UtusanDaily

Saturday, 27 September 2014

[Tips] Petua untuk menangani obesiti cara Islam

FOUZIAH AMIR

Tangani obesiti cara Islam

OBESITI oh obesiti... Isu ini tidak pernah sepi dalam masyarakat hari ini. Ia berkait rapat dengan soal pemakanan dan kesihatan. Apatah lagi Malaysia terkenal dengan syurga makanan yang menawarkan pelbagai sajian 24 jam, tanpa perlu memasak di dapur.

Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, obesiti bermaksud kegemukan yang disebabkan terdapat lemak yang berlebihan. Masalah obesiti ini berlaku kepada semua peringkat usia masyarakat. Ini adalah berkaitan dengan malnutrisi iaitu kekurangan makanan seimbang.

Untuk mengupas lebih lanjut mengenai isu tersebut, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dalam menyumbangkan kemaslahatan manusia, khususnya umat Islam, menganjurkan seminar sehari bertajuk Daripada Malnutrisi kepada Obesiti: Menelusuri Tabiat Makan Umat Islam di Malaysia pada 13 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Ikim, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dalam ucapan perasmian seminar itu berkata, obesiti menjadi masalah kesihatan yang dihadapi di seluruh dunia.

"Ancaman obesiti sebagai faktor risiko kepada penyakit tidak berjangkit (noncommunicable disease) ternyata amat membimbangkan.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 3/4 kematian di negara sedang membangun pada 2020 adalah disebabkan penyakit tidak berjangkit.

"Statistik menunjukkan individu yang mengalami obesiti di seluruh dunia meningkat dari 857 juta pada 1980 kepada 2.1 pada 2013," katanya.

Beliau menambah, penularan masalah obesiti kian pesat dalam masyarakat hari ini berkaitan dengan cara pengambilan makanan harian. Hampir 50 peratus orang dewasa di negara ini mengalami obes, tetapi masih tidak mempedulikannya.

Islam adalah sistem hidup yang mengiktiraf kesihatan dalam aspek fizikal, spiritual dan mental. Berlebihan dalam pengambilan makanan tidak digalakkan dalam Islam.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak ada satu wadah (bekas) yang dipenuhi oleh anak Adam lebih buruk daripada perutnya.

Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap makanan yang dapat menegakkan tulangnya. Jika ia harus mengisi perutnya lebih daripada itu, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumnya dan sepertiga untuk pernafasannya." (Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Jangan bertuhankan perut

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: Dan Dialah (ALLAH) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya dan buah zaitun dan delima yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya).

Makanlah daripada buahnya ketika ia berbuah dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya ALLAH tidak suak kepada orang yang melampau. (Surah al-An'am: 141)

Dalil di atas menunjukkan kemurahan ALLAH SWT dan keluasan yang dikurniakan-Nya kepada hamba-Nya dalam soal makan minum.

Diharuskan bagi mereka memakan semua jenis makanan asalkan ia halal dan baik, tidak lupa mensyukuri-Nya, tidak berlebih-lebihan dan tidak membazir menuruti tabiat syaitan, kata Felo Kanan Pusat Kajian Syariah, Undang-undang & Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Md Asham Ahmad dalam kertas kerjanya Petunjuk al-Quran & Sunnah Dalam Soal Pemakanan & Kesihatan.

Menurutnya, halal ertinya diharuskan, yakni tidak terikat dengan larangan ataupun pengharaman.

Manakala tayyib bererti suci. Makna asalnya adalah apa yang diperoleh kelazatan dan kebaikan daripadanya. Ia merangkumi kebaikan dunia dan akhirat.

Kategori baik itu adalah makanan yang terbukti kebaikannya kepada kesihatan, berdasarkan bukti ilmiah. Dari segi nutrisi, baik buruk makanan diambil seseorang bergantung kepada banyak faktor, antaranya adalah keadaan kesihatan, cuaca, dan pekerjaan.

Oleh itu, makanan yang baik bagi seseorang belum tentu baik bagi seseorang lain. Ini termasuklah makanan diambil Rasulullah, tidak semestinya baik dan sesuai untuk semua orang dalam semua keadaan.

"Terdapat banyak hadis yang menyebut mengenai makanan tertentu dimakan oleh Rasulullah, yang Baginda gemari ataupun yang menunjukkan kepada galakan Baginda agar kita memakannya.

"Mungkin daripada hadis-hadis inilah timbul akhir-akhir ini istilah makanan sunnah yang menjadi slogan golongan peniaga dan pengeluar makanan tertentu untuk menarik perhatian pelanggan membeli dan menggunakan barangan keluaran mereka."

Antara makanan yang sering disebut sebagai makanan sunnah adalah kurma, barli, buah ara, anggur, madu, tembikai, susu, cendawan, minyak zaitun, buah delima dan cuka.

Bagaimana pula dengan makanan yang lain, daripada rezeki yang dikurniakan ALLAH kepada manusia tetapi tidak dinyatakan dalam hadis ini? Adakah makanan ini kurang keistimewaannya berbanding dengan apa yang dirujuk sebagai makanan sunnah itu?

Rasulullah tidak cerewet dalam memilih makanan. Namun sebagai manusia biasa, ada makanan tertentu yang menjadi kegemaran Baginda dan ada yang tidak suka. Baginda juga mencuba makanan yang tidak pernah makan.

Pemakanan sunnah merujuk kepada adab makan dianjurkan Rasulullah SAW adalah termasuk dalam Sunnah yang digalakkan kita mengikuti dan mencontohi kerana wujud padanya tujuan mendekatkan diri kepada ALLAH dengan mencontohi Baginda SAW.


Sunnah Rasulullah SAW

Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Sains & Alam Sekitar (Ikim) Norkumala Awang dalam kertas kerjanya Pemakanan & Kesihatan: Pendekatan Islami Dalam Dunia Moden berkata, makan merupakan fitrah bagi setiap manusia. Pemakanan memberi kesan kepada kesihatan dan kelangsungan hidup.

Menurutnya, pemakanan didefinisikan sebagai zat-zat makanan berinteraksi dan bertindak-balas dengan melibatkan proses pencernaan, penyerapan, pengangkutan dan penyingkiran yang berhubung kait dengan tahap kesihatan dan penyakit (Guthrie & Pichiano, 1999).

Islam telah menggariskan panduan dan petunjuk yang komprehensif berkaitan kehidupan manusia dan juga isu saintifik berkaitan.

Penjagaan kesihatan yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW adalah bersifat pencegahan dan perlindungan kesihatan tubuh badan.

1. Makan secara sederhana

Setiap individu perlu mengambil makanan mengikut keperluan masing-masing. Ia bergantung kepada tahap kesihatan seseorang, jantina, umur, gaya hidup dan pekerjaan.
Ibnu Majah meriwayatkan daripada Ibnu Umar mengatakan seorang lelaki telah bersendawa di hadapan Rasulullah SAW, lalu Baginda SAW bersabda:

"Tahanlah sendawa kamu daripada kami, sesungguhnya orang yang paling lapar antara kamu pada hari kiamat adalah orang yang paling kenyang di antara kamu di dunia."
Makan berlebih-lebihan mengundang masalah obesiti dan masalah kesihatan seperti diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan ketidakselesaan anggota badan.

Panduan Diet Malaysia juga mencadangkan agar mengambil makanan dengan menepati prinsip keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian.

2. Makan kepelbagaian makanan dan seimbang

Menurut Ibnu Qayyim al Jauziyyah tidak pernah menjadi tabiat kelaziman Rasulullah SAW untuk memakan sejenis makanan sahaja tetapi Baginda SAW memakan pelbagai makanan.

Baginda SAW juga memakan makanan yang dimakan di negerinya seperti daging, buah-buahan, kurma atau makanan lain. Apabila Rasulullah SAW tidak menyukai sesuatu jenis makanan, maka Baginda tidak menjamahnya.

Tiada makanan yang menyediakan pelbagai zat lengkap. Justeru, setiap individu perlu mengambil pelbagai jenis makanan untuk menjaga kesihatan.

3. Makan berjemaah atau beramai-ramai.

Daripada Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Makanlah kamu secara berkumpulan dan janganlah kamu makan secara terpisah. Sesungguhnya makanan yang disediakan untuk seorang mencukupi untuk dua orang.

Makanan yang disediakan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang. Makanan yang disediakan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang." (Riwayat Muslim)
Imam Ibn Hajar berkata dalam kitab Fath al-Bari: "Sesungguhnya keberkatan semakin bertambah apabila bertambahnya bilangan orang yang turut serta berkongsi makanan tersebut."

4. Aktiviti fizikal dan kerehatan

Rasulullah SAW biasa berjalan kaki dalam aktiviti seharian. Menurut Ibnu Kathir, cara berjalan Rasulullah SAW adalah melangkah dengan cepat seperti langkah mengikut jalanan menurun.

Gaya berjalan sebegini adalah bentuk senaman aerobik dan merupakan aktiviti paling murah. Rasulullah SAW juga menganjurkan supaya mendidik anak dengan berenang, memanah dan berkuda.

Kerehatan juga diperlukan untuk menjamin kesihatan tubuh. Badan juga perlu untuk berehat setelah melakukan pelbagai aktiviti.

Oleh itu, gaya hidup sihat yang menekankan kesederhanaan dalam melakukan sesuatu aktiviti dan kerehatan akan membantu kita mencapai kecergasan fizikal dan menyumbang kepada kesihatan baik.


Manusia bukan robot

Pakar Pemakanan Kanan Institut Jantung Negara, Siti Farhath Sehu Allavudiin berkata persepsi makanan sihat dikaitkan dengan makanan organik, vitamin atau pil suplemen.

Manakala makanan sihat dari segi masakan seperti kukus atau panggang, tidak bersantan atau bergoreng.

"Kita sebenarnya banyak mempersalahkan makanan. Sebenarnya yang patut dipersalahkan adalah amalan pemakanan pengguna. Ini bukan kerana makanan mahal.

"Kita perlu bersederhana dan seimbang dalam semua aspek kehidupan kita termasuk pemakanan. Kapasiti makanan adalah mengikut keperluan individu dan jenis pekerjaannya.

"Jika ambil lebih daripada keperluan, ia akan menjadi terlebih. Dari segi jangka pendek ia tak nampak, tetapi memberi kesan untuk jangka panjang," katanya ketika membentangkan kertas kerjanya Makanan Sihat, Makanan Mahal?

Beliau menambah, manusia bukan robot, sebaliknya memerlukan kepelbagaian dalam makanan untuk sihat. Makanan merupakan pelaburan kesihatan.

Faktor berkaitan dengan kesihatan terbahagi kepada dua iaitu aset tetap (sejarah keluarga, umur dan jantina) dan aset boleh diubah (cara hidup, pilihan makanan dan senaman).

"Amalan pemakanan sihat perlu bermula dari awal. Apabila kita mengetahui sejarah kesihatan keluarga, jadi ambil langkah berhati-hati untuk menjaga kesihatan," katanya.

Antara objektif makanan sihat adalah kawal saiz makanan/hidangan; kurangkan pengambilan lemak/kolesterol; tingkatkan pengambilan serat dan air; serta kurangkan pengambilan gula dan garam.

Prof Madya Dr Zaitun Yassin dari Pusat Pemakanan Malaysia dalam perkongsian maklumat Pemakanan Sihat: Berzat, Lazat, Jimat berkata, pemakanan sihat adalah asas kesejahteraan.

Makanan membekalkan tenaga bagi menjalankan tanggungjawab dan peranan sebagai hamba ALLAH. Dalam Islam, makanan itu membentuk hati. Jika banyak makan, hati mati.

"Oleh itu, janganlah bertuhankan perut. Prinsip makan adalah untuk hidup dan beribadah, bukan sebaliknya."

Daripada Abdullah bin Umar RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Orang kafir makan dengan tujuh perut, manakala orang Mukmin itu makan dengan satu perut sahaja.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive