Perang berakhir, Rabecca enggan kes berlarutan
“SAYA harap apa yang berlaku kepada saya ini akan dijadikan iktibar
buat semua,” kata Rabecca Nur Al Islam berhubung kontroversi samannya
terhadap pengarah terkenal, Erma Fatima.
Sepanjang dua minggu lalu, Rabecca-Erma telah menjadi perhatian ramai
setelah pengarah Diva Popular itu bertindak membayar wang tuntutan
berjumlah RM11,200 dalam bentuk syiling 5 sen berserta senaskhah
al-Quran.
Menyifatkan perkara itu satu tindakan tidak profesional, Rabecca
memulangkan wang itu dan menuntut Erma membayar dengan cara berhemah.
Bagaimanapun, sekali lagi Rebecca menerima bayaran dalam bentuk yang sama, namun kali ini dengan wang RM1.
Enggan lagi memanjangkan isu tersebut, Rabecca berkata, dia tidak mahu
lagi 'peperangannya' dengan pengarah itu terus berlarutan.
Jelas Rabecca, isu samannya terhadap Erma telah selesai setelah dia
menerima wang pembayaran yang dituntut melalui kontrak lakonannya
menerusi drama Dejavu Di Kinabalu.
"Saya nak ingatkan kepada semua pelakon agar berhati-hati dalam
menerima tawaran. Baca dahulu kontrak dan fahami isi kandungan kontrak
sebelum menerima sebarang tawaran.
“Sebagai seorang pelakon, kita mestilah tahu hak dan kepentingan kita
supaya tiada orang yang akan mengambil jalan mudah menafikan hak kita,”
tegasnya.
Wang sudah didermakan
Dalam pada itu, tindakan Rabecca yang mendermakan keseluruhan wang
tuntutan dari Erma itu kepada mangsa banjir di negara ini mendapat
pujian ramai peminat serta orang ramai yang mengikuti isu saman mereka.
Selain dapat menepis pelbagai persepsi yang dilemparkan padanya sebelum
ini, tindakannya itu sekali gus menaikkan imejnya sebagai selebriti.
“Saya dah tak nak komen tentang perkara ini. Saya anggap ia sudah selesai.
“Untuk tidak terus memanjangkan lagi kes ini, saya sudah mendermakan wang itu kepada yang lebih memerlukan," katanya.
Pada 8 November lalu, Rabecca berjaya memenangi kes tuntutan terhadap
Erma Fatima apabila mahkamah mengarahkan Erma mengembalikan baki jumlah
wang lakonan Rabecca menerusi drama ‘Dejavu Di Kinabalu’ sebanyak
RM11,200 termasuk lima peratus faedah daripada bayaran selain membayar
kos guaman kepadanya.
No comments:
Post a Comment