UtusanDaily

Wednesday 18 June 2014

Awasi anak anda, Usah berlengah kesan Kawasaki

oleh ZAITIE SATIBI

Jika anak kecil mengalami demam berpanjangan diikuti gejala sampingan seperti tumbuh ruam, tangan dan kaki bengkak serta berwarna kemerahan, sakit pada mulut dan lidah manakala kelenjar di leher dan ketiak turut membengkak, mungkin anak itu menghidap penyakit Kawasaki.

Penyakit ini menyebabkan radang pada salur darah di seluruh badan dan bahayanya jika lambat mendapatkan rawatan boleh mengakibatkan komplikasi pada jantung apabila organ penting ini menjadi lemah atau saluran darah ke jantung bengkak kerana kerosakan arteri koronari.

Awalnya, ia dikenali sebagai sindrom kelenjar dan kulit dikenali sebagai mucocutaneous lymph node syndrome sebelum dinamakan penyakit Kawasaki sempena nama pakar kanak-kanak di Jepun, Tomikasu Kawasaki yang mengesan dan menghurai gejala penyakit ini pada 1960.

Pakar Kanak-kanak dan Pakar Jantung Kanak-kanak, Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL), Dr Kamaruddin Ahmad berkata, sehingga kini punca penyakit Kawasaki dan bagaimana ia berjangkit pada kanak-kanak belum diketahui.

Foto
LIDAH menjadi merah dan berasa sakit.

Namun, katanya, kebanyakan pakar bersetuju kemungkinan besar ia berpunca daripada jangkitan virus atau kuman dan tidak diwarisi daripada keluarga secara genetik.

“Penyakit ini menyerang kanak-kanak berusia bawah lima tahun. Malah, kebanyakan pesakit kanak-kanak yang saya rawat kerana penyakit ini berusia setahun dan paling muda adalah bayi berusia enam bulan.

“Namun, bayi ini meninggal dunia kerana lambat dibawa ke hospital selepas seminggu dijangkiti penyakit Kawasaki, mengakibatkan jantungnya membengkak,” katanya.

Dr Kamaruddin berkata, kanak-kanak yang menghidap penyakit Kawasaki akan demam sehingga panas badannya mencecah suhu 40 darjah Selsius.

“Demam ini juga menyebabkan kanak-kanak menjadi gelisah dan tidak tentu arah berikutan suhu badannya turun naik.

“Selepas dua atau tiga hari mendapat demam, akan tumbuh ruam pada badannya disusuli tapak tangan dan kaki membengkak serta berwarna kemerahan.

“Mulut dan lidah pula akan sakit serta bibirnya bertukar merah terang seolah-olah disapu gincu. Seterusnya, kelenjar pada leher dan ketiak membengkak


FotoBIBIR berwarna merah terang seperti gincu.

“Ini semua tanda klasik bagi penghidap penyakit Kawasaki. Kadangkala gejalanya tidak ketara, malah ada juga penghidapnya terkena cirit-birit.

“Demam boleh berlarutan antara seminggu hingga dua minggu dan dalam keadaan ini anak kecil itu jika diberi ubat antibiotik pun tidak berkesan,” katanya.

Menurutnya, kanak-kanak yang mengalami demam dengan gejala penyakit Kawasaki hendaklah segera dibawa ke hospital atau menemui pakar kanak-kanak untuk mendapatkan rawatan kerana ia boleh mengundang maut jika tidak dirawat dengan kaedah betul.

“Segelintir ibu bapa gagal mengesan gejala penyakit Kawasaki kerana kurang pengetahuan. Mereka membawa anak yang menghidap penyakit ini ke klinik biasa dan diberi antibiotik. Penyakit hanya dikesan selepas demam tidak pulih dan kanak-kanak itu dibawa ke hospital.

“Doktor yang merawat kanak-kanak dengan penyakit Kawasaki lazimnya akan memeriksa terlebih dulu gejala yang timbul dan melakukan ujian darah.

“Jika hasil ujian didapati sel darah putihnya bertambah dan bilangan sel platlet dalam darah juga meningkat begitu tinggi dengan kadar dua kali ganda daripada biasa, kanak-kanak disahkan menghidap penyakit ini,” katanya.

Rawatan utama untuk penyakit Kawasaki adalah menggunakan immunoglobulin yang diberi secara intravena iaitu melalui titisan ke dalam nadi.

Dengan immunoglobulin, ia dapat mengurangkan radang pada jantung dan menghalang kerosakan arteri koronari jika ia diberi dalam tempoh 10 hari pertama menghidap penyakit ini.

Selain itu, penggunaan aspirin dapat mengurangkan kadar keradangan pada jantung dan diberi bersama immunoglobulin pada peringkat paling genting penyakit sehingga demam reda.

Kebanyakan kanak-kanak akan sembuh dan kembali seperti sediakala selepas dua hingga tiga minggu mendapat rawatan di hospital.

Namun, kira-kira 30 hingga 50 peratus pesakit kanak-kanak akan mula mendapat komplikasi akibat penyakit ini seperti aneurisma arteri koronari iaitu pembesaran arteri, jangkitan pada otot jantung atau myokarditis, injap jantung rosak dan kegagalan jantung berfungsi.

Dr Kamaruddin mengingatkan ibu bapa tidak berlengah untuk berjumpa pakar perubatan apabila melihat tanda-tanda penyakit Kawasaki pada anak. Malah, sebenarnya jika penyakit ini cepat dikesan, pesakit boleh pulih sepenuhnya dalam masa beberapa hari.

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive