UtusanDaily

Thursday 2 July 2015

Wabak denggi bawaan rakyat sendiri

Oleh Anak Murid Ruhi Hayat


Menemui saudara-saudaraku rakyat Malaysia. Diharap kalian berada dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga dan rakan-rakan.

Tujuan aku menulis surat ini hanya sekadar membawa panji peringatan, sebagaimana firman tuhan untuk berpesan-pesan dengan kebenaran, serta berpesan-pesan dengan kesabaran.

Kebelakangan ini, negara kita dikejutkan dengan pelbagai isu. Antaranya, pergolakan dalaman parti politik sehingga timbul pelbagai label yang kurang enak didengari.

Hatta, jika anak-anak kita yang mengucapkannya, mungkin kita sendiri akan marah kepada anak kita. Isu ini hakikatnya adalah isu-isu kecil yang cuba menutup isu besar yang lain.

Isu besar yang melibatkan kepentingan awam dan kepentingan bersama.

Negara kita sedang dilanda bencana dan wabak! Bencana alam bukan sahaja diukur kepada perkara yang melibatkan gempa bumi atau banjir semata-mata.

Hakikatnya, kes-kes seperti penyakit bawaan udara, bawaan vektor juga bawaan air, juga termasuk di bawah bencana melibatkan alam.

Alam seakan-akan marah dengan kita. Alam sudah menjadi musuh kita, seperti kata lagu Ebiet G Ade; Berita Kepada Kawan. Petikan lagu itu mengingatkan kita alam yang sudah mulai bosan bersahabat dengan kita, sehingga mendatangkan bencana kepada manusia.

Saudara sekalian, kita masih lagi dalam fasa bahaya dalam menghadapi wabak denggi.

Satu penyakit virus yang dibawa nyamuk. Perangkaan terbaru menunjukkan negara kita mencatatkan lebih dari 150 kematian tahun ini. Sedangkan tahun lalu kita hanya mencatatkan separuh rekod kematian disebabkan denggi dalam tempoh yang sama.

Setiap hari, sentiasa ada kes baru didaftarkan, terutamanya di kawasan bandar berpenduduk padat.

Tahun lalu sahaja, kita mencatatkan lebih dari 100,000 kes denggi, catatan rekod paling tinggi sejak dua dekad lalu. Dan tahun ini, rekod itu dijangka meningkat!

Saudaraku, denggi adalah penyakit bawaan vektor. Bermakna ia memerlukan perumah untuk memindahkan virus. Denggi disebarkan nyamuk Aedes, yang mana akan membiak ‘warisannya’ di tempat takungan air bersih di persekitaran rumah kita.

Bersih ini bukanlah bermaksud suci hama atau air yang boleh dibawa untuk bersuci, akan tetapi cukup sekadar jernih dan bertakung. Kawasan yang paling kerap dijumpai adalah di kawasan pasu bunga yang menakung air hujan, serta longkang yang tersumbat.

Saudaraku sekalian, perebakan wabak yang boleh dikatakan endemik ini kebanyakannya hasil tangan kita sendiri. Kita terlalu bersikap malas tanpa mengira keturunan dan bangsa.

Kita terlalu memilih untuk lebih menikmati senang-lenang di dalam rumah, berbanding keluar rumah dan membersihkan kawasan persekitaran.

Kita terlalu bersikap pentingkan diri dengan mengharapkan jiran kita membersihkan longkang yang tersumbat. Kita lebih rasa bangga dengan persekitaran kita yang kotor dan kita menikmati sedapnya pembaringan di atas tilam empuk di dalam rumah yang bersih.

Kita bersorak mengakui kita satu bangsa iaitu bangsa Malaysia. Kita bertempik hebat dalam mempertahankan agama dan menghormati agama anutan sahabat kita yang lain. Kita mempertahankan prinsip pluraliti itu dengan rasa bangga.

Akan tetapi, hakikatnya kita lebih pentingkan perut kita sendiri. Kita sanggup pergi kerja pagi dan petang demi mencari sesuap nasi, dan mengabaikan perintah tuhan iaitu berbaik-baik dengan manusia (hablum minan nas).

Kita abaikan saudara dan jiran tetangga kita, dengan membiarkan mereka terdedah kepada bahaya penyakit denggi. Kita merasa kukuh dalam zon selesa kita, lantas mengabaikan segala tanggungjawab kemasyarakatan dengan mementingkan rehat dan tidur!

Jika kita imbas kembali tahun-tahun sebelum ini, di mana wabak denggi pada waktu itu, masih belum ‘menggila’ seperti hari ini. Lihatlah tahun 90-an atau lihatlah tahun-tahun di mana kita masih lagi punyai rasa hormat terhadap jiran yang tinggi.

Kita masih lagi tidak hanyut di bawah desakan kewangan yang memerlukan kita bekerja seperti hari ini. Kita masih lagi bergotong-royong walaupun sewaktu kenduri.

Kita masih lagi punyai moral dengan tidak membuang sampah keluar dari kereta.

Akibat desakan hidup dan kos sara hidup yang tinggi, kita hari ini sudah bertukar menjadi kambing belaan korporat, demi memenuhi kehendak konsumerisme.

Ustaz-ustaz kita kebanyakan hanya mengingatkan kita kepada perkara-perkara remeh melibatkan isu peribadi dan hal dalam kelambu, sehingga melupakan isu wabak denggi yang besar setaraf dengan isu ekonomi, isu salah guna kuasa, tadbir urus dan banyak lagi isu-isu besar yang lain!

Isu ini melibatkan nyawa! Sebagaimana kita benci melihat perang saudara yang memakan korban nyawa di negara-negara timur tengah dan lain-lain kawasan, sepatutnya begitu juga kita memandang isu wabak denggi.

Kerana ia juga melibatkan isu nyawa. Ia juga melibatkan isu kemanusiaan. Sepatutnya kita kekal berprinsip mempertahankan nyawa manusia dan kembali kepada fitrah sebagai manusia, iaitu mahukan keamanan, penjagaan nyawa, serta menjaga kehormatan manusia.

Berhentilah menjadi hipokrit dan pentingkan diri sendiri. Kembalilah menjadi manusia. –

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive