusan PRU14 akan memastikan United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya mendapat kembali majoriti dua pertiga. Ini bukan mustahil. Ini akan berlaku.
Kenapa suami Rosmah gila-gila hendak bertahan sahingga ke PRU14? Kerana suami Rosmah ingin membuktikan kepada Tun Dr Mahathir Muhamad bahawa Muhamad Najib bin Abdul Razak mendapat sokongan rakyat.
Muhamad Najib bin Abdul Razak ingin berkata kepada Mahathir Muhamad, ‘F@#% you Mahathir...!”
Maka jika gua jadi Mahathir Muhamad gua pasti mahu lupuskan suami Rosmah ini sebelum akhir tahun.
--------------------------------------------------------------------------------------------
HISHAMUDDIN RAIS adalah seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non-governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho.
Lulusan dari sekolah pemulihan pemikiran politik seperti Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi.
No comments:
Post a Comment