PENDANG 26 Dis. - Pada mulanya, Morad Adam, 71, atau lebih dikenali sebagai Pak Morad dan isterinya, Che Siti Bakar, 67, yang tinggal di Kampung Gelong Gajah, Tobiar di sini hanya menanam pokok limau nipis untuk mengisi masa lapang.
Namun pokok limau nipis yang berbuah lebat membuatkan pasangan suami isteri itu mencari alternatif dengan membuat jeruk untuk memastikan buah tersebut mampu bertahan lama.
Siapa sangka sejak 1990, jeruk limau nipis yang dihasilkan kini menjadi sumber pendapatan sampingan pasangan itu untuk membesarkan tujuh anak mereka.
Morad berkata, dia tidak menyangka mereka akan menceburi perusahaan jeruk limau nipis memandangkan perniagaan itu jarang dibuat oleh orang Melayu.
"Buah limau jeruk ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai terutama sewaktu musim kenduri perkahwinan untuk dijadikan bahan utama dalam membuat acar limau.
"Buah limau jeruk dijual kepada peniaga di sekitar Pekan Rabu, Alor Setar dan sewaktu musim kenduri perkahwinan jualan limau jeruk memang tinggi," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gelong Gajah, Tobiar di sini baru-baru ini.
Menurutnya, jeruk limau nipis mampu menjana pendapatan tinggi jika diusahakan secara bersungguh-sungguh dan terbukti apabila pendapatan tahunannya mencecah lebih RM10,000.
"Dulu pokok limau nipis saya tanam sendiri, tetapi kini saya beli limau nipis daripada pemborong dalam kuantiti yang banyak untuk dijadikan jeruk.
"Saya juga perlu pilih buah limau berkualiti dan tidak pecah bagi memastikan jeruk limau yang dihasilkan tidak cepat rosak," jelasnya.
Morad menambah, jeruk limau nipis yang diusahakan mereka mempunyai keistimewaan tersendiri dengan rasa yang enak.
Ini kerana ia dihasilkan menggunakan buah limau nipis berkualiti serta diperap menggunakan garam kasar yang mencukupi.
"Jeruk yang saya hasilkan menggunakan resipi yang saya reka sendiri dengan diikuti proses merebus dan memerap sehingga dua bulan.
"Buah limau yang telah diperap ini juga perlu selalu dikacau bagi mengelakkan kulat terbentuk semasa proses menjeruk dilakukan," katanya.
Jelasnya, permintaan jeruk limau nipis yang diusahakan mereka semakin mendapat permintaan tinggi sehingga dia memproses kira-kira empat tan jeruk limau nipis dalam masa setahun.
"Saya dan isteri akan terus menghasilkan jeruk limau nipis ini selagi permintaan daripada pelanggan masih ada dan buat masa sekarang kami belum bercadang untuk bersara walaupun usia semakin meningkat," ujarnya.
No comments:
Post a Comment