UtusanDaily

Tuesday 17 September 2013

Spesies arnab paling popular di Malaysia

HARGA arnab seperti baka Holland Lop ini adalah berdasarkan panjang bulu, saiz dan kecomelan mukanya.


HOLLAND Lop, Netherland Dwarf dan Mini Rex adalah antara kumpulan baka arnab yang paling menjadi rebutan masyarakat negara ini untuk dijadikan sebagai haiwan kesayangan.

Menurut seorang anggota Kelab Arnab Malaysia (MRC) yang juga pengkaji arnab, Shirrly Teo, 28, baka-baka itu banyak dipelihara di rumah dan ada yang menjadikannya sebagai satu perniagaan yang menguntungkan.

"Tiga baka ini paling laris di pasaran berbanding spesies Jersey Wooly, Dwarf Hotot, Dutch, English Anggora, English Lop dan American Fuzzy Lop. Harganya berbeza kerana semakin cantik bulunya, maka lagi tinggi nilai arnab itu,," katanya yang ditemui di pertandingan UM ARBA Open All Breed Double Rabbit Show 2013 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kos

Ketiga-tiga baka itu diimport dari Amerika Syarikat melalui orang tengah dan kebanyakannya dibeli secara dalam talian.

"Biasanya kos penghantaran melebihi RM6,000 untuk enam ekor arnab yang bermutu tinggi. Selain itu, mereka yang membelinya perlu mendapatkan Sijil Sah Kesihatan dari negara itu dan permit untuk urusan import-eksport," katanya.

Teo berkata, penjual haiwan ini biasanya menawarkan harga antara RM350 hingga RM3,000 seekor bagi baka Holland Lop dan antara RM200 hingga RM5,000 seekor bagi baka Netherland Dwarf.

"Pembeli akan menilai arnab dari segi bulunya iaitu sama ada tebal atau nipis, saiz badan dan bentuk mukanya yang comel. Namun begitu setiap baka ada keistimewaannya yang tersendiri," kata beliau lagi. 

Makanan arnab seperti rumput kering Timothy dan pelet yang dimport dari Amerika Syarikat dianggap yang terbaik bagi pembesaran dan kesihatan haiwan itu. Ini kerana ia mengandungi pelbagai khasiat yang diperlukan.

"Kita tidak digalak memberi makanan seperti sayuran dan air yang tidak bersih kerana boleh mendatangkan penyakit seperti cirit-birit dan kurap. Haiwan ini juga sensitif kepada cuaca yang panas dan memerlukan pengudaraan yang baik dalam sangkarnya," maklumnya.


JEYANTHI sanggup membelanjakan RM200 sebulan bagi memelihara Opapa yang juga merupakan baka induk perniagaan arnabnya.


Minat

Kini Teo mempunyai lebih 150 ekor arnab yang dijual sebagai perniagaan sampingannya.
"Jika dihitung, memang perniagaan ini tidak mendatangkan untung yang besar. Namun, apa yang penting adalah minat untuk membela haiwan ini," kata wanita yang juga anggota Persatuan Pencinta Arnab Selangor (Pecinta) ini.

Sementara itu, bagi penggemar arnab, N. Jeyanthi, 33, dia mempunyai seekor arnab seberat lapan kilogram bernama Opapa dari baka English Lop yang dibeli pada harga ribuan ringgit.

"Kos untuk menjaga Opapa adalah RM200 sebulan. Saya tidak kisah menghabiskan wang kerana Opapa adalah baka induk untuk semua arnab yang saya jual di Kota Damansara," katanya.

Jeyanthi berkata, walaupun Opapa bersaiz besar, namun binatang peliharaannya itu amat manja dan tidak pernah menggigitnya walaupun ketika lapar.

Zubaidi Hasyim, 45, yang menamakan arnabnya Kak Tun, akan membersihkan sangkar empat hari sekali bagi memastikan ia hidup selesa dan bebas penyakit. 

"Anak saya yang menamakannya Kak Tun kerana gemar dengan kecomelan Kak Tun melalui iklan di televisyen. Saya juga mempunyai hampir 150 ekor arnab yang mempunyai nama seperti Melur, Dara, Aduka dan Taruna," katanya.

Pertandingan yang menarik penyertaan lebih 206 ekor arnab oleh pemilik-pemilik dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand itu bertujuan mencari arnab yang paling cantik. 

Juaranya ialah seekor arnab bernama Monster dari spesies Holland Lop, yang dimiliki Sally Koh, 25, dari Malaysia. Kemenangan itu membolehkan ia menerima hadiah berupa makanan dan keperluan arnab bernilai RM3,000. - Bernama

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my
Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment

IKLAN BERBAYAR 2

.

Blog Archive