"Nak Bersara? Bersaralah! Ada Aku Kisah"
ADOIII!!!
“NAK bersara? Bersaralah… ada aku kisah!” Luah seorang
wartawan senior kepada saya apabila kami berborak mengenai trend artis
muda sekarang ni yang nak bersara daripada dunia lakonan ataupun
nyanyian.
Sejak isu Rozita Che Wan yang buat lawak nak bersara sebagai pelakon
tapi sampai hari ni masih berlakon, budaya itu menular pula kepada
artis-artis lain.
Terbaharu Sharnaaz Ahmad dan juga Sofi Jikan meluahkan hasrat untuk
meninggalkan dunia seni ataupun kata mereka mahu bersara menjadi artis.
Alasannya, mereka kecewa dengan dunia seni.
Saya pun turut terpalit rasa kecewa. Kecewa bukan kerana artis itu nak bersara tetapi dengan mentaliti mereka.
Kalau rasa nak bersara... bersara sajalah. Tak payah nak heboh satu
dunia kerana tiada istilah bersara ataupun tidak, untuk menjadi pelakon
ataupun penyanyi. Terutama dalam konteks artis di Malaysia yang datang
dan pergi.
Bekerja sebagai seorang artis tidak macam orang kerja makan gaji di
syarikat ataupun jabatan kerajaan yang mempunyai tempoh perkhidmatan.
Apabila mencapai usia 60 tahun, seseorang itu perlu bersara untuk
berehat di rumah dan ‘makan duit pencen’.
Dalam konteks pelakon, selagi mana mereka masih laku, selagi itulah
mereka dihendaki bekerja, tidak kiralah jika umur sudah 100 tahun
sekalipun.
Apabila ada segelintir artis yang buat kenyataan yang mereka kecewa dan hendak bersara, saya pun rasa nak muntah.
Mereka tak faham apa definisi bersara? Seperti yang saya katakan tadi, tiada istilah bersara dalam dunia artis.
Yang ada ialah, hendak atau tidak lagi untuk menjadi artis. Itu saja.
Kalau artis-artis yang ‘nak bersara’ ini merasakan mereka dah benci
dengan dunia seni, tolak sahaja tawaran berlakon dan cakaplah “saya
tidak mahu jadi pelakon lagi” dan jangan cakap “saya nak bersara jadi
pelakon”.
Kemudian mereka boleh balik kampung dan buatlah hal sendiri. Jangan
nak kecoh-kecoh kerana artis yang ‘bersara’ ataupun berhenti daripada
kerjayanya tidak memberi apa-apa kesan kepada negara, melainkan yang
bercakap hendak bersara itu ialah pemimpin negara.
Artis-artis seperti ini bagi saya ibarat ayam bertelur, riuhnya satu
kampung tapi habuk pun tarak. Akhirnya ayam itu terpaksa disembelih
untuk dibuat gulai.Dunia hiburan Malaysia sebenarnya tidak ketandusan
artis. Orang berebut-rebut untuk menjadi artis daripada mahu mengejar
ilmu di menara gading.
Jadi, apabila ada yang kata hendak bersara ataupun tidak lagi menjadi
artis... teruskanlah niat itu. Apa nak hairan? Tak ada siapa yang akan
kisah pun kerana di belakang sana lagi ramai yang berbaris untuk menjadi
artis.
Artis-artis yang mengeluarkan kenyataan seperti ini sepatutnya ada
perasaan malu. Yalah... ketika di canang hendak bersara, tapi bayang tu
masih muncul di mana-mana.
Itu ke dinamakan bersara?
NIEZAM: Balik kampung jual laksa selepas bersara.
No comments:
Post a Comment