Low Yat pengajaran terbaik hubungan sesama kaum, kata Awie
Penyanyi dan pelakon popular Awie menyifatkan insiden pergaduhan di Plaza Low Yat sebagai contoh terbaik bagi semua kaum di Malaysia menghindarkan dari perbuatan cabar mencabar sesama kaum.
Vokalis kumpulan Wings itu berkata insiden pergaduhan di Plaza Low Yat harus diinsafi kerana rakyat Malaysia tidak mahu peristiwa seumpama itu berulang lagi.
"Bagus benda itu berlaku juga sebab kita dah berapa kali dicabar nak tunjukkan 13 Mei. Kita tak nak benda itu berlaku.
"Kita rakyat biasa tak nak dicabar benda macam ini. Soal isu perkauman dan sebagainya. Jadi jangan dicabar lagi. Jangan berlaku lagi," katanya ketika ditemui media di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur petang ini.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata setiap orang atau kaum tertentu mempunyai kelebihan masing-masing maka penting isu seperti yang tercetus di Plaza Low Yat tidak dipolitikkan.
Katanya, apa yang berlaku di Plaza Low Yat bukanlah tercetus atas dasar perkauman tetapi penipuan yang boleh berlaku kepada mana-mana kaum.
"Di mana-mana pun akan berlaku pergaduhan, Melayu dengan Melayu pun akan berlaku pergaduhan juga jika ada benda yang tak kena.
"Contohnya kalau soal menipu, Melayu dengan Melayu pun bergaduh. Bukan saja Melayu dengan Cina. Ini bukan isu rasis.
"Semua orang sama sebenarnya. Jangan mempolitikkan bangsa ini. Semua manusia bangsa dijadikan Tuhan. Tiada beza, tiada kurang. Sama saja," katanya.
Beliau turut ditanya mengenai pandangan politiknya sama ada lebih cenderung kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau Tun Dr Mahathir Mohamad seperti mana yang ditunjukkan oleh artis lain.
Katanya, walaupun Najib berdepan dengan pelbagai isu namun beliau memberikan sokongan kepada pemimpin yang berpegang kepada kebenaran.
"Saya berdiri di atas kaki saya sendiri. Tak sebelah mana-mana.
"Mana yang betul saya ikut saja. Mana tak betul pergi jauh-jauh," katanya. – 27 Julai, 2015.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/low-yat-pengajaran-terbaik-hubungan-sesama-kaum-kata-awie#sthash.r6ZJqkRd.dpuf
No comments:
Post a Comment