Pelabuhan Klang: "Saya tak sangka gurauan untuk bercerai menyebabkan suami bertindak di luar dugaan. Saya sebenarnya hanya bergurau dan tidak terfikir dia akan bertindak begitu (melepaskan tembakan). Apa yang dilakukannya di luar kewarasan disebabkan terlalu marah dan bukan bertujuan mencederakan sesiapa kerana dia suami yang baik.
"Selepas apa yang berlaku, saya menyesal dan menjadikannya sebagai pengajaran.
Bukan semua gurauan sesuai dan penerimaan setiap individu terhadap gurauan juga berbeza," kata seorang wanita dikenali sebagai Aziah, 42, mengenai kejadian tembakan dilepaskan suaminya di sebuah pasar raya, di sini, kelmarin.
Menurutnya, sebelum kejadian, suaminya ada menghantar SMS kepadanya bertanyakan keadaannya yang membuka sebuah pusat kesihatan tradisional di pasar raya sama.
Namun, Aziah membalas SMS dengan menyatakan mahu meminta cerai daripada suami dengan niat bergurau semata-mata dan tidak bermaksud untuk bercerai.
Katanya, disebabkan terkejut dan marah kerana menyangka dia mahu bercerai, suaminya yang ketika itu berada di Perak bergegas memandu pulang untuk bertemunya.
"Suami tiba jam 4 petang dan hanya anak perempuan berusia 19 tahun ada di kedai ketika itu.
Suami terus mencari saya, namun ketika itu saya keluar makan di restoran berhampiran.
"Ketiadaan saya di kedai ketika itu menyebabkan suami menyangka saya keluar bersama orang lain.
Entah bagaimana suami tiba-tiba mengeluarkan pistol dibawa sebelum melepaskan beberapa das tembakan daripada dalam kedai," katanya.
Menurutnya, dia hanya dimaklumkan kejadian itu sebaik menerima panggilan telefon daripada anak perempuannya yang menangis ketakutan.
Aziah berkata, dia terus pergi ke Balai Polis Pelabuhan Klang bertemu suaminya kerana selepas melepaskan tembakan, suaminya berjalan ke balai polis memaklumkan kejadian itu sebelum menyerah diri.
"Sebaik tiba di balai polis, dia sempat bertemu suaminya dan menjelaskan perkara sebenar.
Suami mengaku menyesal dengan apa yang berlaku," katanya.
Sementara itu, seorang pekerja pasar raya itu memaklumkan dia terkejut dengan kejadian tembakan berlaku kelmarin kerana lelaki yang melepaskan tembakan itu sering dilihat mesra dengan isterinya.
Dia yang enggan dikenali berkata, mujur tembakan dilepaskan tidak mencederakan sesiapa kerana kawasan luar kedai tempat tembakan dilepaskan itu kawasan kaki lima.
No comments:
Post a Comment