RAMADAN, bulan yang dirindui bakal tiba. Kira-kira 13 hari lagi kita akan memulakan ibadat puasa Ramadan.
Ibadah puasa Ramadan adalah rukun Islam yang ketiga yang wajib dilaksanakan oleh setiap muslim.
Puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran dan secara langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni dalam diri kita.
Apabila membicarakan fardu menunaikan puasa Ramadan, kita sebenarnya tidak akan terlepas untuk menyentuh mengenai kewajipan mengganti puasa sama ada ditinggalkan secara sengaja ataupun tidak.
Dalam Islam golongan yang tertentu seperti orang yang sudah uzur ataupun sakit yang tiada harapan sembuh dan juga wanita yang dalam keadaan haid dan nifas sahaja dikecualikan daripada berpuasa.
Walau bagaimanapun, golongan ini difardukan juga membayar fidyah dan menggantikan puasa.
Firman ALLAH SWT maksudnya, "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (Iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu.
Maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu dia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu), memberi makan seorang miskin.
Barang siapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui." (Al-Baqarah: 183-184).
Perlu juga difahami, bagi sesiapa yang meninggalkan puasa secara sengaja dan tidak menggantikannya bererti telah melakukan dosa besar di sisi ALLAH SWT. Seperti mana yang kita tahu hutang bukan sekadar wang ringgit dan harta benda yang wajib dibayar tetapi juga terhadap amal ibadah dalam rukun islam dan termasuk hutang puasa bulan Ramadan.
Setiap mukmin mestilah menghindari dari belenggu hutang ini, lebih-lebih lagi dalam amal ibadah yang difardukan.
Persoalannya, sudahkah kita menjelaskan hutang puasa bagi tahun ini? Kiranya belum bersegeralah membayar hutang puasa kerana ibadah puasa adalah perkara yang membentuk lima asas dalam rukun islam dan kegagalan mengerjakannya dengan sempurna boleh membawa kepada kemurkaan ALLAH SWT. Perlu diingatkan bagi kaum wanita agar melunaskan hutang puasa ini.
Sepatutnya tidak menjadi masalah bagi wanita kerana menggantikan puasa ini adalah rutin setiap tahun.
Rasulullah dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Umamah Al-Bahili RA bersabda, dalam mimpinya, Baginda telah mendengar suara ahli neraka menjerit kerana berbuka sebelum masuk waktunya.
Baginda melihat penghuni itu digantung dengan kaki di atas dan darah mengalir dari mulut mereka yang telah robek.
Betapa hebatnya azab ALLAH SWT terhadap mereka yang berbuka puasa sebelum masuk waktunya, apatah lagi azab terhadap mereka yang sengaja meninggalkan puasa. Pastinya lebih dahsyat azabnya.
Mari sama-sama kita merujuk kepada kefahaman mengantikan puasa dan membayar fidyah dengan baik.
Dalam hal ini, bagi golongan yang diberikan kelonggaran untuk berbuka puasa Ramadannya, wajib digantikan kembali puasanya jika ia berkuasa dan sakitnya sembuh selepas puasa nanti. Dan orang yang bermusafir juga yang berbuka puasanya disebabkan tiada kuasa dalam perjalanannya, maka ia diwajibkan ganti semula puasanya selepas bulan Ramadan.
Tahun pertama orang yang meninggalkan puasanya atau berbuka puasanya,maka ia diwajibkan ganti semula kesemua puasa yang ditinggalkannya. Tetapi bagi yang tidak mampu untuk berpuasa dan memang tidak boleh berpuasa , jika berpuasa akan mendatangkan kemudaratan kepadanya, maka ia tidak diwajibkan menggantikan puasanya dan ia diwajibkan membayar fidyah kepada orang miskin.
Membayar Fidyah dengan satu cupak makanan asasi tempatan yang disedekahkan kepada fakir miskin mewakilli satu hari yang tertinggal puasa Ramadan padanya.
Makanan asasi masyarakat Malaysia adalah beras, maka wajib sedekahkan secupak beras kepada fakir miskin bagi mewakili sehari puasa. Ukuran secupak beras secara lebih kurang sebanyak 670 gram.
Contohnya si polan telah meninggalkan puasanya sebanyak 5 hari, maka dia wajib membayar Fidyahnya sebanyak 5 cupak beras kepada fakir miskin.
Firman ALLAH yang bermaksud : "(Puasa Yang Diwajibkan itu ialah beberapa hari Yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu Yang sakit, atau Dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari Yang dibuka) itu pada hari-hari Yang lain; dan wajib atas orang-orang Yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar Fidyah Iaitu memberi makan orang miskin.
Maka sesiapa Yang Dengan sukarela memberikan (bayaran Fidyah) lebih dari Yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi Fidyah), kalau kamu mengetahui." (Al-Baqarah : 184).
Kesimpulannya, golongan yang masih mampu mengerjakan ibadat puasa, maka wajiblah membayar hutang puasa berkenaan. Peliharalah ibadat puasa itu agar tidak berdepan dengan kehinaan di akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment