Nik Nor Ahmarizam Nik Ahmad
Sekadar gambar hiasan.
SEWAKTU penulis bersama-sama dengan beberapa
cendekiawan pemikir akademik Kementerian Pendidikan dalam satu seminar
pendidikan di ibu kota, pelbagai pendapat telah dikemukakan untuk
dibincangkan bagi mencari kata sepakat berkaitan beberapa isu pendidikan
terbaharu, sekali gus menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(PPPM) 2013-2025.
Dengan kata lain, pejam celik, pejam celik begitu pantas sekali masa
berlalu dan 2015 merupakan tahun akhir Gelombang 1 (2013-2015), iaitu
mengubah sistem dengan menyokong guru dan memberikan tumpuan kepada
kemahiran utama.
Masih kedengaran cakap-cakap massa di seluruh pelosok tanah air, iaitu
terdapat sebilangan besar daripada pendidik tempatan kurang memahami
kandungan PPPM yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin pada 6 September 2013. Dalam hal ini, kata-kata seorang
akademikus terkenal tanah air ada kebenarannya.
Kata beliau, “Saya berasa hairan kerana masih terdapat golongan
pendidik kini yang bersikap ‘nato’ dalam urusan sehariannya sebagai
pendidik sedangkan kerajaan melalui KPM (Kementerian Pendidikan) telah
memperuntukkan wang yang begitu besar untuk menjayakan transformasi
pendidikan agar kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi
dengan bangsa di negara maju.”
Sejujurnya, kerisauan beliau bukan sahaja dirasai oleh pegawai KPM
tetapi ibu bapa juga turut menerima tempiasnya dek perilaku sesetengah
guru yang bersikap ‘nato’ itu.
Perkataan ‘nato’ merujuk kepada frasa no action talk only yang begitu
jelas menggambarkan bahawa ada guru yang bersikap sedemikian ketika
memberikan ilmu pengetahuan kepada muridnya dalam proses pengajaran dan
pembelajaran. Guru yang tegar dengan situasi ‘nato’ ini berlaku di
mana-mana daerah atau lokasi dunia pendidikan kini.
Apakah kesannya kepada murid pascamerdeka pada masa hadapan? Adakah
murid berasa selesa akan sikap guru ‘nato’ itu? Sehubungan itu, stigma
sebegini tidak wajar berlaku kerana setiap guru telah melalui proses
pengamalan pedagogi berkesan serta praktikum ketika mereka menuntut di
Institut Pendidikan Guru (dulunya maktab perguruan) atau di universiti
tempatan dan luar negara.
Apakah yang diinginkan oleh seseorang murid pascamerdeka dalam proses
pembelajaran seharian mereka? Jika perkara ini diajukan kepada murid,
tentulah jawaban yang pelbagai akan diperoleh. Dalam hal ini, seseorang
guru yang sentiasa menyedari tanggungjawabnya akan berusaha untuk
memberikan persembahan yang terbaik ketika sesi pengajaran di dalam
kelas, selain menitikberatkan aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek
muridnya setiap masa.
Guru-guru seharusnya mendekati muridnya dengan penuh kasih sayang agar
ilmu pengetahuan benar-benar meresap ke dalam diri murid tanpa gangguan
unsur provokasi luaran. Usahlah dibiarkan sikap pasif ‘nato’ mendominasi
minda guru terus-terusan tanpa adanya prakarsa murni untuk meningkatkan
tahap profesionalisme dan kaedah pengajaran terkini.
Murid-murid pada abad ke-21 ini merupakan murid pascamerdeka yang
aktif dalam serba bidang. Hal ini menuntut guru-guru mengetepikan sikap
jelik ‘nato’ dalam mendepani kerenah murid masing-masing dengan minda
yang terbuka selain mendidik mereka agar tidak sekali-kali meminggirkan
kesantunan budi bahasa. Jadilah guru yang selalu kasih akan muridnya
tanpa mendambakan sebarang balasan.
Selain itu, guru nan berwibawa perlu menerokai pelbagai disiplin ilmu
kurniaan Ilahi dengan ikhlasnya kerana yakinlah bahawa apabila minda
guru cerdas dan kuat, pengetahuan muridnya jua pasti mencapah sekali gus
Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) turut terserlah.
Kesimpulannya, peribahasa ‘leluhur ular menyusur akar’ tidak akan
hilang bisanya masih malar segar dalam ranah kehidupan seseorang guru
kini. Setiap guru mempunyai nuansa yang cukup ampuh dan nirmala untuk
menjadi guru yang bercita-cita tinggi, sekali gus menjayakan PPPM pada
abad ke-21 ini.
Bahasa Sendi Tamadun Bangsa.
* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur
No comments:
Post a Comment