TEKNOLOGI dalam era globalisasi telah mengalami
kemajuan yang selari dengan media massa dalam menunjukkan persaingan
untuk memberikan informasi tanpa batasan.
Dunia kini menghadapi transformasi informasi sehingga
melahirkan peradaban baru yang dapat memudahkan manusia untuk saling
berhubungan serta meningkatkan sistem komunikasi sosial.
Media massa seperti surat khabar, radio, televisyen, dan internet
sebagai medium komunikasi mampu memberi pengaruh yang luas sejak
beberapa abad yang lalu.
Facebook merupakan medium komunikasi yang termudah dan moden di zaman
ini. Malah ianya juga telah memberi impak besar kepada masyarakat
khususnya generasi baru zaman ini dari sudut penyebaran maklumat semasa
dan menjadi ruang perkongsian ilmu dengan lebih luas.
Disamping itu, laman sosial facebook juga kini menjadi kemudahan utama
kepada masyarakat Malaysia khususnya untuk berkomunikasi pada jarak jauh
selain telefon bimbit yang saban hari digunakan. Selain itu, ianya juga
merupakan laman sosial paling popular dalam kalangan remaja di
Malaysia.
Statistik menunjukkan bahawa, 34% daripada jumlah pengguna Facebook di
Malaysia adalah dalam kalangan generasi muda remaja yang berumur antara
18 hingga 24 tahun.
Manakala di peringkat dunia pula, Malaysia menduduki tangga ke-17
pengguna Facebook teramai sebagaimana yang telah dilaporkan oleh laman
sesawang www.socialbakers.com.
Kita tidak dapat menafikan kesan positif yang terdapat pada Facebook,
namun kita perlu mengambil perhatian lebih terhadap kesan atau impak
negatif yang datang daripada penyalahgunaan laman sosial yang paling
berpengaruh ini.
Facebook semakin mendapat tempat di hati remaja di Malaysia khususnya
untuk berhibur, menghabiskan masa dan meluahkan rasa isi hati walaupun
mereka sedar segala aktiviti di laman sosial tersebut dapat diakses oleh
orang ramai hatta seluruh dunia.
Pergaulan bebas tanpa batasan pada zaman yang serba maju ini tidak lagi
bermaksud bertemu secara fizikal sahaja, malah fenomena pergaulan
menerusi laman sosial turut disifatkan sebagai pergaulan bebas tanpa
batasan dan mampu menyebabkan individu tersebut terjebak dalam kes-kes
keruntuhan moral dan sebagainya.
Acapkali kita dipaparkan dengan kes-kes yang melibatkan remaja berpunca
dari percintaan di alam maya Facebook dan mangsa utama adalah golongan
wanita.
Bermodalkan ayat manis dan wajah yang sedikit kacak, segelintir lelaki
telah Berjaya menjerat cinta gadis remaja dengan menggunakan Facebook
untuk menjadi pemuas nafsu mereka.
Sasaran mereka,adalah gadis remaja yang kemaruk melayari laman sosial
untuk mencari kenalan hingga jatuh cinta dan seterusnya menyerahkan
kehormatan diri.
Terdapat juga kes lain yang.membabitkan penipuan alam maya ini. “Kerana
Internet, maruah saya tergadai, malah hidup saya musnah.
Bukan itu saja, wang simpanan dan juga pinjaman pelajaran, lebur begitu
saja kepada bekas teman lelaki” Anis 21 salah seorang mangsa yang
pernah di lamar cinta Facebook oleh jejaka hidung belang.
Penipuan ini juga sering dikaitkan dengan warga asing yang berjaya
memanipulasikan laman Facebook terhadap warga Malaysia untuk kepentingan
tertentu seperti sindiket wang dan pelbagai lagi.
Kesimpulannya, Facebook pada asasnya adalah untuk menghubungkan antara
satu dengan yang lain dan saling kenal mengenali sebagaimana Firman
ALLAH bermaksud: "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari
seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu
berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal.
Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah
orang yang paling bertakwa di antara kamu.
Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal" Surah al Hujurat
:13. Namun, etika yang sepatutnya diamalkan ketika menggunakan laman
sosial ini tidak dipraktikkan oleh para pengguna sehingga mendatangkan
cela kepada kebaikan Facebook itu sendiri.
Justeru , jadilah pengguna Facebook yang beretika serta bijak
membahagikan masa ketika menggunakannya agar diri tidak terus hanyut
dalam keasyikan alam maya Facebook.
Muhammad Shafie Ismail
No comments:
Post a Comment